Peluk cucu elak ditimpa pokok – Kosmo


Peluk cucu elak ditimpa pokok

 

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

 

SUHARTILAH

 

SERIAN – Demi cucu kesayangan, seorang nenek sanggup meredah air lalu memeluk dua cucunya daripada ditimpa pokok Akasia yang tiba-tiba tumbang menghala ke kawasan air terjun di Taman Rekreasi Ranchan di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari, warga emas itu, Suhartilah M. Saleh, 71, retak tulang betis kiri serta luka di kepala manakala seorang cucunya, Jasmine Nurul Ain Tavip Widodo, 12, cedera di kepala dihempap dahan pokok yang sebesar satu pemeluk lelaki dewasa.

Anak Suhartilah, Winda Hernita Sulaiman, 40, yang berada di gigi air cedera di tangan kanan terkena dahan pokok. Seorang lagi cucu Suhartilah, Resty Audina Suriyanto, 9, menantunya, Suriyanto Muchsen, 47, dan empat lagi ahli keluarganya yang lain tidak cedera.

Sembilan ahli sekeluarga itu yang berasal dari Pontianak, Indonesia yang terletak 290 kilometer dari sini singgah di air terjun itu untuk bermain air selepas empat hari melancong di sini.

Suhartilah berkata, mereka singgah di air terjun itu pada pukul 11 pagi untuk mandi sebelum bercadang meneruskan perjalanan pulang ke Pontianak.

Semasa kejadian, kata wanita itu, dua orang cucu dan menantunya mandi di air terjun itu manakala dia serta dua anak perempuannya hanya bermain di gigi air. Tiga lagi ahli keluarga Suhartilah berada di sekitar air terjun itu.

“Ketika leka bermain air saya terdengar bunyi seperti guruh dan angin kuat menghala ke arah kami sebelum saya nampak ada sebatang pokok sedang tumbang ke arah dua orang cucu saya.

“Saya terus meredah air menarik dua cucu saya ke tebing kolam lalu memeluk mereka,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Serian di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya, berikutan pokok itu yang rendang mereka empat sekeluarga cedera di beberapa bahagian badan terkena dahan-dahan pokok setinggi kira-kira 20 meter.

Taman Rekreasi Ranchan yang terletak enam kilometer dari bandar ini menjadi tumpuan bukan sahaja orang ramai sekitar Serian malah pelancong asing untuk beriadah.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2LuCtrImj
Hakcipta terpelihara

Pelajar sertai Jom Kayuh – Kosmo


Pelajar sertai Jom Kayuh

MOHD. ZAIDI (kiri) melepaskan pelajar SMK Permatang Pasir yang menyertai Program Jom Kayuh Bersama di Taman Rekreasi Sungai Jarak, Tasek Gelugor baru-baru ini.

 

MOTIVASI. Sebanyak 50 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah menyertai program Jom Kayuh Bersama yang dianjurkan sekolah itu, baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Mohd. Shukor Mohd. Shuib berkata, kesemua peserta menyertai perkhemahan selama tiga hari dua malam di Taman Rekreasi Sungai Jarak di Bukit Mertajam.

“Selain perkhemahan, peserta turut melakukan aktiviti kemasyarakatan di kawasan persekitaran dan mengikuti slot motivasi bagi meningkatkan keyakinan mereka dalam meneruskan alam persekolahan,” katanya.

Pelepasan para peserta telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Pelajar berasmara di sungai – Sinar Harian


Pelajar berasmara di sungai

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Mei 2012

KULIM – Gara-gara ingin melampiaskan nafsu dengan kekasih masing-masing, tiga pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, sanggup ponteng sekolah untuk ke sebuah taman rekreasi air terjun bersama teman lelaki mereka.

Rahsia perbuatan sumbang mereka terbongkar apabila seorang waris pelajar terlibat dimaklumkan anaknya tidak hadir ke sekolah.

Curiga dengan kenyataan itu, waris pelajar meminta bantuan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) untuk mencari tiga pelajar terlibat.

Timbalan Pengerusi PPKM, Ch’ng Seng Ang berkata, ahli PPKM diminta mencari pelajar terlibat di sekitar Sungai Kob dan Sungai Karangan.

Menurutnya, setelah usaha mencari gagal, beliau menerima panggilan kedua menyatakan tiga pelajar perempuan sedang berendam di sungai bersama tiga lelaki di Sungai Sedim.

“Kemudian saya memaklumkan kepada ahli PPKM melalui alat perhubungan supaya mencari tiga pelajar terlibat.

“Kira-kira jam 11 pagi, ahli PPKM dan waris pelajar terlibat berjaya menemui mereka bersama pasangan masing-masing di dalam air,” katanya yang mengakui kebanyakan pelajar sering ponteng sekolah dan melakukan perbuatan tidak bermoral itu di taman rekreasi berkenaan.

Seng Ang berkata, pemeriksaan mendapati, semua pelajar terbabit menyimpan pakaian seragam sekolah di dalam beg dan mereka hanya memakai pakaian biasa untuk menghabiskan masa bersama pasangan masing-masing.

“Ketiga-tiga pelajar perempuan dan kekasih mereka berusia 19, 20, dan 21, tahun kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Kon untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, ketika pasangan itu ditahan, masih ada beberapa pasangan lain dipercayai masih bawah umur turut berada di kawasan itu.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak, terutama pelajar perempuan kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, sehingga kini permasalahan sosial melibatkan pasangan kekasih bawah umur sering berlaku.

“Terkini, seorang pelajar berusia 14 tahun didapati hamil dua bulan setelah melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya.

“Waris pelajar yang kecewa dengan perlakuan sumbang yang dilakukan mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kulim,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pelajar yang masih di bawah umur terlibat dalam perlakuan seks, sama ada pasangan mereka merelakan atau tidak tetap akan disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.