Tangguh bayar bil demi anak – Sinar Harian


Tangguh bayar bil demi anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
Mohd Saian (dua,kiri) dan anaknya membuka paip selepas bekalan air disambungkan semula ketika kunjungan ahli Peka sempena Program Bantuan Bekalan Air.

KUALA SELANGOR – Demi membayar kos pengajian anak sulung berjumlah hampir RM3,000, sebuah keluarga di Lot 4906, Jalan Dato Abd Aziz, Kampung Bukit Kerayong, Jeram di sini sanggup menangguhkan pembayaran bil air sehingga tertunggak sebanyak RM160.77 sejak hampir sebulan lalu.

Lebih menyedihkan, sepanjang bekalan air terputus, pasangan suami isteri yang mempunyai 10 anak dan sembilan daripadanya masih bersekolah itu menggunakan bekalan air hujan yang ditadah setiap hari dan jika tidak mencukupi, mereka bergantung ihsan jiran tetangga.

Pasangan itu, Mohd Saian Rojakon, 55, yang bekerja sebagai petani bergantung hidup dengan hasil tanaman dan kerja kampung dianggarkan berjumlah RM300 setiap bulan itu nekad mengutamakan pendidikan anak sehingga terpaksa menggunakan wang disimpan untuk utiliti.

“Wang dikumpulkan digunakan untuk membiayai kos pengajian anak yang kini di tahun akhir ijazah sarjana muda perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM) manakala anak kedua turut melanjutkan pelajaran ke Politeknik di Kedah.

“Wang yang ada cukup-cukup sahaja untuk menanggung tujuh lagi anak yang masih bersekolah di peringkat menengah dan sekolah rendah di sini, namun saya bernasib baik kerana isteri, Noriah Noyo, 44, membantu menjual nasi lemak secara kecil-kecilan.

“Setakat ini, kami tidak dapat bayar bil air disebabkan kekangan kewangan meskipun bergantung kepada bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Bantuan Bekalan Air anjuran Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka).

Mohd Saian berkata, dia terharu apabila ada pihak prihatin dengan masalah kewangan dihadapinya dan menerima sumbangan air percuma sehingga enam bulan sekali gus dapat meringankan beban ditanggung selama ini.

“Saya juga difahamkan, mereka akan memantau sekiranya ada kebocoran paip bagi mengelakkan penggunaan keterlaluan dan pada masa sama, saya dapat menjimatkan wang selama enam bulan untuk membayar bil utiliti lain dan guna wang itu untuk keperluan harian.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada Peka dan Syabas yang datang ke rumah memberikan sumbangan dan mendidik anak kami untuk lebih berhemah menggunakan air pada masa akan datang,” katanya.

Setakat ini, difahamkan seramai 327 keluarga menerima manfaat melalui program Peka dan jumlah sumbangan bergantung kepada keikhlasan pemberi yang terdiri kakitangan Syabas, Puncak Niaga, badan korporat dan individu serta tidak terhad kepada mereka yang menerima subsidi air dari Kerajaan Negeri.

Sumbangan diterima berjumlah RM309,338.45 manakala sejumlah RM2,441.60 diterima secara berperingkat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan komitmen derma adalah RM311,780.05.