Hilang nyawa bergesel kaki – Metro


Hilang nyawa bergesel kaki

Oleh Mohd Razlan Salleh dan Fardy Bungga
hmkk@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAWAU: Hanya disebabkan bergesel kaki dan terpijak kasut ketika asyik menari, seorang remaja dibelasah sehingga mati oleh sekumpulan lelaki dalam pergaduhan di persimpangan bulatan besar Jalan Tawau-Keningau di Kalabakan, di sini, 25 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa berusia 16 tahun cedera parah di perut, muka, kepala dan tangan disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau jam 3.20 petang, kelmarin, selepas enam hari bertarung nyawa.
Difahamkan, kumpulan suspek menunggu mangsa di bulatan besar Jalan Tawau-Keningau di Kalabakan.

 

Sebaik tiba di kawasan itu, mangsa yang bermotosikal bersama dua rakannya terus diserang kumpulan itu.
Namun, dua lagi rakan mangsa dapat melarikan diri, manakala mangsa terus dibelasah sehingga tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, siasatan awal mendapati remaja warga asing itu dibelasah menggunakan kayu oleh sekumpulan lelaki berusia 17 hingga 23 tahun.

 

 

“Semua suspek dipercayai menetap di sekitar Kalabakan dan ada antara mereka turut mengenali mangsa.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat dendam berikutan mangsa tergesel kaki dan terpijak kasut seorang ahli kumpulan terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

 

Ibrahim berkata, mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Tawau sejak 25 Januari lalu dan meninggal dunia, petang kelmarin.
“Polis menahan lapan suspek termasuk dua warga asing di sekitar Kalabakan pada 27 Januari lalu dan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan sebelum diubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa meninggal dunia.