1,888 ibu bapa fail saman tuntut bantuan prasekolah lebih RM1j – Bernama


1,888 ibu bapa fail saman tuntut bantuan prasekolah lebih RM1j

 

SHAH ALAM 14 Mac – Seramai 1,888 ibu bapa hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM1.038 juta kerana gagal memberikan bantuan pendidikan prasekolah kepada anak-anak mereka seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Saman difailkan Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi pihak ibu bapa di Selangor yang diketuai seorang suri rumah, Sarina Hashim, 35.

Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

Kesemua ibu bapa itu berasal dari tujuh kawasan Parlimen sekitar Selangor iaitu Gombak, Ampang, Pandan, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

Peguam yang mewakili plaintif, Kamarudin Ahmad selepas memfailkan tuntutan itu berkata manifesto itu menjanjikan untuk memberikan RM50 sebulan kepada kanak-kanak prasekolah di Selangor, namun ia gagal dilaksanakan sehingga ke hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130314/ma_03/1888-ibu-bapa-fail-saman-tuntut-bantuan-prasekolah-lebih-RM1j#ixzz2NUoX0fwZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kementeria Pelajaran peruntuk RM1.3 juta untuk sekolah mubaligh di Selangor – Bernama


Kementeria Pelajaran peruntuk RM1.3 juta untuk sekolah mubaligh di Selangor

10 Julai 2012

Datuk Seri Noh Omar
SHAH ALAM – Kesemua 26 buah sekolah mubaligh di Selangor menerima peruntukan khas berjumlah RM1.3 juta daripada Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk kerja-kerja penyelengaraan.

Pengerusi Pembangunan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata setiap sekolah mubaligh menerima peruntukan RM50,000 bagi tujuan berkenaan.

“Bantuan ini diberikan oleh Kementerian Pelajaran kepada sekolah bantuan modal yang dimiliki oleh lembaga pengelola masing-masing. Kita berikan peruntukan ini untuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan sekolah terbabit.

“Yang penting, peruntukan ini untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dapat ditingkatkan dari segi penambahbaikan kemudahan-kemudahan sekolah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan cek peruntukan itu di Jabatan Pelajaran Selangor di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata terdapat 11 sekolah mubaligh di Klang, Petaling Utama (10), masing-masing dua di Kuala Langat dan Hulu Langat serta satu di Sepang.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan kerajaan Selangor mengenai papan iklan haram yang dipasang di kawasan Tanjong Karang, Noh yang juga Anggota Parlimen kawasan itu berkata ia merupakan tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata kesemua papan tanda itu dipasang oleh agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan, Kemajuan Pertanian Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga bagi memaklumkan kewujudan pusat berkenaan di kawasan Tanjong Karang.

“Semua itu adalah agensi kerajaan, jadi memanglah memamparkan wajah saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya.

Noh dalam pada itu menyelar tindakan Kerajaan Selangor yang menaikkan papan tanda ‘Selamat Datang ke Pekan Ikan Segar’ di beberapa kawasan di Kuala Selangor dan Tanjong Karang kerana projek itu diusahakan oleh kerajaan Persekutuan.

“Apa sumbangan mereka (kerajaan Selangor). Kerajaan persekutuan yang bangunkan dan beri bantuan termasuk jeti di Kuala Selangor yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia…mereka ambil jalan pintas, pacak papan tanda mereka,” katanya. — Bernama