Seksa 3 anak – Metro


Seksa 3 anak
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Naimah Mohamed
am@hmetro.com.my

SUBANG JAYA: Perbuatan zalim seorang bapa mendera tiga anak kandungnya apabila sering memukul dan melakukan gangguan seksual kepada mereka terbongkar selepas seorang jiran melaporkan kes itu kepada polis, kelmarin.

Tiga mangsa terbabit iaitu dua perempuan dan seorang lelaki berusia tujuh hingga 17 tahun dikatakan mengalami kecederaan dan lebam di badan akibat selalu dipukul bapa mereka berusia 44 tahun yang mengalami tekanan emosi.
Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan selalu memukul tiga anaknya itu termasuk menggunakan paip getah hampir setiap hari walaupun hanya melakukan kesalahan kecil.

Menurut sumber, seorang jiran membuat aduan mengenai kejadian itu kepada Talian Nur sebelum tiga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pergi ke pangsapuri dihuni mangsa di Puchong Hartamas, di sini, jam 10 pagi kelmarin.

Gadis hilang di Kuantan mengaku tidak diculik: Polis – Bernama


Gadis hilang di Kuantan mengaku tidak diculik: Polis

2012/03/21

KUANTAN: Gadis yang dikatakan diculik ketika keluar membeli kad tambah nilai prabayar Ahad lalu, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, akhirnya mengaku bahawa dia sebenarnya tidak diculik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata gadis itu juga mengaku bahawa dia dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun disebabkan tekanan emosi yang dialami.

“Laporan yang dibuat kepada polis dengan mendakwa gadis itu diculik adalah tidak benar kerana dia mengaku dia tidak diculik tetapi melarikan diri dari rumah kerana tekanan perasaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Siti Nur Fatihah ditemui di rumah teman lelakinya di Kampung Merchong dekat Pekan petang semalam, selepas dikatakan diculik dua lelaki dan seorang wanita semasa bersama adik lelaki dan sepupunya membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Tas di sini, Ahad lalu.

Narenasagaran berkata remaja itu sendiri yang menghubungi kedua-dua lelaki dan wanita berkenaan supaya menghantarnya ke rumah teman lelakinya pada hari dia dilapor hilang oleh keluarganya.

Beliau berkata Siti Nur Fatihah kini dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak Sultanah Fatimah di sini untuk kaunseling dan penjagaan kerana dia tidak mahu pulang ke rumah serta merayu tidak mahu menemui sesiapa.

“Kes ini telah selesai dan kami menegaskan bahawa ini bukan kes culik. Mangsa keluar rumah secara sukarela dan tiada unsur paksaan atau kekerasan oleh mana-mana pihak dalam kes ini.
“Mangsa keluar rumah dengan tujuan hendak menenangkan fikiran dan mahu tinggal sementara dengan keluarga teman lelakinya,” katanya.

Ditanya mengenai dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 20-an yang sebelum ini dikatakan melarikan gadis itu, Narenasagaran berkata mereka tidak ditahan tetapi akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

“Mereka tidak melakukan penculikan tetapi polis akan panggil semula kedua-dua lelaki dan wanita itu untuk diambil keterangan,” katanya. – BERNAMA