Tanam sifat prihatin sejak di bangku sekolah – Utusan


Tanam sifat prihatin sejak di bangku sekolah

Najib Tun Razak menyerahkan replika cek sebagai simbolik penyerahan bantuan aktiviti ekonomi tambahan projek jahitan kepada salah seorang peserta, Nor Ayu Ali (kiri) di Rompin, semalam. Turut sama, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua dari kanan) dan Rosmah Mansor (tiga dari kanan).

ROMPIN 6 Mei – Persatuan Pandu Puteri perlu menanam sifat prihatin dan peka di kalangan ahlinya bermula dari peringkat sekolah supaya generasi akan datang menjadi lebih bertanggungjawab dan sedia bekerjasama sesama mereka.

Yang Dipertua persatuan itu, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pada masa sama ahli Pandu Puteri perlu berusaha dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan kerana semakin tinggi keikhlasan maka, semakin baik balasan yang diperolehi.

“Hidup kita akan sentiasa mulia kalau kita terus mempunyai keinginan untuk sentiasa berbakti pada masyarakat. Saya percaya peranan ini akan memberi kesan lebih-lebih lagi jika membawa perubahan melalui khidmat yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Pahang, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Rosmah seterusnya menggesa ahli-ahli Pandu Puteri seluruh negara supaya mengatur langkah mengibarkan panji persatuan supaya menjadi badan yang aktif dan penuh prihatin dalam mendekati masyarakat.