Belajar bahasa Inggeris guna telefon – Kosmo


Belajar bahasa Inggeris guna telefon

 

Oleh ALIF ABU BAKAR

 


 

SEGALA-GALANYA bermula di meja makan rumahnya yang terletak di SS3, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu, Rani Wemel, 50, sedang melayari internet bagi mengisi masa lapang selepas anak-anaknya ke tempat belajar.

Daripada situ, dia dapat mengesan betapa besarnya pengaruh telefon bimbit dalam kehidupan manusia walaupun pada waktu itu telefon bimbit sangat ringkas dan bersifat asas iaitu hanya boleh membuat panggilan serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kemudian, atas inisiatif membantu orang ramai dalam perbualan bahasa Inggeris, Rani dan suaminya, Wemel C.V., 60, yang merupakan seorang usahawan mengadakan pembelajaran mobil yang dikenali sebagai SMS-Me-English pada tahun 2004.

“Kaedah yang digunakan ketika itu sangat asas iaitu dengan menggunakan platform SMS, pengguna menerima satu SMS yang mengandungi perkataan Inggeris setiap hari,” kata Rani yang bertugas sebagai Pengarah Eksekutif LTT Global Communications.

Kongsi suaminya yang bertindak sebagai Sekretariat Ahli Bersekutu Persatuan Untuk Pembelajaran Dalam Talian Dunia (WAOE), secara teori seseorang itu mampu berbual dalam bahasa Inggeris dengan hanya memahami dan tahu menggunakan 200 patah perkataan.

PORTAL web Dunia English memberi sokongan kepada para pelajar supaya dapat mempraktikkan bahasa Inggeris mengikut kesesuaian.

 

Seiring dengan perkembangan teknologi mobil, teknik pembelajaran dalam talian, SMS-Me-English turut membangun dengan memperkenalkan program Mobile English.

Kini, evolusi pembelajaran bahasa Inggeris tersebut dikenali sebagai DuniaEnglish pula dengan memberi penekanan pembelajaran melalui tiga kaedah berbeza.

Kaedah pertama adalah setiap pelajar akan mendapat satu SMS dalam sehari, sama seperti kaedah awal. Sekurang-kurangnya, para pelajar mampu mempelajari 250 perbendaharaan kata baharu dalam tempoh setahun.

Setiap perkataan baharu akan disertakan dengan maksud dan cara untuk mengaplikasikan satu set aksara dalam perbualan seharian.

Terdapat tiga tahap pengiriman perkataan berdasarkan kesukaran iaitu asas, pertengahan dan maju. Tahap maju, tiada perkataan bahasa Melayu digunakan bagi menerangkan kata yang dikirim.

“Kami menasihatkan setiap pelajar supaya menulis kembali perkataan yang dikirim supaya pembelajaran bawah sedar boleh berlaku melalui pergerakan tangan dan pandangan mata,” kata Rani ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya.

DUNIA ENGLISH membantu orang ramai belajar bahasa Inggeris menggunakan laman web dan telefon bimbit.

 

SMS atau portal

Kaedah pembelajaran kedua Dunia English pula adalah melalui laman web yang beroperasi selama 24 jam sehari.

Dengan portal http://www.duniaenglish.com, para pelajar dapat mempraktikkan perkataan Inggeris yang dipelajari mengikut minat masing-masing.

Dengan menggunakan medium yang diminati seperti radio, surat khabar, sukan atau permainan video, pelajar dapat mempraktikkan sebutan, mendengar dan mengeja bahasa Inggeris.

Kata Rani, terdapat lebih kurang 11 cara yang berbeza untuk mempraktikkannya. Amat penting apabila belajar dengan menggunakan kaedah yang diminati sekali gus pembelajaran secara tidak langsung boleh berlaku.

Sebaik-baiknya, setiap pelajar disarankan supaya menggunakan bantuan laman portal itu antara 30 hingga 45 minit sehari bagi memaksimumkan pembelajaran.

Bukan sahaja ditujukan kepada para pelajar pada peringkat sekolah dan universiti, Dunia English turut menyasarkan kelompok para pekerja tanpa mengira tingkat pekerjaan.

Pembelajaran dua hala dan interaktif amat penting dalam menguasai bahasa Inggeris, malah bagi memastikan tiada orang mengalami keciciran, Dunia English mengadakan kelas tutorial secara langsung kepada pelajar setiap minggu.

Kelas yang diadakan sekali seminggu membolehkan setiap pelajar bertanyakan soalan yang tidak boleh dilakukan pada portal web kepada tutor yang bertugas.

Diadakan pada hari Rabu pada pukul 8.30 malam, ia boleh diakses dengan mudah menggunakan komputer yang mempunyai sambungan internet selain aksesori seperti fon kepala dan mikrofon.

WAKTU yang fleksibel mengikut kesesuaian para pelajar merupakan ciri utama Dunia English.

 

Kelas tutorial yang diadakan itu membolehkan pelajar berinteraksi dan bertanyakan soalan secara terus kepada tutor yang diajar sendiri oleh Rani.

“Setiap kelas tutorial akan diberi tajuk perbincangan yang seronok dan terkini bagi memastikan ia menarik perhatian semua pelajar untuk berinteraksi,” kata Rani yang memiliki tiga orang anak.

Sebagai contoh, topik sukan Olimpik London 2012 dipilih kerana ia mampu menarik perhatian ramai walaupun seseorang itu kurang berminat dengan sukan. Statusnya sebagai sukan Olimpik pertama yang dikuasai teknologi mobil menarik perhatian.

“Olimpik London 2012 membuktikan bahawa teknologi mobil boleh pergi lebih jauh berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Sijil pembelajaran

Kepada pelajar yang terlepas kelas tutorial tersebut mereka boleh mengikuti semula kerana semua pembelajaran langsung yang disimpan dalam arkib dan boleh dilayari semula pada bila-bila masa.

Barangkali ada beberapa individu yang bersifat sinikal mengatakan teknologi yang digunakan pada Dunia English agak ketinggalan.

Namun, matlamat untuk memberikan kaedah pembelajaran mampu milik dan berpatutan menjadi pegangan Rani dan Wemel.

“Mungkin kaedah yang sama sudah ada empat tahun dahulu, tetapi ketika itu sangat mahal dan tidak mungkin yuran berpatutan boleh dikenakan,” terang Rani lagi.

Setakat ini, kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Maktab Koperasi Malaysia, Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) Melaka dan Pusat Pengurusan Maklumat Bank Negara Malaysia sudah menyertai program tersebut.

Kata Wemel, Dunia English membolehkan para pelajar belajar bahasa Inggeris tanpa perlu meninggalkan tempat bekerja dan amat berpatutan.

Program Dunia English berharga RM20 sebulan dan berlangsung selama setahun. Selalunya, yuran dibayar secara kumulatif untuk setahun iaitu sebanyak RM240.

Secara kasarnya, program tersebut memaksimumkan fleksibiliti para pelajar, mengurangkan rasa malu dan mereka boleh mempelajari sesuatu bergantung kepada tahap kemampuan.

Sebaik tamat pembelajaran melalui program yang berlangsung selama setahun itu, para pelajar diberi pilihan untuk menduduki sebuah peperiksaan khas bagi mendapatkan sijil untuk Kemahiran bahasa Inggeris.

Sijil dianugerahkan oleh Sekolah Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang bekerjasama dengan LTT Global Communication.

Ajar anak cepat membaca – Sinar Harian


Ajar anak cepat membaca
NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
11 Jun 2012

Uthayakumari menunjukkan teknik pembelajaran yang menyeronokkan untuk
menarik minat anak
Pemilihan buku yang betul membantu anak cepat membaca
Mengetahui ada antara anak rakan yang boleh membaca seawal usia dua tahun pasti membuatkan ibu bapa tertanya-tanya bagaimana ia boleh dilakukan.

Melihat sendiri kebolehan kanak-kanak itu seolah-olah memberikan satu motivasi kepada ibu bapa lain untuk menjadikan anak masing-masing pandai membaca pada awal usia.

Pada masa sama tidak mengganggu rutin harian kanak-kanak ini untuk bermain sesuai dengan peringkat umurnya.

Pengurus Bahagian Glorier Malaysia, T Uthayakumari berkata, kebolehan anak kecil seusia dua tahun sudah pandai membaca adalah disebabkan inisiatif ibu bapa menggunakan teknik betul mengajar anak cepat membaca.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman selama tujuh tahun dalam syarikat menyediakan bahan bacaan dan pendidikan yang menguji minda anak banyak beri maklumat kepadanya bagaimana bahan bacaan dapat bantu anak kecil cepat membaca.

“Sebenarnya otak anak berkembang sejak di dalam rahim. Justeru ibu bapa boleh memainkan lagu atau membacakan buku kepada bayi dalam kandungan kerana perkembangan otak ketika bayi lebih banyak menerima maklumat daripada usianya empat tahun dan ke atas.

“Oleh itu, ibu dan bapa perlu melakukan aktiviti membaca kisah atau muzik yang dapat merangsang otaknya. Apabila bayi dilahirkan, masih diteruskan aktiviti berkenaan walaupun kelihatan anak tidak faham,” katanya kepada penulis.

Walaupun kelihatan pelik, tetapi kata Uthayakumari, ia terbukti berkesan kerana walaupun kelihatan bayi tidak faham apa diperkatakan ibu bapanya tetapi sebenarnya otaknya dapat menangkap sebutan atau sebarang bunyi diberikan.

“Peranan ibu bapa sangat penting dalam menarik anak untuk membaca sama ada dengan bahan bacaan atau teknik digunakan mestilah menarik dan ceria.

“Yang penting jangan paksa anak untuk membaca jika anak tidak mahu. Jadikan aktiviti membaca sesuatu yang menyeronokkan yang sendirinya anak tertarik untuk membaca,” katanya

Bacaan interaktif

Ibu kepada empat anak berkata, pemilihan bahan bacaan untuk bayi perlulah sesuai dengan peringkat umur bayi. Jika pemilihan itu salah, maka ini tidak akan membantu anak untuk faham dengan bahan bacaan itu.

“Glorier menyediakan pelbagai koleksi pembelajaran yang interaktif khas untuk anak seawal usia bayi hingga dewasa yang sememangnya membantu anak untuk cepat membaca.

“Bahan bacaan yang diselitkan permainan menguji minda memberikan kelebihan kepada ibu bapa untuk mengajar anak membaca atau memahami maklumat dengan cepat,” katanya.

Kaedah untuk memudahkan anak faham dan ingat kata Uthayakumari, menunjukkan objek terlebih dahulu kemudian sebut barulah dieja.

“Kesibukan bukanlah penghalang kepada ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak untuk membaca sekurangnya 10 hingga 15 minit sehari tidak kira pada waktu pagi ataupun sebelum tidur.

“Apa yang penting, ibu bapa jangan terlalu mengongkong anak untuk membaca sehingga waktu bermainnya berkurang.

Ini mungkin mendatangkan kebosanan kepada anak,” katanya.

Sekiranya aktiviti ini dilakukan berterusan dengan kaedah yang betul, ia akan menjadi aktiviti rutin anak kerana minatnya terhadap buku mula berputik.

“Biarkan anak bermain kerana itu dunianya dan dalam masa sama membaca tetap di hatinya. Jika seimbang fizikal dan mentalnya barulah boleh menghasilkan anak cemerlang dan bijak.

“Sekiranya daripada kecil tidak biasa mendedahkan bahan bacaan kepada anak, boleh jadi apabila dewasa anak akan menjadi seorang yang malas untuk membaca,” katanya.

Tuntut ilmu

Sejak mengetahui teknik mengajar anak dengan bahan bacaan tersebut, menjadikan dirinya memilih untuk mengajar anaknya sejak awal dan kesannya dapat dilihat beberapa bulan selepas itu.

“Persoalan yang sering mengganggu fi kiran ibu bapa yang berpendapat membaca di usia awal kanak-kanak boleh menyebabkan rabun sebenarnya tidak betul.

“Rabun bukanlah berpunca daripada banyak membaca buku tetapi banyak menghadap komputer atau televisyen di mana situasi itu boleh dilihat kini dengan pelbagai gajet pelbagai guna yang disukai kanak-kanak,” katanya.

Satu lagi pesanannya kepada ibu bapa adalah jangan memarahi anak sekiranya banyak bertanya apa yang dilihatnya.

“Jangan marah sekiranya anak banyak bertanya, jika dimarahi selalu, anak akan jadi pendiam dan pabila dewasa menjadikannya malas untuk bertanya.

“Lagi satu, tidak salah sekiranya berkorban duit untuk pendidikan anak dan menjamin masa depannya cerah asalkan tidak tergolong dalam lingkungan murid tidak pandai membaca, menulis dan mengira seperti yang dilaporkan media sebelum ini,” katanya.

Untuk memupuk minat membaca berterusan, sepatutnya di setiap rumah perlu disediakan perpustakaan mini yang mengumpulkan bahan bacaan berguna untuk perkembangan minda seisi keluarga.

“Jika di rumah, anak selalu didedahkan dengan perpustakaan. Justeru di sekolah, anak akan rajin mengunjunginya untuk mencari maklumat atau mengulang kaji pelajaran,” katanya