7,000 pelajar nikmati i-TR1M – Berita Harian


7,000 pelajar nikmati i-TR1M

07/09/2012 – 05:45:45 AM Oleh Norrasyidah ArshadCetakEmel Kawan
Shah Alam: Kira-kira 7,000 pelajar dari 100 sekolah menengah di Selangor akan menikmati kemudahan tuisyen percuma dalam talian menerusi program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M).

Tuisyen itu yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat membabitkan pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia inisiatif Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) yang memperluaskan kemudahan tuisyen secara talian itu kepada pelajar sekolah menengah.

Pengetua atau penyelaras teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dari 100 sekolah terbabit hadir pada perasmian perluasan i-TR1M yang disempurnakan Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, di sini semalam.

Program i-TR1M dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jun lalu.

Keputusan lebih baik

Mohd Zin berkata, maklum balas terhadap i-TR1M di kawasannya, menyaksikan peningkatan sistem pembelajaran dalam talian biarpun sewaktu cuti umum, baru-baru ini.
Malah, di Sekolah Rendah Sungai Melut, pelajar Orang Asli menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan bulanan selepas menggunakan i-TR1M.

Melihatkan peningkatan ini, kami mengambil keputusan untuk memperluaskan lagi program itu dan hari ini (semalam) fasa kedua I-TR1M dilancarkan dengan menambah 100 lagi sekolah bagi mengikuti program ini, katanya.

Manfaat pelajar miskin

Sementara itu, Pengarah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGBM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata projek perintis berkenaan yang dilaksanakan di Selangor, akan memberi manfaat kepada pelajar miskin yang tidak mampu mendapatkan khidmat guru tuisyen swasta.

i-TR1M yang bermula pada 18 Jun lalu akan berakhir Oktober ini membabitkan 207 sekolah di negeri itu.

Program i-TR1M membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar dari kalangan keluarga berpendapatan rendah selain membantu mereka memanfaatkan bantuan Netbook 1Malaysia dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan, katanya.

7,000 pelajar sekolah menengah Selangor nikmati i-TR1M – Bernama


7,000 pelajar sekolah menengah Selangor nikmati i-TR1M

6 September 2012

SHAH ALAM – Seramai 7,000 pelajar dari 100 sekolah menengah di Selangor akan menikmati kemudahan tuisyen talian terus untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M).

Ini berikutan inisiatif Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) memperluaskan kemudahan tuisyen secara talian itu kepada pelajar sekolah menengah.

Pengetua atau penyelaras teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dari 100 sekolah berkenaan hadir pada perasmian perluasan i-TR1M yang disempurnakan Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed di sini, hari ini.

Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kemudahan tuisyen interaktif itu sebelum ini memberi kemudahan kepada 8,000 pelajar dari 107 sekolah rendah di Selangor dalam menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Setakat ini, sambutan menggalakkan,” katanya pada majlis tersebut.

Program i-TR1M dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas, dan Selangor dipilih melaksanakan projek rintis sebelum ia diperluas ke seluruh negara.

Alimuddin berkata melalui program itu, calon UPSR, PMR dan SPM menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara ‘online’ itu dari rumah, sekolah atau pusat komuniti yang membolehkan mereka mengoptimumkan penggunaan Netbook 1Malaysia.

Sementara itu, Mohd Zin berkata program rintis tuisyen secara dalam talian itu sesuai dilaksanakan di Selangor yang memiliki prasarana internet yang lebih lengkap. – Bernama

Kuala Lumpur tuan rumah Olimpik Robot Dunia 2012 – Utusan


Kuala Lumpur tuan rumah Olimpik Robot Dunia 2012

Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pelajar SMK USJ 4, Lee Kai Cen (tiga dari kanan), Nicholas Goon Choong Ming dan Parvin Suthan (dua dari kiri) pada pra pelancaran Kuala Lumpur World Robot Olympiad (WRO) 2012 dan pelancaran laman web rasmi WRO 2012 di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Dr. Wee Ka Siong (belakang tengah), Abdul Ghafar Mahmud (kiri) dan Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd., Law King Hui (kanan). – BERNAMA

 

PUTRAJAYA 18 Jan. – Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah kejohanan Olimpik Robot Dunia (WRO) 2012 bertemakan Nurturing 21st Century Skills yang bakal berlangsung pada 9 hingga 12 November depan.

Sebanyak 400 pasukan dari 40 buah negara di seluruh dunia dijangka menyertai kejohanan yang berupaya meningkatkan minat para pelajar terhadap sains dan teknologi, robotik serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Acara tahunan sejak 2004 itu memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemampuan diri dengan menggunakan teknologi secara inovatif dan kreatif dalam penyelesaian masalah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran menyempurnakan majlis pra pelancaran WRO 2012 dan pelancaran laman web rasmi http://www.wro2012.org di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

WRO merupakan kemuncak kepada Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) yang dianjurkan sejak 2005 oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn. Bhd. dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi program perkongsian pintar antara pihak kerajaan dan swasta.

Pada tahun lalu, di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kontinjen Malaysia yang dianggotai 65 peserta membawa pulang masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa serta enam Anugerah Kecemerlangan selain menenangi anugerah khas, Best Technical Award.

Peluang sebagai tuan rumah WRO 2012 diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi melalui penubuhan kelab robotik di sekolah-sekolah.

Ia bagi membolehkan kementerian membentuk 50 pasukan robotik yang mantap untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.