Dewan Rakyat: Larangan telefon bimbit kekal – Berita Harian


Dewan Rakyat: Larangan telefon bimbit kekal

Pelajar tetap tidak dibenarkan bawa peralatan elektronik ke sekolah

Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran masih mengekalkan peraturan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata larangan berkenaan dinyatakan dengan jelas melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 2/2009, tetapi kementerian sedang mengkaji keperluan gajet itu oleh pelajar.

Perbincangan pihak berkepentingan

“Satu sesi perbincangan meja bulat diadakan pada 25 Ogos lalu membabitkan pihak berkepentingan seperti pengetua, guru besar, ibu bapa dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ia bagi mengenal pasti keperluan penggunaan gajet teknologi dan sebarang cadangan mengenai isu itu,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam).

Teck Meng ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai hasrat kementerian membenarkan pelajar membawa telefon bimbit dan peralatan elektronik ke sekolah.
Kementerian teliti

Selain perbincangan meja bulat, Muhyiddin berkata, kajian turut dijalankan terhadap pelajar dan guru di sembilan sekolah bandar dan luar bandar di Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan.

Katanya, ia membabitkan dua Sekolah Kebangsaan (SK), dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dua SJK Tamil (SJKT), dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan sebuah SM Vokasional (SMV).

“Seramai 274 pelajar sekolah dipilih bagi tujuan tinjauan asas ini,” katanya sambil menjelaskan kementerian sedang meneliti secara menyeluruh semua dapatan dan pandangan masyarakat, termasuk tokoh akademik, pemimpin NGO, guru, ibu bapa dan pelajar sebelum membuat keputusan muktamad berhubung isu berkenaan.

Peraturan Larang Pelajar Bawa, Guna Telefon Bimbit Di Sekolah Masih Kekal – Bernama


Peraturan Larang Pelajar Bawa, Guna Telefon Bimbit Di Sekolah Masih Kekal

KUALA LUMPUR: Setakat ini Kementerian Pelajaran (KPM) masih mengekalkan peraturan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh pelajar sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos lepas melibatkan pihak berkepentingan antaranya pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan komunikasi oleh pelajar sekolah.

“KPM sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa danmurid-murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Liang Teck Meng(BN-Simpang Renggam) di Parlimen di sini, Rabu.

Liang ingin tahu perkembangan terkini mengenai hasrat kementerian itu membenarkan pelajar sekolah membawa telefon bimbit dan alat-alat elektronik ke sekolah serta kesan sampingan sekiranya dasar ini dilaksanakan.

Muhyiddin berkata, kementerian telah menjalankan kajian dalam kalangan pelajar serta guru sekolah bagi mendapatkan pandangan mengenai penggunaan peralatan komunikasi di sekolah.

Katanya, kajian melibatkan 274 responden itu dijalankan di sembilan sekolah di daerah Seremban dan Port Dickson.

Pada Julai lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajarmembawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermulatahun depan.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibubapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebihbanyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. – BERNAMA