Sesal ikut kata ‘hati muda’ – Metro


Sesal ikut kata ‘hati muda’

 0  0 Google +0  0  0

Kota Kinabalu: “Semua yang berlaku memberi pengajaran kepada saya supaya lebih berhati-hati memilih kawan pada masa depan,” kata remaja dikenali sebagai Lyn, 15, yang melarikan diri dari rumah selama seminggu, hujung tahun lalu.

Katanya, disebabkan mengikut ‘hati muda’ dan mahu mencuba sesuatu yang baru, dia mengikut rakannya lari dari rumah.
Menyesali tindakan bodoh itu, Lyn berkata, dia pernah ponteng sekolah hampir tiga bulan kerana mengikut rakan yang kini dianggap ‘perosak’.

 

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pukak, Kiulu, di sini, Lyn mengaku bertaubat dan berazam mengubah kehidupan keluarga, selain mahu mengejar cita-cita sebagai saintis.
Menceritakan pengalamannya menghilangkan diri selama seminggu, dia berkata, beberapa rakan mengajaknya ke pekan berhampiran untuk bersiar-siar.
“Hati muda yang mahukan keseronokan membuatkan saya mengikut mereka dan meninggalkan keluarga tanpa memaklumkan arah tujuan.

 

“Ketika itu juga bateri telefon bimbit saya kehabisan kuasa, menyebabkan saya gagal menghubungi keluarga, selain bimbang ibu tidak membenarkan saya mengikuti rakan,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh seminggu, pelbagai pengalaman dilalui, termasuk bergaduh dengan kumpulan remaja lain yang mengganggu mereka.

 

“Saya akui hampir semua kawan saya waktu itu kaki botol, merokok dan kaki gaduh.
“Sepanjang menetap bersama mereka, terlalu banyak benda buruk saya lihat sehingga timbul rasa menyesal kerana tersalah memilih kawan.
“Tiba-tiba saya terbayangkan wajah ibu bapa yang membesarkan saya dengan susah payah selama ini, tapi saya membalas jasa mereka dengan perbuatan sebegini,” katanya.
Menurutnya, selepas seminggu bersama rakan sebaya, Lyn mula berasa bosan dan pulang ke pangkuan keluarga.
“Rakan yang mengetahui niat saya untuk pulang cuba menghalang, tapi saya tetap dengan pendirian sehingga mereka gagal memujuk saya lagi.
“Kini saya mengambil keputusan kembali belajar kerana memikirkan masa depan diri sendiri,” katanya.
Lyn yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, bertekad mengubah nasib diri dan keluarganya dengan belajar bersungguh-sungguh.
“Saya bersyukur masih ada rakan sanggup berkawan dan memberi sokongan,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Salimah Ladat, 53, berkata sebagai ibu, pasti dia bimbangkan keselamatan dan bersedih atas kehilangan anaknya sebelum ini.
“Perkara pertama bermain di fikiran ketika anak saya tidak pulang ialah sama ada dia diculik atau mati dibunuh. Ibu mana yang tak sayang darah dagingnya,” katanya.
Salimah berkata, selepas tiga hari tiada berita daripada anaknya, mereka sekeluarga membuat laporan polis.
“Namun, seminggu selepas kehilangannya, saya terkejut anak saya tiba-tiba muncul di depan rumah.
“Saya terus memeluknya dengan linangan air mata walaupun di dalam hati masih ada perasaan marah dan ingin tahu apa yang berlaku.
“Namun melihat anak saya pulang dalam keadaan selamat, itu sudah cukup,” katanya.
Menurutnya, selepas kejadian itu, dia melihat anaknya mula berubah dan semakin menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
“Selepas apa yang berlaku, dia kelihatan seperti menyesal dan saya berharap dia tidak mengulanginya lagi.
“Kami sekeluarga sering menasihatinya supaya belajar bersungguh-sungguh kerana pendidikan sangat berguna selain meninggalkan rakan lama yang boleh merosakkan masa depan diri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

Polis Putrajaya tahan lima remaja terbabit kes pecah rumah – Bernama


Polis Putrajaya tahan lima remaja terbabit kes pecah rumah

2013/09/20 – 15:53:39 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Polis menahan lima remaja lelaki dipercayai melakukan 12 kes pecah rumah di Presint 17 dan 18 di sini sejak Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata kelima-lima remaja berumur antara 16 dan 21 tahun itu ditahan di kawasan berasingan pada Ahad hingga Rabu lalu.

“Polis berjaya merampas 24 barang yang dipercayai barang curi bernilai RM35,000 antaranya jam tangan jenama Omega, telefon bimbit dan kamera,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, kesemua suspek tiada rekod jenayah itu kini ditahan reman untuk siasatan.

Menurut beliau, kebanyakan rumah yang dipecah masuk adalah rumah yang tidak berkunci terutamanya di bahagian dapur dan bilik air.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiga lelaki warga Nigeria ditahan pada 12 Sept kerana disyaki terlibat dalam jenayah “black money” dengan menipu seorang ibu tunggal membabitkan transaksi RM88,000.

“Mangsa yang berumur 55 tahun telah berkenalan dengan suspek melalui Facebook sejak Julai lalu dan turut ditawarkan untuk berkahwin dengan salah seorang daripada suspek,” katanya.
Mangsa diperdaya untuk menyerahkan wang tersebut secara berperingkat selain turut memberikan nombor akaun serta kad bank miliknya, katanya.

“Polis bertindak selepas anak mangsa membuat laporan polis dan suspek kemudian berjaya ditahan di sebuah rumah di Puchong, Selangor,” katanya.

– BERNAMA

Dua anak hilang lepas beli lampin – Metro


Dua anak hilang lepas beli lampin

 29  1 Google +0  1  1

Kuala Lumpur: Dua kanak-kanak berusia 10 dan lapan tahun dilaporkan hilang selepas keluar membeli lampin adik bongsunya di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ipoh, 13 Jun lalu.

Kehilangan Nordiana Shafiza Abdullah, 10 dan Muhammad Shafiz Denial Abdullah, 8, dikesan pada jam 2 petang selepas diminta bapanya untuk membeli lampin. Normaliza Mustafa, 33, ketika hadir ke Balai Berita Harian Metro, di sini, semalam, berkata, dia datang ke Kuala Lumpur untuk beberapa hari bersama suami dan lima anaknya atas urusan kerja suami. “Pada hari kejadian, saya berada di kawasan bandar dan meninggalkan anak-anak bersama suami di hotel. “Suami hanya dapat memberitahu saya mengenai kehilangan anak sembilan jam kemudian kerana saya tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya. Menurutnya, suami merancang untuk pulang ke Johor keesokan harinya sebelum kedua-dua anak mereka hilang.

“Saya tak (tidak) sangka Diana dan Shafiz menghilangkan diri kerana mereka (anak) diajar untuk tidak mempercayai orang asing dan terus pulang ke rumah selepas membeli barang di kedai,” katanya yang sudah melaporkan kehilangan kedua-dua anaknya di Balai Polis Jalan Ipoh. Sehubungan itu, Normaliza merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Diana dan Shafiz menghubungi polis atau pegawai penyiasat Inspektor Shahrul Nizam di talian 012-3002795.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Pelajar tumbuk tengkuk pengetua – Sinar Harian


Pelajar tumbuk tengkuk pengetua

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2013

TEMERLOH – Seorang pengetua sebuah sekolah di bandar Temerloh cedera ringan selepas mendakwa ditumbuk tiga kali oleh seorang pelajar tingkatan lima sekolahnya.

Kejadian dipercayai berlaku Selasa lalu apabila pengetua terbabit yang melakukan rondaan sekitar kawasan sekolah menemui sebuah telefon bimbit lalu menyimpannya.

Selepas beberapa minit, datang seorang pelajar tingkatan lima menuntut telefon bimbit itu yang didakwa miliknya.

Bagaimanapun pengetua terbabit enggan memulangkannya mengakibatkan pelajar tersebut berang lalu melepaskan tumbukan di tengkuk mangsa.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh enggan mengulas lanjut tetapi mengesahkan kejadian dan pihaknya telah memanggil pelajar serta pengetua terbabit untuk diambil keterangan.

Menurutnya, polis telah membuka siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan dan pelajar terbabit dilepaskan selepas memberi keterangan.

Pengawal keselamatan sekolah disamun – Sinar Harian


Pengawal keselamatan sekolah disamun

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2013
Pengawal keselamatan sekolah disamun
Sebuah laci yang diselongkar penjenayah.

RAWANG – Dua lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah sekolah di sini disamun lapan lelaki bertopeng bersenjatakan parang dalam kejadian jam 2 pagi baru-baru ini.

Sumber polis berkata, lelaki warga tempatan itu diserang dalam pondok pengawal sekolah berkenaan sebelum diikat pada bahagian tangan dan kaki hampir dua jam.

Menurut sumber, penjenayah mengambil masa hampir dua jam untuk menceroboh kawasan berkenaan dan melarikan beberapa barangan berharga termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan komputer riba.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun barangan miliknya seperti dompet dan telefon bimbit turut dilarikan suspek.

“Kerugian pihak sekolah juga dianggar bernilai lebih RM10,000,” katanya. Kedua-dua mangsa tiba ke balai polis sekitar jam 4.30 pagi selepas menjadi tawanan suspek.

SYARAT-SYARAT DAN GARIS PANDUAN UNTUK PENULISAN ARTIKEL BAGI PENERBITAN JURNAL BTP 2013


SYARAT-SYARAT DAN GARIS PANDUAN UNTUK PENULISAN ARTIKEL BAGI PENERBITAN JURNAL BTP 2013

15 May 2013

Penulisan Artikel

Artikel yang hendak disumbangkan mestilah mematuhi syarat-syarat berikut:

  1. Artikel ditulis berdasarkan hasil kerja penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ICT atau yang berkaitan ICT dalam Pendidikan.
  2. Artikel yang ditulis adalah karya asli dan belum pernah diterbitkan dalam apa jua penerbitan.
  3. Kandungan artikel hendaklah ditulis dalam bentuk berikut:

a) hasil kerja penyelidikan, penemuan, kaedah atau aplikasi baru.

b) mengikut format sistem penulisan APA (American Physiological Association) edisi

terkini.

c) artikel ditulis dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris

d) artikel ditaip di atas kertas A4 dalam jarak langkau satu (single spacing),

menggunakan Times New Roman bersaiz 12 dan berformat Microsoft Word.

e) Tajuk artikel hendaklah ringkas dan padat. Di bawah tajuk diletakkan nama penuh

penulis (Size: 18 pointBold & Title Case & Centered), nama institusi (Size: 10 pointBold &  

     Title Case & Centered),  beserta e-mel penulis (Size: 9 pointNormal & Title Case &    

  Centered).

f) Panjang artikel di antara 3000-5000 patah perkataan atau 15-20 halaman.

  1. Abstrak tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dengan menggunakan format (Italicsize 10 dan Justified) dan menulis tiga hingga lima perkataan kata kunci selepas abstrak menggunakan format (Normal, Size 10 dan Justified).
  2. Artikel yang dihantar perlu dibuat dalam dua bentuk iaitu salinan keras (hardcopy) dan salinan lembut (softcopy dalam bentuk email) kepada Ketua Editor seperti alamat di bawah.
  3. Artikel hendaklah disertakan dengan satu lampiran yang mempunyai nama penuh, alamat surat-menyurat, email, nombor telefon pejabat dan telefon bimbit penulis.
  4. Tarikh akhir penghantaran pada atau sebelum 31 Mei 2013.
  5. Artikel yang berjaya akan diberi sijil penghargaan dan senaskah jurnal BTP 2013.

 

Penyerahan Artikel

Artikel-artikel yang hendak disumbangkan hendaklah dihantar  kepada:

 

Ketua Editor

Jurnal BTP 2013

Bahagian Teknologi Pendidikan

Kementerian Pelajaran Malaysia

Persiaran Bukit Kiara

50604 Kuala Lumpur

(u.p: Ketua Sektor PPTP)

 

Emel: unitdata@moe.edu.my

 

Penerangan dan Maklumat Lanjut

Tel:                  03-2081 8012 (Dr. Suhaimi)/8196 (En. Azman)/8016 (En. Arifen)/

8010 (En. Roslee)/8028 (En. Fakhrul Azman)

Emel:               unitdata@moe.edu.my

Website:          http://www.moe.gov.mywww.moe.edu.my

 

Muat Turun
Syarat Penulisan Jurnal

Murid tahun 5 antara ditahan pecah masuk sekolah – Bernama


Murid tahun 5 antara ditahan pecah masuk sekolah

10 Mei 2013

MUAR – Tiga pelajar sekolah menengah ditahan atas kesalahan memecah masuk sekolah mereka di Ledang malam Rabu lepas.

Mereka dilapor mengambil telefon bimbit, rantai leher serta beberapa barangan lain yang dirampas guru disiplin daripada mereka sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris berkata perbuatan mereka itu turut disertai seorang murid tahun lima sebuah sekolah di Serom.

“Polis menahan salah seorang daripada mereka yang berusia 15 tahun di sekolah berkenaan kira-kira pukul 9.10 pagi semalam dan hasil soal siasat ke atasnya, polis menahan pula tiga lagi rakannya termasuk murid tersebut,” katanya.

Beliau berkata polis juga menemui video cakera padat berjudul ‘Jiwa Kacau’ daripada mereka yang kini ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama

Samun sebelum pergi sekolah – Sinar Harian


Samun sebelum pergi sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Samun sebelum pergi sekolah
Salehhudin (tengah) menunjukkan besi digunakan ahli Geng Miswan untuk menyamun mangsa.

BANDA HILIR – Dua pelajar sekolah menengah berusia 13 dan 14 tahun antara yang ditahan setelah dipercayai melakukan kegiatan samun sebelum pergi ke sekolah seawal jam 3 pagi di sekitar daerah ini.

Pelajar lelaki dan perempuan itu yang menyasarkan penghantar surat khabar ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di dua lokasi berasingan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kedua-dua mereka antara 11 ahli kumpulan yang ditangkap dalam dua serbuan berasingan di Taman Alai Perdana dan Taman Melaka Raya antara jam 4 petang dan 7 malam.

Menurutnya, kumpulan yang didalangi lelaki berusia 18 tahun dikenali sebagai Miswan itu turut menyasarkan warga emas yang sedang bersenam dan melakukan jenayah dalam tempoh tiga jam.

“Seramai 11 ahli Geng Miswan berusia antara 13 hingga 21 tahun berjaya ditangkap pasukan khas yang ditubuhkan ekoran 16 laporan kejadian samun membabitkan warga emas dan penghantar surat khabar (vendor) diterima.

“Suspek terdiri daripada tujuh lelaki berusia 13 hingga 21 tahun dan empat perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun dicekup di sebuah rumah sewa di Alai serta seorang lelaki di Melaka Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah yang turut dihadiri Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho dan Pegawai Risikan/Operasi, Asisten Superintendan Koh Teck Chew.

Salehhudin berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas tiga motosikal jenis Honda EX5 termasuk dua motosikal yang dilaporkan hilang di Plaza Mahkota dan Telok Mas.

“Dua topi keledar, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis dan sebatang besi dipercayai digunakan sebagai senjata ketika melakukan samun turut dirampas dalam serbuan itu.

“Ujian saringan urin yang dilakukan mendapati enam suspek berusia 19 hingga 21 tahun positif dadah jenis methamphetamine malah hasil semakan seorang suspek yang berusia 19 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, Geng Miswan dipercayai bergiat aktif dalam jenayah samun sejak awal tahun ini melakukan jenayah seawal jam tiga pagi sebelum matahari terbit di sekitar Banda Hilir, Tengkera, Melaka Tengah dan Malim.

“Penjenayah yang bersenjatakan batang besi ini bertindak agresif dengan menendang motosikal hingga mangsa terjatuh,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman empat hari sejak 10 April lalu bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata dan Seksyen 379A kanun sama atas kesalahan mencuri motosikal.

Pendam rasa hindari miliki telefon bimbit – Metro


Pendam rasa hindari miliki telefon bimbit

 61  0 Google +0  0  0

Jitra: “Sepanjang tempoh belajar di tingkatan lima, saya memang tidak memiliki telefon bimbit kerana bimbang kemudahan itu akan melalaikan hidup saya dan secara tidak langsung mengganggu tumpuan dalam mengulang kaji pelajaran.

“Walaupun teringin untuk memiliki telefon bimbit seperti pelajar lain, saya keraskan hati demi kejayaan dan masa depan. Alhamdulillah, semua pengorbanan selama ini membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan 9A+,” kata Aiman Naim Rosli, 18.
Aiman dari Kulim, antara lima pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini, yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (A+) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan, semalam.

 

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, keputusan untuk tidak memiliki telefon bimbit atas nasihat bapanya yang bimbang akan mengganggu fokus pembelajaran. kerana leka dengan kemudahan yang ada jika dibekalkan dengan teknologi komunikasi itu.
“Selain itu, saya tidak mempunyai sebarang resipi kejayaan, namun saya mempunyai satu prinsip iaitu sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan apa jua tugasan yang diberikan dan melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin. “Alhamdulillah… hari ini (semalam) segala usaha saya selama ini berhasil. Ini adalah hadiah kejayaan buat keluarga termasuk guru-guru yang tidak jemu memberi tunjuk ajar,” katanya.
Bapa kepada Aiman, Rosli Abd Hamid, 48, berkata, dia sering menasihatkan anaknya supaya sentiasa melakukan yang terbaik.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Budak disamun dalam surau – Metro


Budak disamun dalam surau

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...Mohd Fairuez menunjukkan mukanya yang lebam.
SAKIT…Mohd Fairuez menunjukkan mukanya yang lebam.

KUALA LUMPUR: Biarpun berada dalam surau, seorang kanak-kanak lelaki masih menjadi mangsa jenayah apabila dia bukan saja dipukul sebaliknya turut disamun dua lelaki dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di Sungai Besi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Mohd Fairuez Irwan Shah, 11, bukan saja cedera di kepala sebaliknya kehilangan telefon bimbit yang dihadiahkan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 49, sempena hari lahirnya pada tahun lalu.
Ketika kejadian, Fairuez menunggu di surau berkenaan bagi menunaikan solat Zuhur. Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia dan ahli keluarganya dididik bapa supaya menunaikan solat di surau atau masjid sejak berumur 10 tahun. Menceritakan semula kejadian itu, Fairuez berkata, dia yang menunggu masuk waktu solat didatangi dua lelaki berusia 20-an.

 

“Saya kenal seorang saja..lagi seorang saya tidak kenal. Sebaik datang, mereka rampas telefon bimbit saya. Belum sempat berkata apa-apa, lelaki itu menumbuk dan memukul saya.
“Mereka mengarahkan saya supaya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Fairuez berkata, dia memaklumkan kejadian itu kepada abangnya selepas pulang ke rumah manakala bapanya mengetahui kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja jam 11 malam.

 

 

“Saya dibawa ayah ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, akibat kejadian itu, dia kini trauma untuk pergi ke surau atau masjid sendirian.

 

“Namun, jika ditemani ahli keluarga atau ayah, saya akan pergi,” katanya. Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20