Tangguh pelajaran akibat kemalangan – Sinar Harian


Tangguh pelajaran akibat kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Januari 2013
Tangguh pelajaran akibat kemalangan
Zainol Fadzi (kiri) membantu Mohd Faizi menggunakan tongkat yang disampaikan.

LANGKAP – Kemalangan jalan raya yang dialami tahun lalu bukan hanya menyebabkan seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini menghadapi kesukaran bergerak tanpa bantuan serta pemantauan, malah dia terpaksa menangguhkan pelajarannya.

Dalam kemalangan berkenaan, Mohd Faizi Abd Razak, 17 mengalami patah tulang pinggul selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah motosikal lain sebelum tercampak ke tengah jalan dan dilanggar sebuah lori.

Ibunya, Rosnah Sarin, 42 memaklumkan, kejadian yang menimpa anak ketiga daripada empat beradik itu berlaku pada Ogos tahun lalu menyebabkan Mohd Faizi terpaksa tinggal di Hospital Teluk Intan selama beberapa bulan, sebelum dibenarkan pulang baru-baru ini.

“Bagaimanapun anak saya terpaksa dibawa ke Hospital Selayang selepas mengalami masalah di bahagian pundi kencing kerana perlu dibedah semula dan menjalani pemeriksaan lanjut.

“Kini dia alami kesukaran untuk berjalan tanpa bantuan orang lain dan saya perlu pantau keadaannya dari semasa ke semasa. Kerana itu saya ambil keputusan berhenti kerja, demi menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang turut menghulurkan bantuan tongkat bagi memudahkan remaja itu berjalan.

Dalam pada itu, Rosnah turut berterima kasih kepada Zainol Fadzi atas bantuan yang diberikan.

Sementara itu, Zainol Fadzi yang mengetahui nasib Mohd Faizi selepas dimaklumkan ketua kampung di sini merasa simpati dan berharap bantuan tongkat berkenaan dapat memudahkan pergerakan remaja berkenaan.