PPPM 2013-2025 dirangka dengan teliti dan berlainan – TPM – Utusan


PPPM 2013-2025 dirangka dengan teliti dan berlainan – TPM

 

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN dan KHAIRULANUAR YAHYA

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Kementerian Pendidikan mencipta kelainan dalam penghasilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan penggunaan data yang diperoleh daripada kajian kementerian itu, universiti tempatan, Unesco dan juga Bank Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian juga telah menganalisis semua laporan awal termasuk Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembangunan Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.

Menurut beliau, dengan semua dapatan tersebut, kementerian memulakan perancangan bagi pelaksanaan panjang pelan berkenaan sehingga tahun 2025.

“Jadi setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM 2013-2025 tidak dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarklan kepada fakta dan data selain daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.

“Pelan ini juga memberi tumpuan kepada keberhasilan murid yang melibatkan laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan yang merangkumi semua pringkat persekolahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian PPPM 2013-2025 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan dua Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap serta P. Kamalanathan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menegaskan, melalui pelan yang turut dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28), kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tidak akan dinafikan sama sekali.

“Selain itu, kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia dan memberi perhatian utama bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris yang akan dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM menjelang tahun 2016,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_33/PPPM-2013-2025-dirangka-dengan-teliti-dan-berlainan—TPM#ixzz2e7rVGicy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pendidikan Kemahiran & Vokasional Bukan Pengajian Kelas Kedua – KP JTM – Bernama


Pendidikan Kemahiran & Vokasional Bukan Pengajian Kelas Kedua – KP JTM

BUKIT MERTAJAM: Masyarakat terutama ibu bapa perlu mengubah pemikiran yang menganggap pendidikan dalam bidang kemahiran dan vokasional sebagai bidang pengajian kelas kedua.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Romli Hassan berkata tanggapan itu perlu dikikis kerana lulusan institut latihan dan kemahiran di negara ini mampu memenuhi keperluan pasaran industri tempatan dan luar negara.

“Masalahnya sekarang ni dari segi minda masyarakat. Media perlu memainkan peranan untuk menukar pemikiran masyarakat, ‘think out of the box’. Mereka seperti tidak boleh menerima apabila anak mereka mahu bekerja di kilang.

“Mereka tidak tahu kerja kilang tu taraf mana. Bukan semua yang kerja kilang tu jadi pekerja biasa. Ada yang menjadi ‘supervisor’, ‘technician’. Kalau semua nak kerja kerajaan mana boleh, kilang siapa yang nak kerja? Lagi satu pelaburan macam mana nak masuk? Kerja di mana-mana sama sahaja, yang penting ikhlas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan bagi sekolah-sekolah teknik dan vokasional seluruh negara tahun 2012 di Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), di sini, Isnin. Romli berkata antara 10,000 hingga 13,000 pelatih institut latihan dan kemahiran di bawah JTM menamatkan pengajian mereka setiap tahun dan 88 peratus berjaya mendapat pekerjaan dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh enam bulan.

“Hanya 12 peratus daripada jumlah itu masih belum mendapat kerja dan mereka dalam proses mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata pelajar juga berpeluang memiliki kerjaya yang baik dalam bidang itu kerana kemahiran dan latihan yang diterima menjadikan mereka mudah ‘dipasarkan’.

Mengulas lanjut, Romli berkata seiring dengan usaha kerajaan untuk mentransformasikan bidang kemahiran dan vokasional, sebanyak empat institut latihan kemahiran baharu akan dibuka iaitu di Taiping, Perak; Jerantut, Pahang; Kemaman, Terengganu dan Bintulu, Sarawak yang dijangka beroperasi pada Januari dan Julai tahun depan.

Katanya ketika ini terdapat 28 institut latihan di bawah JTM sedang beroperasi dan berkeupayaan melatih 23,000 pelajar setiap tahun dengan menawarkan 68 bidang kemahiran dan vokasional di seluruh negara. -BERNAMA

90,000 pelajar ikuti sistem Kolej Vokasional menjelang 2020 – Utusan


90,000 pelajar ikuti sistem Kolej Vokasional menjelang 2020

MELAKA 13 Sept. – Kementerian Pelajaran menyasarkan seramai 90,000 pelajar bakal mengikuti sistem pembelajaran di Kolej Vokasional seluruh negara menjelang 2020.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini berikutan transformasi 79 buah Sekolah Menengah Vokasional (SMV) sedia ada kepada Kolej Vokasional (KV) tahun depan dan tujuh lagi KV baru yang bakal dibina menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Sasaran pada 2020 ialah 80 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini.

“Yang mengikuti pengajian KV tahun ini hanya 3,500 pelajar daripada 15 KV yang menjadi perintis dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 15,000 pelajar tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Persidangan Kebangsaan Pendidikan Vokasional 2012, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab.

Kata Mohd. Puad, pengajian percuma antara dua hingga empat tahun dengan kelulusan Diploma Vokasional Malaysia yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu menawarkan 53 bidang termasuk pertanian, pelancongan dan penerbangan.

Kata beliau, sistem pengajian KV yang menawarkan 70 peratus kemahiran itu membuka ruang kepada lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kelulusan sekurang-kurangnya C dalam mata pelajaran Matematik dan Sains mengikuti pengajian sepenuh masa atau empat tahun.

Bagi lepasan PMR yang kurang cemerlang, mereka masih boleh memohon untuk mengikuti pengajian di KV selama dua tahun.

Sementara itu, sebanyak lapan resolusi telah dicapai dalam persidangan tiga hari bermula 10 September lalu yang disertai seramai 384 peserta yang terdiri daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan vokasional.

Antara resolusi yang diperoleh ialah mengarus perdana pendidikan vokasional dengan mengiktiraf dan memperluas aliran kerjaya dan artikulasi pembelajaran selaras pembelajaran seumur hidup.

Tidak ketinggalan ialah menyegerakan penubuhan Majlis Pembangunan Pendidikan Vokasional Nasional agar kurikulum, pentaksiran dan pensijilan vokasional diiktiraf oleh badan profesional.

Kata Mohd. Puad, cadangan yang telah mendapat persetujuan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Timbalan Perdana Menteri itu kini dalam peringkat kajian.

Pendidikan vokasional sahut cabaran negara – Kosmo


Pendidikan vokasional sahut cabaran negara

GEORGE TOWN – Sistem pendidikan teknik dan vokasional bertujuan untuk menyahut cabaran negara bagi mengisi keperluan dalam bidang kejuruteraan serta kemahiran selaras dengan perkembangan industri negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak haruslah memainkan peranan penting supaya pendidikan teknik dan vokasional mampu melahirkan pelajar berilmu serta berjaya.

“Kementerian Pelajaran berharap semua pihak terutama golongan pendidik dapat mengetengahkan bakat pelajar yang berpotensi mencipta, mengubah dan menggunakan teknologi agar kemajuan yang dikecapi setanding negara-negara maju,” katanya.

Pendidikan vokasional jadi bidang arus perdana 2013 – Utusan


Pendidikan vokasional jadi bidang arus perdana 2013

18/02/2012 7:33pm

 

 

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

 

KUALA TERENGGANU 18 Feb. – Bidang Vokasional bakal menjadi pendidikan arus perdana apabila langkah menaik taraf 78 buah sekolah menengah vokasional di seluruh negara siap sepenuhnya menjelang tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa elemen tambahan akan dimuatkan di dalam kurikulum pendidikan itu antaranya berkaitan latihan keusahawanan.

Katanya, elemen latihan ketika bekerja akan dilaksanakan selari dengan transformasi pendidikan negara.

Dalam usaha memberi nilai tambah, bidang-bidang baru akan turut diperkenalkan termasuklah bidang hospitaliti, pengangkutan, industri sukan dan pengurusan acara.

“Ia bagi menjadikan pelajar itu nanti lebih kreatif serta inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang.

“Justeru kita berharap dengan adanya kolej vokasional ini nanti mampu melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konsolidasi, Transformasi Pendidikan Vokasional Terengganu/Kelantan di Dewan Teknokrat, Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pengoperasian Sekolah Bahagian Teknik Dan Vokasional (BPTV), Zainuren Mohd. Nor dan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad memberitahu, setakat ini, sebanyak 15 sekolah telah dikenal pasti bagi menyediakan Program Asas Vokasional (PAV) dan 15 lagi untuk kolej vokasional dalam usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara terutamanya bidang kemahiran.

Bagaimanapun tambahnya, 10 buah sekolah teknik masih lagi dikekalkan bagi memberi peluang pelajar-pelajar yang meminati bidang kejuruteraan dan perdagangan meneruskan persekolahan mereka.

“Kita akan melihat perkembangan ini dari semasa ke semasa dan buat masa ini, hanya 10 buah sekolah dikekalkan bagi memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang ingin menyambung pelajaran khusus dalam bidang-bidang kemahiran ini,” katanya. – UTUSAN

Projek rintis Program Asas Vokasional – Berita Harian


Projek rintis Program Asas Vokasional
Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my
2012/01/04

PROJEK rintis PAV dapat melahirkan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

PROJEK rintis PAV dapat melahirkan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

KEMENTERIAN Pelajaran yakin pelaksanaan projek rintis Program Asas Vokasional (PAV) untuk pelajar Tingkatan Satu, bermula sesi pengajian tahun depan, mendapat sambutan menggalakkan.

Projek itu memberi peluang lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kurang cemerlang akademik tetapi berminat menyambung sesi persekolahan dalam bidang vokasional.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata PAV dirangka untuk pelajar menengah rendah berusia 13 hingga 15 tahun dengan mekanisma pemilihan pelajar masih peringkat kajian terperinci.

Melalui PAV, beliau berkata, pelajar ditawarkan kelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua apabila menamatkan pembelajaran Tingkatan Tiga.

Sekiranya pelajar terus berminat, katanya masing-masing berpeluang menyambung pengajian di Kolej Vokasional yang bakal ditubuhkan pada 2013.

“Buat masa ini, kementerian dalam proses menjalankan kajian mengenai kecenderungan minat pelajar sama ada terarah kepada akademik atau bidang kemahiran,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Ahmad Tajudin Jab, berkata program rintis itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga muda berkemahiran tinggi.
Jika dilihat pada sistem pendidikan di negara kini, beliau berkata, kurikulum lebih berorientasikan peperiksaan sedangkan tidak semua pelajar cenderung ke arah itu sebaliknya minat kepada kemahiran.

“Wajar program ini diwujudkan kerana pelajar bersifat ‘hands on’ atau kemahiran mempunyai saluran tepat mendapatkan ilmu berkaitan,” katanya.

Melalui program itu juga, Ahmad Tajudin berkata, pelajar didedahkan dengan bidang kemahiran pada usia lebih muda iaitu seawal 13 tahun, kelebihan itu membolehkan mereka mendapat kelayakan SKM tahap dua sebaik menamatkan Tingkatan Tiga.

“Projek rintis PAV yang akan dijalankan bermula tahun depan ini membabitkan 15 sekolah seluruh negara dengan bilangan pelajar kira-kira 450 orang.

“Pemilihan pelajar untuk projek rintis ini dibuat berdasarkan permohonan yang mana keputusan diumumkan awal Disember 2011.

“Pelajar Tingkatan Satu diajar enam bidang asas vokasional antaranya kejuruteraan, pertanian dan ekonomi rumah tangga, manakala pengkhususan boleh dibuat apabila berada di Tingkatan Dua,” katanya.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Abdul Rashid Muhamed, berkata penekanan bidang vokasional sepatutnya diterapkan pada peringkat sekolah menengah sejak dari dulu kerana tidak semua pelajar cenderung akademik.

“Kepandaian pelajar bukan sekadar akademik saja tetapi pelbagai termasuklah kemahiran yang perlu diberi perhatian serius untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Keputusan kerajaan memulakan pendidikan vokasional kepada pelajar Tingkatan Satu adalah usaha wajar dan perlu disegerakan.” katanya.