Hamba seks bapa – Utusan


Hamba seks bapa

 

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

TASEK GELUGOR 22 Jun – Tindakan seorang gadis berusia 16 tahun melarikan diri selama tiga hari dari rumah sejak Ahad lalu, membongkar rahsia remaja itu dan dua adiknya yang sebenarnya tertekan kerana menjadi hamba seks kepada bapa dan bapa saudaranya sejak sembilan tahun lalu.

Rahsia itu terbongkar hanya selepas remaja tersebut ditemui semula oleh ibu saudaranya lalu menceritakan peristiwa hitam dia dan dua adiknya berusia 11 dan 14 tahun dirogol kedua-dua suspek.

Ibu dan ibu saudara mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sejurus selepas itu.

Difahamkan, bapa mangsa berusia 42 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan bapa saudara mereka berusia 37 tahun memaksa tiga beradik itu menerima wang setiap kali selepas dirogol selain diugut akan dipukul jika kejadian tersebut dihebahkan.

Perbuatan keji itu dipercayai telah berlaku sejak ketiga-tiga mangsa berusia tujuh tahun lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supritendan Mohd. Shukri Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan penahanan kedua-dua suspek pada hari sama laporan dibuat.

“Siasatan mendapati remaja terbabit mendakwa dirogol bapanya sejak 2004 di rumah mereka di Kampung Permatang Berangan di sini setiap kali ibunya keluar bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini.

“Dia dan dua adik perempuannya juga dirogol di rumah bapa saudara mereka di Ladang Malakoff yang terletak tidak jauh dari rumah mereka tanpa mengira masa sejak masing-masing berumur tujuh tahun,” katanya.

Mohd. Shukri berkata, ketiga-tiga beradik berkenaan tidak berani menceritakan apa yang berlaku kerana takut dicederakan biarpun ibu mereka yang berusia 40 tahun melihat perbezaan sikap tiga anaknya itu yang seolah-olah berada dalam keadaan trauma sepanjang masa.

Menurutnya, bapa mangsa tidak bekerja dan memegang kad OKU manakala bapa saudara mereka yang bekerja sebagai buruh tinggal seorang diri di ladang berkenaan dan belum berkahwin.

Kedua-dua suspek ujar beliau, kini direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 376(A) Kanun Keseksaan iaitu sumbang mahram dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

“Ketiga-tiga mangsa pula ditempatkan di hospital daerah di sini untuk pemeriksaan dan laporan awal perubatan mengesahkan kemaluan kesemua mangsa mempunyai kesan koyakan lama dan baharu,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130623/je_02/Hamba-seks-bapa#ixzz2WzcSazTQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rakyat diminta ubah tanggapan terhadap pendidikan vokasional – Bernama


Rakyat diminta ubah tanggapan terhadap pendidikan vokasional

13 Julai 2012
BUTTERWORTH – Ibu bapa diminta supaya mengubah tanggapan kononnya pendidikan vokasional adalah sebagai kelas kedua, kerana kelulusan bidang vokasional sekarang ini mempunyai masa depan yang cerah berbanding pendidikan akademik biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kelulusan dalam bidang kemahiran sebenarnya kini mendapat permintaan tinggi dari sektor swasta dan tenaga kerja mahir juga diperlukan untuk menjana ekonomi negara.

“Bidang vokasional jelas mampu melahirkan modal insan kelas pertama ke arah menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Kecekapan Kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada 435 pelatih di Dewan Besar Sungai Dua di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai contohnya, tenaga kerja di negara-negara maju adalah golongan yang mendapat pendidikan dalam bidang vokasional.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti latihan selama sembilan bulan anjuran Akademi Binaan Malaysia Utara Sdn Bhd, (ABM) dan CIDB menikmati gaji antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Beliau berkata, pelatih bekenaan senang mendapat pekerjaan kerana mempunyai kemahiran berbanding siswazah yang menamatkan pengajian di universiti dan ini membuktikan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran adalah meningkat.

Terdahulu Nor Mohamed ketika melawat Pasar Tasek Gelugor di sini, berkata projek menaik taraf pasar itu yang membabitkan peruntukan bernilai RM474,000 telah siap sepenuhnya.

Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM1.4 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan Parlimen Tasek Gelugor pada September 2011. – Bernama

RM440j untuk pembangunan, naik taraf sekolah Tamil – Bernama


RM440j untuk pembangunan, naik taraf sekolah Tamil

24/03/2012 9:20pm

 

TASEK GELUGOR 24 Mac — Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM440 juta bagi membiayai program pembangunan dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negara ini sejak tiga tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, peruntukan itu juga bertujuan menaikkan tahap pendidikan belia India di negara ini, dan sejajar dengan matlamat tersebut, kerajaan menambah bilangan penerima biasiswa bagi pelajar kaum berkenaan.

“Seramai 400 pelajar India di negara ini sudah menerima biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Yayasan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) supaya dapat membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Pengayaan Pendidikan Prasekolah Tamil di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed dan Pengarah Yayasan Masyarakat dan Pendidikan Malaysia (MCEF), Tan Sri C Rajandram.

Nor Mohamed berkata, kerajaan juga menyediakan 1,000 tempat di matrikulasi untuk pelajar India yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2011.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi memperuntukkan RM23.6 juta bagi melaksanakan program latihan kemahiran membabitkan belia India dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah di kalangan kaum tersebut.

Katanya, program itu sedang dilaksanakan di pelbagai institusi latihan swasta seluruh negara dan ia dijangka dapat mengurangkan kadar kemiskinan, selain menjana pendapatan melalui kemahiran yang dipelajari.

Nor Mohamed berkata kejayaan Program Harapan Prasekolah kendalian kerajaan bersama MCEF sejak 2007, berjaya menarik kemasukan kira-kira 9,000 pelajar kaum India di bawah umur enam tahun. — BERNAMA