Remaja maut kereta berpusing – Sinar Harian


Remaja maut kereta berpusing

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Disember 2012
Abd Razak Elias
Abd Razak Elias

SERI KEMBANGAN – Seorang remaja terbunuh manakala rakannya cedera parah apabila kereta yang dipandunya terbabas dan berpusing sebelum melanggar tiang lampu isyarat di Taman Puncak Jalil di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Yeo Dun Mai, 17, dikatakan memandu kereta Perodua Myvi dari arah Puncak Jalil ke Bandar Kinrara.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kereta mangsa yang gagal dikawal masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

Katanya, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Myvi yang datang dari arah Puncak Jalil hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan kenderaannya berpusing beberapa kali.

“Kereta itu kemudian melanggar tiang lampu isyarat dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Jalil,” katanya.

Abd Razak berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta Honda City tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055595 untuk membantu siasatan.

Jalan lubang didakwa punca bekas pemimpin Cuepacs koma – Sinar Harian


Jalan lubang didakwa punca bekas pemimpin Cuepacs koma

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Oktober 2012
Bahardin Mohd Sohor
Bahardin kini koma dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Gara-gara jalan rosak tidak dibaik pulih, bekas Naib Presiden  Cuepacs, Bahardin Mohd Sohor, 67, koma sejak seminggu lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Lestari Perdana Fasa 1, Seri Kembangan  28 September lalu.

Kejadian  jam  8.30 malam itu berlaku apabila Bahardin terhumban ke atas jalan selepas motosikal Yamaha Lagenda yang ditungganginya terperosok ke dalam lubang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Puncak Jalil.

Mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Serdang dan terpaksa menjalani pembedahan mata selain disahkan mengalami patah tulang rusuk dan mempunyai darah beku di otak.

Menurut anaknya, Izwan Bahardin, 34, kes ayahnya kemudian dirujuk di Wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum satu pembedahan dijalankan bagi membuang darah beku di otak dan paru-paru.

“Saksi memberitahu ayah yang menunggang  perlahan tiba-tiba  tercampak dan mukanya tersembam di atas jalan sebaik motosikalnya terlanggar lubang berikutan lampu jalan yang ada tidak berfungsi,” katanya.

Izwan berkata,  sehingga kini ayahnya terpaksa menerima bantuan pernafasan dan makan melalui tiub berikutan kecederaan yang dialaminya agak serius.

“Mujur ketika kejadian tiada kenderaan lain mengekorinya dari belakang  jika tidak keadaan pasti lebih buruk dari ini saya kesal kerana  lubang yang wujud di jalan ini  tidak dibaik pulih meskipun aduan pernah dibuat penduduk beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu semalam  mendapati keadaan jalan tidak  rata dan berlubang teruk sepanjang  20 meter.

Difahamkan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal pernah berlaku sejak dua bulan lalu di jalan itu namun tiada sebarang usaha daripada pihak berwajib untuk menurapnya.

“Saya harap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera kerana kami mahu menuntut sejumlah pampasan rawatan perubatan ayah kerana kejadian ini berlaku disebabkan keadaan jalan yang tidak diselenggarakan dengan baik,” katanya.

Susulan kejadian, dua  laporan polis  telah dibuat di Balai Polis Trafik Serdang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias mengesahkan menerima laporan dan siasatan mendapati mangsa tidak sedar kewujudan jalan yang  berlubang di situ berikutan keadaan kawasan agak gelap.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ketika dihubungi akan menyiasat dakwaan itu dan akan memberi maklum balas dalam waktu terdekat berhubung kejadian yang berlaku.

Warga Bangladesh dipenjara 13 tahun, 5 sebatan rogol pelajar lembam – Bernama


Warga Bangladesh dipenjara 13 tahun, 5 sebatan rogol pelajar lembam
16:59:46 PM Cetak Emel Kawan

PETALING JAYA: Seorang pencuci kereta warga Bangladesh dipenjara 13 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana merogol seorang pelajar perempuan lembam.

Hakim Yasmin Abdul Razak menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mamun, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes ini. Yasmin memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Februari 2011.
Tertuduh didakwa merogol pelajar tingkatan satu yang berusia 12 tahun sembilan bulan itu di dalam sebuah kedai kosong, Jalan PUJ, 3/12, Taman Puncak Jalil, Selangor, 14 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Gurmit Singh yang mewakili Mamun, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memohon supaya diberikan peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

Timbalan Pendakwa Raya Chong Yin Xin memberitahu mahkamah tertuduh sepatutnya berfikir dahulu sebelum melakukan kesalahan itu lebih-lebih lagi dia adalah seorang bapa.
Di mahkamah sama, seorang buruh binaan dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan merogol pelajar sekolah rendah, dua tahun lalu.

Yasmin membuat keputusan tersebut di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Misnam Asmawi, 24.

Misnam yang diwakili peguam Esther Tan, didakwa merogol pelajar perempuan berusia 12 tahun itu, di Lot 3311-14 Kg Paya Jaras Hilir, Sungai Pelong, Selangor, antara Oktober 2010 hingga November 2010.

Sepanjang perbicaraan empat saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan.

– BERNAMA