Pelan lahir pelajar bertaraf global – Metro


Pelan lahir pelajar bertaraf global

 1  0 Google +0  0  0

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

Pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melakar satu lagi episod dan sejarah baru dunia pendidikan negara.

Pelan ini bakal mencorak hala tuju dan masa depan modal insan dalam melahirkan pelajar bertaraf global. Syabas dan tahniah kepada pihak kerajaan kerana tatkala ada usaha pihak tertentu untuk mempertikaikan dan mempersoalkan pelan ini, malah cuba menghalang pelancaran dan pelaksanaannya, ia tetap dilancarkan mengambil kira keperluan untuk mentransformasikan pendidikan negara secara serius dan holistik.
Selain menjadi dokumen rasmi yang cukup penting dan signifikan dalam memacu pembangunan masa depan negara, pelan ini juga diyakini mampu melahirkan pelajar memiliki pengetahuan dan kemahiran bertaraf global, bersahsiah tinggi dan cemerlang serta berkeperibadian tinggi. Ternyata pelan ini dirangka dengan penuh teliti dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas semua pihak serta mencakupi segenap lapisan masyarakat.

 

Ketika melancarkannya, Muhyiddin berkata, pelan ini lahir selepas proses pencernaan oleh pelbagai pihak sejak dua tahun lalu dan rangka yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.
Antara inti pati PPPM yang dilihat cukup menarik dan bakal memberikan impak besar dalam melahirkan sumber guna tenaga negara pada masa hadapan ialah, memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dengan meningkatkan kesedaran terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Impian ini bakal menjadi kenyataan apabila sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

 

Berfikir secara kritis Melalui inisiatif ini, murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza. Penulis percaya, ia mampu melahirkan pelajar lebih kreatif dan berfikiran terbuka tanpa dikongkong dengan kandungan buku teks yang selama ini lebih memberi tumpuan kepada budaya menghafal dalam kalangan pelajar.
Pada masa sama, langkah menggalakkan pelajar mengikuti mata pelajaran bahasa tambahan seperti Arab, Perancis mahupun Kadazan Dusun pula bakal menambah dan memperkayakan nilai tambah serta kualiti pelajar, terutama dalam usaha untuk memenuhi tuntutan kerjaya pada masa hadapan.

 

Di samping itu, kerajaan sekali lagi menzahirkan komitmen untuk memartabatkan bahasa kebangsaan iaitu PPPM bakal memartabatkan bahasa Melayu demi menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat selain memberi perhatian utama kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Ia dilihat sebagai kesinambungan kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan sebelum ini. Keputusan untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM menjelang tahun 2016 satu lagi lembaran baru dalam melahirkan generasi bersifat global.
Kita perlu terima hakikat betapa majoriti pelajar kita masih lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan mereka sukar menembusi pasaran pekerjaan, justeru langkah mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris sewajarnya tidak dijadikan isu menggugat bahasa kebangsaan sebaliknya perlu dilihat dalam konteks lebih positif.
Miliki sahsiah terpuji PPPM ini juga beriltizam melahirkan murid memiliki sahsiah terpuji serta mempunyai identiti nasional. Untuk itu, kerajaan bakal memantapkan kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan juga Pendidikan Moral. Melalui inisiatif ini, kita bakal melahirkan pemimpin masa depan yang cemerlang akademik dan sahsiah secara seimbang dan bersepadu.
Dalam usaha untuk merealisasikan impian dan hasrat melahirkan pelajar hebat, cemerlang dan bertaraf global sudah semestinya kita memerlukan komitmen dan iltizam semua pihak terbabit agar PPPM dapat dijayakan sepenuhnya mengikut gelombang yang disasarkan.
Peranan guru, ibu bapa dan pihak swasta turut bakal dipertingkatkan. Menyedari hakikat betapa peranan guru besar dan pengetua cukup signifikan dalam mencetuskan kejayaan sekolah, maka pengukuran kualiti dan kemampuan guru besar dan pengetua akan melalui satu proses perubahan mendadak.
Kaedah dan kriteria pelantikan pengetua dan guru besar misalnya tidak lagi berdasarkan jangka masa perkhidmatan, sebaliknya dibuat berdasarkan merit dan keupayaan.
Ini bermaksud tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau memegang jawatan lebih penting seperti sekarang. Keputusan ini wajar dilihat sebagai usaha ke arah mencetuskan budaya persaingan sihat dalam kalangan guru berkebolehan untuk dilantik sebagai ketua dan pemimpin.
Lebih menarik lagi profesion perguruan menjadi lebih berprestij, eksklusif dan elit apabila pengambilan guru hanya dibuat dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik negara sebagai usaha mentransformasikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan utama.
Pihak swasta digalakkan memberi sumbangan bermakna untuk berganding bahu meningkatkan kualiti pendidikan negara ke satu tahap yang membanggakan kelak.
Ringkasnya dokumen lengkap yakni pelan induk PPPM setebal 300 muka surat ini bakal mentransformasikan kualiti pendidikan anak kita secara menyeluruh. Maka, pelan ini tidak boleh dilihat sebagai pelan induk pihak kementerian semata-mata, sebaliknya isi kandungannya perlu difahami oleh semua pihak berkepentingan agar dapat menjayakannya secara bersama.
Penulis Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/12

PPPM: Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran tinggi – Bernama


PPPM: Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran tinggi

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.

“Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza,” demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.

Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.

Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.

Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.

“Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi,” menurut pelan itu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_30/PPPM-Soalan-UPSR-SPM-berbentuk-pemikiran-tinggi#ixzz2e7riv3Q9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pekerja Sosial Bakal Bantu Sekolah Tangani Murid Lemah, Bermasalah – PM – mStar


Pekerja Sosial Bakal Bantu Sekolah Tangani Murid Lemah, Bermasalah – PM

Oleh T.SELVA

NEW YORK: Pekerja sosial akan berkunjung ke rumah pelajar yang lemah untuk membantu mereka lebih maju dalam bidang-bidang seperti matematik dan kemahiran membaca di bawah inisiatif yang akan diperkenalkan di sekolah-sekolah di Malaysia tidak lama lagi.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan program untuk membantu kanak-kanak memulakan pengajian peringkat awal di kedudukan yang sesuai dan bersedia untuk reformasi pendidikan kebangsaan berdasarkan cara yang dipelopori di Amerika Syarikat (AS) melalui sistem yang bermula dari persekolahan sehingga tamat pengajian universiti atau kolej .

Perdana Menteri berkata program itu akan membantu memastikan setiap kanak-kanak yang memasuki sekolah telah bersedia sepenuhnya, menghapuskan jurang dalam kejayaan akademik dan mewujudkan rangkaian sokongan komuniti dan keluarga yang disediakan kepada pelajar.

“Ini adalah satu langkah penting dalam transformasi ekonomi Malaysia dengan modal insan yang lebih besar dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Inisiatif ini juga akan menangani kekurangan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik kerana kurang kecekapan mengajar subjek tersebut, sokongan dan pengawasan profesional yang tidak mencukupi, kurang keutamaan yang diberikan kepada subjek oleh pihak sekolah dan kekurangan maklumat mengenai prospek kerjaya dalam bidang sains berkaitan,” katanya.

Dikenali sebagai ‘Strive Strategy’, ia telah meningkatkan kejayaan pelajar di 27 negeri AS, kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains Global dan Inovasi di Pusat Dagangan Dunia di sini, Rabu, ketika permulaan lawatan empat harinya ke AS.

Strategi ini telah dimulakan di Ohio oleh Dr Nancy Zimpher, yang kini Canselor Universiti State New York, yang merupakan seorang ahli GSIAC itu.

Malaysia adalah negara pertama yang bakal menjejaki metodologi institut Zimpher di seluruh negara, kata Najib, sambil menambah komputer bimbit dan tablet akan diperkenalkan dalam bilik darjah untuk mendedahkan pelajar kepada teknologi pada usia yang lebih awal.