Gesa selaras bonus penjawat awam – Metro


Gesa selaras bonus penjawat awam

2013/07/26 – 06:07:19 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: CUEPACS menyarankan kerajaan negeri menyelaraskan pemberian bonus antara penjawat awam negeri dan Persekutuan yang bertugas di negeri berkenaan bagi mengelak ketidakadilan berlaku dalam pentadbiran di peringkat negeri.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menyifatkan tindakan kerajaan negeri memberi bonus lebih tinggi atau bonus tambahan kepada penjawat awam negeri berbanding kadar bonus diumumkan Kerajaan Persekutuan sebagai tidak harmoni serta pilih kasih.

Katanya, bayaran bonus yang menggunakan wang rakyat termasuk wang pembayar cukai perlu diagihkan berdasarkan konsep kesamarataan antara penjawat awam negeri dan Persekutuan.

CUEPACS tidak membantah jika ada kerajaan negeri yang berhasrat memberi bonus lebih tinggi berdasarkan peningkatan hasil negeri kerana ia mampu menjadi motivasi kepada penjawat awam, tetapi pemberian itu seharusnya tidak dilakukan secara pilih kasih antara penjawat awam negeri dan Persekutuan,” Datuk Omar Osman, Presiden CUEPACS

“Kerajaan negeri seharusnya menghargai dan mengiktiraf peranan penjawat awam persekutuan di peringkat negeri,” katanya kepada BH.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka dan bantuan itu akan dibayar pada 31 Julai ini membabitkan peruntukan kewangan RM835 juta.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengumumkan bonus sebulan gaji kepada 21,776 penjawat awam negeri itu sempena Aidilfitri tahun ini.
Selangor peruntuk RM30j

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM30 juta dan bonus akan dibayar selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Omar berkata, tindakan membeza-bezakan penjawat awam negeri dan Persekutuan akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negeri, sekali gus mewujudkan suasana tidak sihat dalam pentadbiran kerajaan di peringkat negeri.

Jangan pilih kasih

“CUEPACS tidak membantah jika ada kerajaan negeri yang berhasrat memberi bonus lebih tinggi berdasarkan peningkatan hasil negeri kerana ia mampu menjadi motivasi kepada penjawat awam, tetapi pemberian itu seharusnya tidak dilakukan secara pilih kasih antara penjawat awam negeri dan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS yakin kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap empat tuntutan yang diputuskan dalam Majlis Kongres bulan lalu, termasuk tuntutan bonus dua bulan setengah yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, 9 Julai lalu.

Selangor umum bonus raya sebulan gaji kepada penjawat awam negeri – Bernama


Selangor umum bonus raya sebulan gaji kepada penjawat awam negeri

2013/07/24 – 17:20:37 PMCetakEmel Kawan
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan bonus sebulan gaji kepada 21,776 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan itu dan bonus akan diberi selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Pemberian bonus ini akan diberikan kepada kakitangan tetap, kontrak dan sambilan…namun sekiranya kerajaan pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi (bonus) setengah bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini.

Ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri untuk mengekang ajaran syiah di Selangor, Abdul Khalid berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Jais akan mengambil tindakan terhadap perkara ini. Sekiranya perlu diambil tindakan ke atas pihak yang mengamalkan ajaran itu, mereka (Jais) akan buat apa yang perlu,” katanya. – BERNAMA

1,888 ibu bapa fail saman tuntut bantuan prasekolah lebih RM1j – Bernama


1,888 ibu bapa fail saman tuntut bantuan prasekolah lebih RM1j

 

SHAH ALAM 14 Mac – Seramai 1,888 ibu bapa hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM1.038 juta kerana gagal memberikan bantuan pendidikan prasekolah kepada anak-anak mereka seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Saman difailkan Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi pihak ibu bapa di Selangor yang diketuai seorang suri rumah, Sarina Hashim, 35.

Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

Kesemua ibu bapa itu berasal dari tujuh kawasan Parlimen sekitar Selangor iaitu Gombak, Ampang, Pandan, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

Peguam yang mewakili plaintif, Kamarudin Ahmad selepas memfailkan tuntutan itu berkata manifesto itu menjanjikan untuk memberikan RM50 sebulan kepada kanak-kanak prasekolah di Selangor, namun ia gagal dilaksanakan sehingga ke hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130314/ma_03/1888-ibu-bapa-fail-saman-tuntut-bantuan-prasekolah-lebih-RM1j#ixzz2NUoX0fwZ
© Utusan Melayu (M) Bhd