Remaja mengaku rompak, cederakan wanita – Sinar Harian


Remaja mengaku rompak, cederakan wanita

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012

AYER KEROH – Seorang remaja yang mendakwa hidup sebatang kara, mengaku bersalah merompak dan mencederakan seorang wanita berusia 37 tahun di sebuah hotel bajet di  Taman Melaka Raya, 3 September lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif, semalam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan dan merompak Wong Shew Hong, 37, di dalam bilik sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, kira-kira jam 11.45 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dihukum penjara, denda dan sebat.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Juhari Haron, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ida Rahayu menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan serahan dokumen laporan akhlak tertuduh.

Sementara menanti tarikh berkenaan, Ida Rahayu memerintahkan tertuduh ditempatkan di Asrama Bukit Baru.

Jelajah Kolej Vokasional 1 Malaysia dilancar – Bernama


Jelajah Kolej Vokasional 1 Malaysia dilancar

29 Mei 2012

KUALA TERENGGANU – Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kini giat mempromosi Program Jelajah Kolej Vokasional 1Malaysia kepada umum bagi kemasukan pelajar sesi pertama bermula tahun depan.

Urusetia program jelajah tersebut, Mohd Yunus Yusof berkata usaha itu diharap mampu membuka dan mengikis tanggapan segelintir minda rakyat yang menganggap aliran vokasional sebagai pendidikan kelas kedua.

“Program jelajah bermula semalam melibatkan sebanyak 21 buah sekolah dari seluruh Semenanjung dengan penyertaan 164 peserta dari kalangan guru, staf dan pelajar dari sekolah aliran tersebut di seluruh negara.

“Buat masa ini, ia melibatkan laluan negeri Johor, Pahang, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan dimana kita memberi tumpuan dan penekanan kepada daerah pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tiba bersama rombongan konvoi di sini hari ini.

Rombongan tersebut kemudiannya mengedarkan risalah kepada masyarakat awam di sekitar Perpustakaan Awam Terengganu, Pusat Dagangan Terengganu, Pasaraya Giant dan Pasaraya Mydin sebelum bertolak ke destinasi seterusnya ke Tanah Merah, Kelantan pada hari yang sama.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju semua sekolah aliran vokasional di negara ini dinaiktaraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2013 bagi memastikan bekalan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi di negara ini  mencukupi.

“Kurikulum vokasional dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baru antaranya kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar,” katanya.

Pelajar aliran Kolej Vokasional akan mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun), meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia.

Pada masa ini, terdapat 78 sekolah vokasional seluruh negara akan dinaik taraf secara berperingkat.- Bernama