Pelajar cemerlang di Kumon – Kosmo


Pelajar cemerlang di Kumon

 

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my

 


TAKATSU (belakang kanan), bersama pelajar yang menerima anugerah pada majlis penyampaian anugerah di Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

 

MENDAPAT keputusan yang cemerlang terutamanya dalam subjek mencabar seperti Matematik pasti memberikan kegembiraan kepada para pelajar.

Begitulah yang dirasai dua beradik, Nur Almas Aliah Misan, 15, dan kakaknya, Nur Marha Aisyah, 16, yang sering mencatat keputusan cemerlang dalam subjek berkenaan.

Rahsia mereka adalah mengikuti kaedah pengajaran subjek berkenaan di Kumon Asia & Oceania Pte. Ltd. (Kumon) cawangan Taman Tun Dr. Ismail 2, Kuala Lumpur.

Almas yang mengikuti kelas tersebut sejak berusia enam tahun memberitahu, di Kumon, para pelajar diajar lebih ke hadapan berbanding subjek yang diajar di sekolah biasa.

“Kami diberikan latihan matematik setiap hari dan sekiranya mempunyai masalah atau pertanyaan boleh diajukan ketika menghadiri kelas yang diadakan dua kali seminggu.

“Hasilnya, saya mendapat keputusan 90 markah ke atas dalam setiap peperiksaan di sekolah biasa,” katanya ketika ditemui pada Kumon Advanced Student Forum 2012 di Hotel One World Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 216 pelajar berjaya menamatkan program pembelajaran Kumon manakala 416 pelajar lagi menerima status Advanced Student.

Sijil-sijil kecemerlangan itu disampaikan oleh Pengurus Wilayah Kumon, Miho Izumi, dan turut dihadiri Pengurus Besar Kumon di Malaysia, Masahiro Takatsu.

Di negara ini, sebanyak 40,000 pelajar mengikuti kaedah Kumon dengan separuh daripadanya telah mendapat pengiktirafan Advanced Student.


Para ibu bapa bersama anak-anak mereka menghadiri Forum Kumon Advanced Student 2012 baru-baru ini.

 

Kaedah Kumon memberikan cabaran kepada para pelajar untuk belajar subjek yang lebih tinggi daripada di sekolah. Berbeza dengan sistem pendidikan di sekolah, pendidikan di Kumon memberi fokus kepada kebolehan seseorang pelajar. Dengan itu potensi setiap anak dapat berkembang secara maksimum.

Ia bukan sahaja membantu para pelajar melepasi tahap pembelajaran biasa, malah menjadikan mereka lebih berdisiplin dan berdikari.

Keberkesanan kaedah Kumon terbukti apabila pelajar sederhana berjaya menjadi pelajar cemerlang. Pada mulanya, pada pelajar itu diberikan latihan mudah untuk mendapat markah tertinggi dan apabila memperoleh keyakinan, latihan yang lebih susah diberikan peringkat demi peringkat.

Menurut Masahiro, apabila para pelajar atau kanak-kanak berjaya menguasai subjek yang susah dan melepasi paras gred di sekolah, keyakinan diri serta semangat mereka akan meningkat.

“Di Kumon, para pelajar yang sudah mendahului sekurang-kurangnya enam bulan berbanding subjek di sekolah biasa akan diberikan gelaran Advanced Student,” katanya.

UPSR 2012: Prestasi 7 negeri turun – Bernama


UPSR 2012: Prestasi 7 negeri turun

19 November 2012
UPSR2012
Murid Sekolah Rendah Bukit Bandaraya KL, Shalmeena (tengah) dikucup ibu bapanya Muniswary (kanan) dan Vijaya Kumar setelah mendapat keputusan A. – Foto Bernama
UPSR 2012
Tiga murid SK Padang Garong 1, Kota Bharu, Nur Anis Asyikin Azmi (kiri), Ahmad Syamil Ismail (tengah) dan Nik Alya Shahirah Nik Shamsul muncul pelajar terbaik sekolah itu.

KUALA LUMPUR – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun ini tidak banyak berbeza berbanding tahun lepas dengan beberapa negeri menunjukkan peningkatan dalam jumlah dan peratusan murid yang memperoleh keputusan semua A.

Selain Kuala Lumpur, negeri yang mencatat peningkatan ialah Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Sabah dan Perlis.

Tujuh negeri pula mencatat sedikit penurunan iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Selangor, Johor dan Melaka.

Di KUALA LUMPUR, 2,487 atau 10.35 peratus daripada 24,021 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.37 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,441 murid daripada 22,766 calon mendapat semua A.

Beliau berkata, tiga sekolah yang mencatat pencapaian semua A tertinggi ialah Sekolah Kebangsaan Setiawangsa (97 murid), Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara (93 murid) dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (89 murid).

Di KUCHING, 2,010 daripada 45,946 calon UPSR Sarawak mencatat keputusan semua A berbanding 1,835 calon tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 175 orang atau 0.22 peratus, kata Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam.

Beliau berkata, seramai 26,009 calon atau 56.9 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya penguasaaan minimum Gred C dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding 24,344 calon atau 55.52 peratus pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 1.38 peratus.

Di SEREMBAN, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata, seramai 2,197 orang atau 11.4 peratus memperoleh keputusan penuh 5A atau 7A berbanding 2,169 calon atau 11.6 peratus pada 2011.

Beliau berkata, seramai 13,632 calon atau 70.9 peratus pelajar mencapai tahap penguasaan minimum gred ‘C’ dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil, meningkat 2.6 peratus berbanding pencapaian 2011.

Di KUANTAN, jumlah pelajar UPSR di Pahang yang memperoleh keputusan 5A turut meningkat kepada 3,025 berbanding 2,977 tahun lepas.

Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail berkata seramai 19,152 calon pula berjaya menguasai semua mata pelajaran iaitu mendapat gred A, B dan C.

Dalam masa sama, beliau berkata pencapaian calon UPSR sekolah di tanah rancangan Felda yang berjaya mendapat gred serupa juga menunjukkan trend peningkatan iaitu 452 orang daripada 5,062 calon berbanding tahun lepasa, 446 orang dari 5,004 calon.

Di KANGAR, walaupun jumlah calon UPSR negeri Perlis tahun ini berkurangan namun jumlah yang mencatat keputusan cemerlang meningkat kepada 416 orang berbanding 388 orang pada 2011.

Pengarah Pelajaran Perlis Dun Kasa berkata peratus kelulusan keseluruhan juga meningkat sebanyak 3.31 peratus kepada 65.71 peratus. – Bernama

Kerja jahat 5 remaja – Metro


Kerja jahat 5 remaja
Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan dua kumpulan penjenayah membabitkan kes samun dan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang selepas penahanan tujuh lelaki dalam tiga operasi berasingan di ibu negara, sejak 11 Mei lalu.

Dalam operasi berkenaan, tiga ahli kumpulan digelar ‘Geng Udang’ ditahan di Setapak Jaya pada 11 Mei manakala dua lagi ditahan di tempat sama pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, semua suspek berusia antara 16 hingga 19 tahun serta tidak bersekolah.

“Semua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau sementara ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah. “Tiga suspek dalam tangkapan awal sudah dihadapkan ke mahkamah manakala dua lagi masih dalam tahanan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Wan Abdul Bari berkata, polis menemui sebuah kereta Toyota Vios yang dilarikan suspek dalam satu kejadian samun di Jalan Hujan Emas, di sini, 7 Mei lalu.
Katanya, kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan samun dan curi kenderaan sekitar Lembah Klang tanpa memilih sasaran mereka dan melakukannya secara rambang.

“Dalam siasatan awal, lima kes samun kereta sekitar ibu negara diselesaikan dengan penangkapan Geng Udang ini,” katanya lagi.
Dalam tangkapan lain di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Isnin lalu, dua lelaki yang menggelarkan diri mereka ‘Geng Piow’ berjaya ditahan polis selepas didapati memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey yang dilaporkan dicuri di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dekat sini, pada 16 April lalu.

“Dua suspek berusia 24 dan 32 tahun itu ditahan ketika sedang memandu di kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati, suspek kedua mempunyai lima rekod jenayah lampau dan terbabit dalam lapan kes curi kereta sejak tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan digunakan untuk mencuri kenderaan dan kedua-dua suspek direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.

Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan untuk tentu mutu BI – Bernama


Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan untuk tentu mutu BI 

2011/12/30

KUALA LUMPUR: Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kini hanya terdapat satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.

“Bila kita kata pelajar itu pandai Bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard Bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.

“Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan bahawa pencapaian bahasa Inggeris yang dicapai oleh sekolah-sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini bagi melihat persiapan pihak sekolah bagi sesi persekolahan 2012 yang akan bermula minggu depan.

Beliau berkata, majlis itu yang akan ditubuhkan selepas mendapat persetujuan kerajaan akan menggunakan pakar dari dalam dan luar negara serta mungkin akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

Katanya, majlis itu akan berfungsi sebagai badan bebas dan boleh juga dirujuk oleh pihak luar.
Muhyiddin hari ini turut mengumumkan bahawa Jawatankuasa Khas MBM/MBI (Mermartabatkan Bahasa Malaysia/Memperkukuhkan Bahasa Inggeris) merumuskan bahawa seramai 164,324 pelajar sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik.

Sementara itu, seramai 56,025 pelajar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris dan 56,248 pelajar dalam subjek Matematik, katanya.

“Selebihnya mengikuti subjek tersebut menggunakan dwibahasa iaitu 258,622 dalam subjek Sains serta 261,600 dalam Matematik,” katanya.

Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memulakan Tahun Satu di seluruh negara pada Januari ini dan seramai 437,475 pelajar lagi akan memasuki sekolah menengah.

Beliau berkata, kerajaan akan berusaha memastikan musim persekolahan yang bermula Januari ini berjalan lancar.

“Kerajaan sudah menempah 122,846 unit kerusi dan 122,675 unit meja dan 24.4 juta buku teks untuk kegunaan para pelajar di negara ini melalui peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta,” katanya.

“Jika ada masalah pun ia berlaku di tiga buah sekolah di Pulau Tioman kerana penghantaran terpaksa ditunda akibat keadaan laut yang agak bergelora,” katanya.

Untuk menampung pertambahan pelajar, katanya kerajaan telah menyiapkan sebanyak 26 buah sekolah rendah dan 25 buah sekolah menengah baru dan sebahagian besar dari sekolah itu akan mula menerima pelajar pada Januari depan, katanya. – BERNAMA

Konsep maya diperkenalkan di sekolah dua tahun lagi: Muhyiddin – Bernama


Konsep maya diperkenalkan di sekolah dua tahun lagi: Muhyiddin 

2011/12/30

KUALA LUMPUR: Ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak mereka menerusi konsep maya yang akan diperkenalkan Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah dalam dua tahun lagi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata konsep itu, yang akan dilaksanakan sebagai projek rintis di beberapa sekolah mulai tahun depan, antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video.

Projek rintis itu akan dikenali sebagai “Virtual Learning” atau Pembelajaran Maya, katanya dan menurutnya konsep itu dicontohi daripada konsep yang diamalkan di negara maju seperti Korea Selatan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ibu bapa boleh mengetahui maklumat lanjut mengenai prestasi pelajaran anak mereka dengan berhubung terus dengan guru-guru menerusi Internet.

“Berdasarkan maklumat ini, ibu bapa boleh terus mendapatkan nasihat guru berdasarkan capaian prestasi pelajar,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.

Dalam lawatannya ke Korea Selatan pada Julai tahun lalu, Muhyiddin turut meninjau sistem pendidikan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi negara itu, National Education Information System (NEIS), yang membangunkan jaringan komputer untuk menghubungkan semua sekolah.

Jaringan itu membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak-anak di sekolah serta berhubungan dengan guru menerusi internet.
Terdahulu, dalam ucapannya kepada guru dan ibu bapa di sekolah itu, Muhyiddin berkata, ibu bapa perlu membabitkan diri dalam sistem sekolah anak-anak mereka kerana sudah dibuktikan di dalam negara ini, penglibatan ibu bapa banyak membantu pelajar dan sekolah itu sendiri berjaya.

“Di banyak negara yang dilawati, yang saya temui menyambut saya dahulu bukanlah guru tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya, ibu bapa ini memberitahu “kami datang ke sini untuk membantu sekolah kami kerana anak-anak kamai belajar di sekolah ini,” katanya.

Beliau menekankan bahawa tidak ada yang paling utama selain pelajaran buat anak-anak kerana sejarah negara ini sudah membuktikan bahawa pelajaran mampu mengubah nasib seseorang atau bangsa.

“Semasa (sebelum) merdeka, 70 peratus rakyat miskin kerana kita dijajah…walaupun ada sekolah tetapi tidak ada bantuan dari penjajah. Selepas merdeka, penyelesaian kepada soal kemiskinan itu ialah ilmu, dasar pelajaran negara kita ialah untuk membantu rakyat keluar dari kemiskinan itu dan hari ini peratusan itu telah menurun,” katanya.

Muhyiddin berkata, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak bidang-bidang sudah dikuasai oleh anak-anak Malaysia hasil daripada pendidikan berkualiti.

Beliau turut menasihati pengurusan sekolah dan ibu bapa supaya turut mengutamakan aktiviti kokurikulum dan sukan.

“Ada sekolah yang tidak kisahkan keadaan padang, tidak kisah jika sekolah itu tiada gelanggang sukan kerana mereka terlalu mementingkan pencapaian pelajaran.
Ada ibu bapa pula, ada yang menganggap aktiviti kurikulum menganggu kelas tuisyen anak-anak.

“Sikap ini adalah satu kesilapan kerana sukan membantu membentuk sahsiah pelajar seperti sifat hormat dan bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA

Majlis Bahasa Inggeris penentu standard Bahasa Inggeris – Bernama


Majlis Bahasa Inggeris penentu standard Bahasa Inggeris

30/12/2011 2:36pm

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kini hanya terdapat satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar sekolah yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.

“Bila kita kata pelajar itu pandai Bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard Bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.

“Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan bahawa pencapaian bahasa Inggeris yang dicapai oleh sekolah-sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya, katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini bagi melihat persiapan pihak sekolah bagi sesi persekolahan 2012 yang akan bermula minggu depan.

Beliau berkata, majlis itu yang akan ditubuhkan selepas mendapat persetujuan kerajaan akan menggunakan pakar dari dalam dan luar negara serta mungkin akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

Katanya, majlis itu akan berfungsi sebagai badan bebas dan boleh juga dirujuk oleh pihak luar.

Muhyiddin hari ini turut mengumumkan bahawa Jawatankuasa Khas MBM/MBI (Mermartabatkan Bahasa Malaysia/Memperkukuhkan Bahasa Inggeris) merumuskan bahawa seramai 164,324 pelajar sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik. – BERNAMA

MBMMBI ganti PPSMI adalah tepat: Muhyiddin – Berita Harian


MBMMBI ganti PPSMI adalah tepat: Muhyiddin 

2011/12/30

KUALA LUMPUR: Keputusan melaksanakan Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat apabila hanya 11 peratus pelajar memilih untuk belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris manakala 89 peratus memilih untuk menggunakan Bahasa Melayu atau dwibahasa, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sebentar tadi ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini bagi meninjau persiapan sebelum bermulanya sesi persekolahan 2012.