Samun, pukul pelajar – Sinar Harian


Samun, pukul pelajar

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mac 2013

BATU GAJAH – Bukan sekadar menyamun seorang pelajar lelaki tingkatan satu, malah dua lelaki sanggup memukul pelajar Sekolah Menengah Batu Gajah itu menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri dalam satu kejadian, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shahanon Anuar Abdul Latif memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 11 pagi dan ketika itu, remaja berkenaan yang bercadang membeli barang.

Menurutnya, remaja berkenaan telah berhenti di hadapan satu deretan kedai di Perumahan Awam Bemban, di sini, dan mendapati kedai berkenaan tutup.

“Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 kemudiannya menghampiri mangsa dan menyamun dompetnya yang mengandungi wang tunai sebanyak RM44.

“Ekoran kejadian, remaja berkenaan bertindak mengejar suspek sehingga ke kawasan tangki air di Taman Pelangi dan suspek bertindak memukul remaja itu dipercayai menggunakan topi keledar sebelum merampas telefon bimbitnya,” katanya kepada Sinar Haria, semalam.

Tambah beliau, kejadian itu telah menyebabkan remaja berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM1,000 dan remaja itu selaku pengadu terus ke Balai Polis Batu Gajah untuk membuat laporan polis.

Shahanon berkata, kedua-dua suspek berusia 33 tahun berjaya diberkas kira-kira 45 minit selepas kejadian.

“Anggota polis berjaya mengesan seorang daripada suspek, iaitu pembonceng motosikal dan menemui telefon bimbit remaja berkenaan. Tangkapan itu membolehkan kita berjaya menjejak rakannya di Taman Pelangi.

“Sebuah topi keledar milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memukul remaja berkenaan turut dirampas dan kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 13 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

SK Tanjung Batu tiada CF? – Sinar Harian


SK Tanjung Batu tiada CF?

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Februari 2013
SK Tanjung Batu tiada CF?
SK Tanjung Batu di Seberang Temerloh didakwa masih tidak mempunyai CF walaupun beroperasi sejak 10 tahun lalu.

TEMERLOH – Lebih 300 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu di sini terpaksa berhadapan pelbagai kesukaran apabila beberapa kemudahan disediakan rosak dan tidak dapat dibaik pulih disebabkan masih belum menerima sijil layak menduduki (CF).

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tanjung Batu, Nordin Abu Bakar mendakwa, kerosakan pada longkang, tandas, tangki air dan pendawaian elektrik tidak dapat diperbaiki gara-gara ketiadaan CF.

Menurutnya, sejak dibuka 10 tahun lalu, sekolah terbabit yang terletak kira-kira 10 minit dari bandar Temerloh masih belum mempunyai CF sekali gus mengundang pelbagai risiko jika berlaku sesuatu yang buruk.

“Setahu saya memang tidak ada penyerahan daripada pihak kontraktor kepada jabatan terlibat, kami (PIBG) banyak kali membincangkan masalah ini dan memaklumkan kepada pihak berkenaan namun masih tiada penyelesaian,” katanya kepada Sinar Harian.

Nordin berkata, terdapat lebih 300 murid dari Kampung Tanjung Batu, Lebak Seberang, Paya Jauh dan Padang Tenggala belajar di sekolah tersebut pada satu-satu masa.

Beliau berkata, antara masalah yang timbul sekarang ialah, pihak sekolah tidak dapat membaiki kerosakan tandas, pendawaian elektrik dan longkang pecah.

Lebih membimbangkan, Nordin berkata, sekiranya berlaku sesuatu kemalangan membabitkan murid atau guru sekolah itu, mereka akan menghadapi masalah untuk menuntut pampasan.

Sehubungan itu, Nordin mendesak pihak berkaitan supaya campur tangan dan menyelesaikan segera masalah ketiadaan CF tersebut dengan segera.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan pihak berkaitan, SK Tanjung Batu sememangnya masih tidak mempunyai CF, namun segala kerosakan kemudahan seperti tandas, pendawaian elektrik dilaporkan sebenarnya boleh dibaik pulih.

Menurut sumber terbabit, sekiranya berlaku kerosakan, pihak sekolah hanya perlu menghantar laporan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk disampaikan kepada kementerian.

Sumber memberitahu, ketiadaan CF bagi sekolah terbabit disebabkan kes tertentu yang masih dalam proses untuk diselesaikan.

Menurutnya, daripada segi keselamatan bangunan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan berkaitan mengesahkan sekolah terbabit selamat untuk diduduki.

Demi ayah – Metro


Demi ayah

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KASIH... Ibrahim  yang terlantar sakit hampir dua tahun dijaga oleh anaknya (dari kiri) Badrul Hisham,  Salman dan Siti Hajar.
KASIH… Ibrahim yang terlantar sakit hampir dua tahun dijaga oleh anaknya (dari kiri) Badrul Hisham, Salman dan Siti Hajar.

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan nekad meninggalkan bangku persekolahan sejak Jun lalu untuk menjaga bapanya yang sakit kerana terbabit kemalangan jalan raya setahun lalu.

Siti Hajar Ibrahim, 14, berkata, dia terpaksa melupakan impian meneruskan pelajaran kerana perlu menjaga bapanya, Ibrahim Muhd Taib, 84, yang terlantar di rumahnya di Kampung Bukit Tangki Air, Cheras di sini, sejak setahun lalu.
Dia tidak berseorangan menjaga bapanya kerana ditemani abang, Salman, 24, yang masih menganggur. Walaupun mempunyai 11 adik-beradik, namun disebabkan sibuk dengan kerjaya serta memiliki keluarga sendiri membuatkan masing-masing tidak dapat memberi tumpuan sepenuh masa terhadap bapa mereka.

 

“Saya tak kesal berhenti sekolah awal kerana kasihan dengan keadaan ayah yang sakit manakala ibu tiri pula sudah meninggalkan kami sejak dua bulan. Saya dan abang bergilir-gilir menjaga ayah bagi memastikan ubat dan susu diberikan kepadanya mengikut masa ditetapkan.
“Ayah tak dapat berkomunikasi dengan baik bagi menyatakan apa yang dia mahu. Kami hanya menggunakan bahasa isyarat untuk membantunya,” katanya.
Siti Hajar berkata, ibunya meninggal dunia sembilan tahun lalu dan bapanya pernah berkahwin dengan wanita dari Indonesia tetapi ibu tirinya itu sudah pulang sejak dua bulan lalu.

 

 

Seorang lagi anak Ibrahim, Badrul Hisham, 30, berkata, setiap hari dia memandikan bapanya selain meninjau keadaan dua adiknya yang tinggal di rumah berkenaan.
Dia bekerja sebagai pemandu teksi dan turut menjalankan perniagaan di pasar Down Town Cheras pada sebelah malam, sudah berkeluarga dan tinggal di Sungai Besi Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Cheras, Datuk Zurainah Musa yang menziarahi warga emas itu memuji sikap dua beradik berkenaan yang menjaga bapa mereka dengan baik.

 

Bagaimanapun, katanya, dia akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan warga emas itu di pusat perlindungan yang dilengkapi penjagaan kesihatan.
Beliau berharap anak-anak Ibrahim dapat berbincang mengenai tawaran itu selain membantu mendapatkan pelbagai bantuan sewajarnya kepada keluarga terbabit.
Ketua Umno Cawangan Cheras, Rosmani Mahimi pula berkata, pihaknya sering menyampaikan bantuan bersesuaian kepada warga emas itu bagi mengurangkan beban keluarganya Pada masa sama, katanya, dia berharap Siti Hajar dapat meneruskan semula persekolahan manakala abangnya akan mendapat pekerjaan sesuai. Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abd Shukor.

Kejutan tangki air pecah – Metro


Kejutan tangki air pecah
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

DUNGUN: “Saya menekan brek dengan kuat sebaik melihat air melimpah ke atas jalan,” kata Mohamad Abdullah, 35, menceritakan detik cemas sebuah tangki air di Sekolah Kebangsaan Paka, dekat sini, pecah dan nyaris mencederakan penduduk yang melalui kawasan itu, semalam.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah hari ketika dia melalui jalan belakang sekolah berkenaan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.
“Ketika kejadian, saya yang memandu kereta mengekori sekumpulan penduduk yang berbasikal dan bermotosikal sebelum terdengar satu letupan kuat.

“Selepas itu, saya melihat serpihan tangki air berkenaan berkecai dan jatuh ke tanah dengan air di dalam tangki melimpah memenuhi memenuhi jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Mohamad berkata, selain itu keseluruhan atap sebuah bangunan sekolah yang berada bersebelahan tangki air berkenaan rosak teruk akibat ditimpa bebanan air dan serpihan tangki itu.
“Beberapa penunggang basikal dan motosikal di depan saya kelam kabut dan mengelak daripada melanggar serpihan dan air yang laju.

“Keadaan itu menyebabkan saya yang mengekori di belakang terpaksa menekan brek sekuat hati bagi mengelak melanggar mereka,” katanya.
Mohamad berkata, dia menjangkakan sebanyak 300,000 liter air berada di dalam tangki setinggi kira-kira 20 meter itu dan kejadian berkenaan juga menyebabkan sebahagian pagar di belakang sekolah itu runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/14

Abang termenung – Metro


Abang termenung

Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RISAU...Maderom (kiri) bersama Aznul ketika ditemui di Hospital Miri, semalam.
RISAU…Maderom (kiri) bersama Aznul ketika ditemui di Hospital Miri, semalam.

MIRI: “Peluru itu masih dalam kepala dan turut mengenai otaknya, sekali gus meletakkannya dalam keadaan sangat kritikal.

“Kerana kecuaiannya (jiran) meletakkan senapang di tempat tidak sepatutnya, nyawa anak saya kini terancam,” rintih Maderom Matassan, 41, bapa kepada Nurul Afifah, 8, kanak-kanak perempuan yang cedera parah terkena tembakan di dahi dalam kejadian di kuarters pekerja kilang di Kampung Muhibah, Kuala Baram, dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, dia mengharapkan nyawa anaknya dapat diselamatkan meskipun doktor belum dapat mengesahkan keadaan sebenar berikutan peluru dalam kepala anaknya masih belum dapat dikeluarkan.

 

“Setakat ini, doktor hanya memantau keadaan anak saya berikutan peluru itu turut mengenai otak, sekali gus meletakkannya dalam keadaan sangat kritikal,” katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Miri, semalam.
Meskipun kesal dengan kejadian itu, Maderom berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut supaya pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.
Katanya, dia kini turut khuatir melihat emosi abang mangsa, Mohd Nur Aznul berusia 10 tahun yang sering menangis kerana trauma dengan kejadian menimpa adiknya.

 

 

“Mereka sangat rapat dan sering bermain bersama-sama selain tidak pernah berpisah. Jadi apabila perkara ini berlaku, abangnya sering menangis teringatkan adiknya.
“Keadaan ini menyebabkan saya serta isteri terpaksa menenangkan Aznul sepanjang masa dan memberitahu kami tidak menyalahkannya,” katanya.

 

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Nurul Afifah parah selepas terkena tembakan di dahi yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh Aznul, ketika mereka bermain senapang buatan sendiri milik seorang jiran yang ditinggalkan berhampiran tangki air kuarters berkenaan. Difahamkan, senapang itu diletakkan jiran berusia 20-an di situ kerana menyangka ia tidak lagi dapat digunakan selepas gagal berfungsi ketika dia cuba menembak burung beberapa hari lalu.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, setakat ini dua suspek yang disyaki pemilik senapang berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Jentolak rempuh pagar rumah guru – Kosmo


Jentolak rempuh pagar rumah guru

 

Oleh SHAH NIZAM OMAR
shahnizam.omar@kosmo.com.my

 

KEADAAN pagar rumah dan kereta milik Rozaidah yang rosak akibat dirempuh jentolak di Taman Desa Alam, Seksyen U12, Shah Alam semalam.

 

SHAH ALAM – Seorang guru yang bersiap-siap untuk keluar mengajar pada sesi petang terkejut apabila sebahagian tembok dan pagar rumah didiaminya dirempuh jentolak di Taman Desa Alam, Seksyen U12 di sini semalam.

Turut musnah dalam rempuhan itu ialah sebuah kereta jenis Nissan Grand Lavina milik guru tersebut serta pagar rumah dan sebuah kereta Perodua Kancil milik seorang jirannya.

Difahamkan sebelum kejadian itu, jentolak tersebut menjalankan kerja-kerja membaik pulih tangki air yang berada di atas bukit.