Budak 14 tahun dirogol 8 lelaki – Sinar Harian


Budak 14 tahun dirogol 8 lelaki

MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
23 Julai 2013
Budak 14 tahun dirogol 8 lelaki
Lokasi kejadian mangsa dirogol bergilir-gilir dipercayai oleh lapan lelaki di Bukit Kebuk awal pagi semalam.

MARAN – Tindakan pantas tiga anggota polis peronda melakukan pemeriksaan berjaya menyelamatkan seorang budak perempuan berusia 14 tahun daripada menjadi mangsa rogol sekumpulan lelaki di Bukit Kebuk, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun malang buat rakan mangsa, juga berusia 14 tahun apabila dirogol bergilir-gilir lapan lelaki terbabit di atas susunan tiang elektrik di kawasan semak berkenaan.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiga anggota polis yang sedang melakukan rutin rondaan mendapati sebuah kenderaan diletakkan berdekatan semak dalam keadaan mencurigakan.

Ketika memasuki jalan tidak bertar kurang 300 meter dari jalan utama untuk melakukan pemeriksaan, beberapa lelaki cuba melarikan diri dengan motosikal masing-masing sebaik menyedari kehadiran kenderaan polis.

Seorang daripada mangsa ditemui terbaring tanpa pakaian di atas susunan tiang elektrik, manakala rakan mangsa dikurung dalam kereta salah seorang lelaki terbabit.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang tinggal di sebuah tanah rancangan Felda dalam daerah ini keluar dari rumah masing-masing seawal jam 1 pagi tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Kedua mangsa dikatakan mahu ke rumah teman lelaki salah seorang daripada mereka di Temerloh, namun tidak mempunyai kenderaan sebelum menghubungi seorang rakan lelaki (suspek) untuk meminta pertolongan.

Selepas diambil dengan menaiki sebuah kenderaan, lelaki yang membantu mereka itu berhenti di sebuah stesen minyak berdekatan lokasi kejadian untuk berjumpa dengan rakan suspek lain.

Mangsa kemudiannya dibawa ke lokasi kejadian sebelum salah seorang daripada mereka dirogol bergilir-gilir dipercayai membabitkan lapan lelaki tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, pemeriksaan kesihatan mengesahkan salah seorang daripada remaja malang itu dirogol bergilir-gilir.

Menurutnya, tiga suspek berusia 16 hingga 19 tahun berjaya ditahan untuk membantu siasatan manakala rakan mereka yang lain sedang diburu pihak polis.

Klinik UPSR bantu murid hadapi peperiksaan – Berita Harian


Klinik UPSR bantu murid hadapi peperiksaan

Oleh Roselan Ab Malek
upen@bharian.com.my
2012/04/10

IBU bapa sekitar daerah Jerantut, Maran, Temerloh, Bera dan Lipis terus yakin program bimbingan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Klinik UPSR dapat meningkatkan kecekapan murid menjawab dengan tepat.

Walaupun terpaksa mengharungi perjalanan sekitar 100 kilometer, peserta program anjuran Unit Pendidikan Berita Harian, terus bersemangat menyertainya.

Aktiviti terus mendapat sambutan apabila lebih 200 murid luar bandar dan tanah rancangan Felda daripada kawasan sekitar Jengka, Sungai Retang dan Temerloh.

Program dua hari berlangsung di SMK Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang di Jerantut baru-baru ini, dipenuhi dengan empat sesi ceramah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Seorang penjaga, Zamri Mohd Amin dari Kuala Tahan, berkata dia sudah empat kali menghantar anaknya mengikuti program berkenaan dengan tiga daripada mereka memperoleh 5A dalam UPSR masing-masing.

“Saya dapati program ini berguna kerana memberi pendedahan kepada murid mengenai teknik menjawab soalan dengan tepat,” katanya.

Seorang bapa, Sallehuddin Ramli dari Felda Sungai Retang, berkata Klinik UPSR membantu anaknya membuat persiapan menghadapi peperiksaan selain meningkatkan motivasi untuk terus gigih.
Seorang peserta Aiman Haikal Zainal dari SK Kota Gelanggi 2, Jerantut, berkata dia bertambah yakin selepas mengikuti klinik ini dan berazam membuat ulang kaji berterusan melalui akhbar Didik.

Nur Anis Nabilah Mohamad dari SK Paya Pulai, Temerloh menyifatkan portal e-pembelajaran, guru.net yang disediakan penganjur membantunya membuat latihan secara maya.

Sementara itu, bagi calon UPSR sekitar Kemaman, Terengganu, masih lagi berpeluang mengikuti Klinik UPSR (Fasa 1) peringkat daerah itu yang akan diadakan di Dewan Kuliah TATiUC, Telok, Kalong, Kemaman pada Jumaat dan Sabtu ini (13 dan 14 April 2012).

Kepada ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka menyertai klinik itu dengan menghubungi Abdul Ghani Mat Nor, di Jabatan Pengedaran NSTP, Kuala Terengganu menerusi telefon             017-9725280       atau            09-6300114       untuk pendaftaran.