Dimalukan dek telefon bimbit – Metro


Dimalukan dek telefon bimbit

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA
kalidevi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Akibat tidak puas hati telefon bimbit anaknya hilang, seorang ibu bertindak ganas dengan membelasah rakan anaknya berusia 16 tahun, malah mangsa turut diaibkan di depan rumah wanita itu di Bandar Tasik Selatan, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa, pelajar perempuan tingkatan empat, menumpang di rumah rakannya pada malam 26 November lalu kerana sama-sama mengikuti kem akademik selama tiga hari bermula esoknya.
Sumber polis berkata, ketika mangsa menumpang di rumah itu, ibu rakannya melayan dia dengan baik dan keesokannya ketika bersiap untuk ke kem berkenaan, rakannya mengadu telefon bimbitnya hilang.

 

Katanya, selepas puas mencari di rumah, mereka membuat keputusan untuk ke kem dulu dengan dihantar ibu rakannya.
“Sekembali dari kem, mangsa dan rakannya sebaik sampai di rumah, wanita berkenaan menyoal mengenai telefon bimbit anaknya dan mangsa menyatakan tidak tahu apa-apa.
“Wanita berkenaan yang menyangka mangsa mencuri telefon bimbit anaknya tiba-tiba bertindak agresif apabila mula menampar sebelum mengugut mengupah orang untuk merogol mangsa,” katanya, semalam.

 

 

Beliau berkata, wanita itu turut menarik kain dipakai mangsa, malah cuba membogelkan remaja itu di depan rumahnya selain ditendang.
Katanya, rakan mangsa yang percaya mangsa tidak mencuri telefon bimbitnya cuba menolong menyelamatkannya daripada ibunya sebelum diselamatkan ibu saudara mangsa.

 

Susulan kejadian itu, mangsa dengan ditemani ibu saudaranya membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi untuk tindakan lanjut.

Adik minta telefon pintar sebelum maut – Metro


Adik minta telefon pintar sebelum maut

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DUNGUN: “Dia minta saya hadiahkan sebuah telefon Samsung Galaxy sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang baru selesai diambilnya,” kata Mohamad Ridzuan Radzlan, 19, abang Mohamad Zaidi, 15, yang maut dalam kemalangan di Kampung Rajawali, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang, Mohamad Zaidi yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori tanah, manakala rakannya, Nor Nasihah Mohd Alfian, 15, yang membonceng motosikal berkenaan parah dan kini dirawat di Hospital Dungun.
Ridzuan berkata, sebelum tidur pada malam kelmarin, mangsa yang juga anak kedua daripada tiga beradik memberitahu keinginannya untuk memiliki sebuah telefon bimbit berjenama sekiranya memperoleh keputusan 8A dalam PMR. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.

 

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17

Senior melampau – Metro


Senior melampau

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BUKTI...mangsa dan bapanya menunjukkan rakaman kejadian terbabit.
BUKTI…mangsa dan bapanya menunjukkan rakaman kejadian terbabit.

GURUN: “Anak saya dimalukan apabila dipaksa telanjang sebelum seorang pelajar merakam gambar bogelnya menggunakan telefon bimbit dengan alasan bergurau. Lebih mengecewakan, kejadian itu berlaku Februari lalu dan hanya diketahui apabila telefon bimbit pelajar berkenaan dirampas warden pada 30 September lalu.”

Demikian kata bapa pelajar lelaki berusia 13 tahun yang kesal dengan sikap sambil lewa pengurusan sebuah sekolah menengah di sini, yang didakwanya tidak mengambil tindakan terhadap aduannya berhubung kejadian itu.

Bapa berusia 36 tahun itu berkata, dia hanya mengetahui mengenai rakaman video bogel anak lelakinya itu selepas isterinya dimaklumkan anaknya dipanggil Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Pelajar (PKHEP) pada 1 Oktober lalu berhubung kejadian buli di asrama sekolah berkenaan.

Menurutnya, ketika itu, anaknya baru sebulan tinggal di asrama dan difahamkan kejadian berlaku ketika dia ke tandas dengan memakai tuala sebelum dipanggil pelajar senior dan dipaksa berbogel sebelum disepak berulang kali.

 
“Pada keesokan hari, isteri saya bertemu pengetua untuk melihat rakaman telefon bimbit itu dan dimaklumkan seorang pelajar tingkatan lima terbabit perbuatan itu, tetapi beliau enggan membenarkan isteri melihat rakaman berkenaan dengan alasan telefon itu kehabisan bateri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Belajar bahasa Inggeris guna telefon – Kosmo


Belajar bahasa Inggeris guna telefon

 

Oleh ALIF ABU BAKAR

 


 

SEGALA-GALANYA bermula di meja makan rumahnya yang terletak di SS3, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu, Rani Wemel, 50, sedang melayari internet bagi mengisi masa lapang selepas anak-anaknya ke tempat belajar.

Daripada situ, dia dapat mengesan betapa besarnya pengaruh telefon bimbit dalam kehidupan manusia walaupun pada waktu itu telefon bimbit sangat ringkas dan bersifat asas iaitu hanya boleh membuat panggilan serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kemudian, atas inisiatif membantu orang ramai dalam perbualan bahasa Inggeris, Rani dan suaminya, Wemel C.V., 60, yang merupakan seorang usahawan mengadakan pembelajaran mobil yang dikenali sebagai SMS-Me-English pada tahun 2004.

“Kaedah yang digunakan ketika itu sangat asas iaitu dengan menggunakan platform SMS, pengguna menerima satu SMS yang mengandungi perkataan Inggeris setiap hari,” kata Rani yang bertugas sebagai Pengarah Eksekutif LTT Global Communications.

Kongsi suaminya yang bertindak sebagai Sekretariat Ahli Bersekutu Persatuan Untuk Pembelajaran Dalam Talian Dunia (WAOE), secara teori seseorang itu mampu berbual dalam bahasa Inggeris dengan hanya memahami dan tahu menggunakan 200 patah perkataan.

PORTAL web Dunia English memberi sokongan kepada para pelajar supaya dapat mempraktikkan bahasa Inggeris mengikut kesesuaian.

 

Seiring dengan perkembangan teknologi mobil, teknik pembelajaran dalam talian, SMS-Me-English turut membangun dengan memperkenalkan program Mobile English.

Kini, evolusi pembelajaran bahasa Inggeris tersebut dikenali sebagai DuniaEnglish pula dengan memberi penekanan pembelajaran melalui tiga kaedah berbeza.

Kaedah pertama adalah setiap pelajar akan mendapat satu SMS dalam sehari, sama seperti kaedah awal. Sekurang-kurangnya, para pelajar mampu mempelajari 250 perbendaharaan kata baharu dalam tempoh setahun.

Setiap perkataan baharu akan disertakan dengan maksud dan cara untuk mengaplikasikan satu set aksara dalam perbualan seharian.

Terdapat tiga tahap pengiriman perkataan berdasarkan kesukaran iaitu asas, pertengahan dan maju. Tahap maju, tiada perkataan bahasa Melayu digunakan bagi menerangkan kata yang dikirim.

“Kami menasihatkan setiap pelajar supaya menulis kembali perkataan yang dikirim supaya pembelajaran bawah sedar boleh berlaku melalui pergerakan tangan dan pandangan mata,” kata Rani ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya.

DUNIA ENGLISH membantu orang ramai belajar bahasa Inggeris menggunakan laman web dan telefon bimbit.

 

SMS atau portal

Kaedah pembelajaran kedua Dunia English pula adalah melalui laman web yang beroperasi selama 24 jam sehari.

Dengan portal http://www.duniaenglish.com, para pelajar dapat mempraktikkan perkataan Inggeris yang dipelajari mengikut minat masing-masing.

Dengan menggunakan medium yang diminati seperti radio, surat khabar, sukan atau permainan video, pelajar dapat mempraktikkan sebutan, mendengar dan mengeja bahasa Inggeris.

Kata Rani, terdapat lebih kurang 11 cara yang berbeza untuk mempraktikkannya. Amat penting apabila belajar dengan menggunakan kaedah yang diminati sekali gus pembelajaran secara tidak langsung boleh berlaku.

Sebaik-baiknya, setiap pelajar disarankan supaya menggunakan bantuan laman portal itu antara 30 hingga 45 minit sehari bagi memaksimumkan pembelajaran.

Bukan sahaja ditujukan kepada para pelajar pada peringkat sekolah dan universiti, Dunia English turut menyasarkan kelompok para pekerja tanpa mengira tingkat pekerjaan.

Pembelajaran dua hala dan interaktif amat penting dalam menguasai bahasa Inggeris, malah bagi memastikan tiada orang mengalami keciciran, Dunia English mengadakan kelas tutorial secara langsung kepada pelajar setiap minggu.

Kelas yang diadakan sekali seminggu membolehkan setiap pelajar bertanyakan soalan yang tidak boleh dilakukan pada portal web kepada tutor yang bertugas.

Diadakan pada hari Rabu pada pukul 8.30 malam, ia boleh diakses dengan mudah menggunakan komputer yang mempunyai sambungan internet selain aksesori seperti fon kepala dan mikrofon.

WAKTU yang fleksibel mengikut kesesuaian para pelajar merupakan ciri utama Dunia English.

 

Kelas tutorial yang diadakan itu membolehkan pelajar berinteraksi dan bertanyakan soalan secara terus kepada tutor yang diajar sendiri oleh Rani.

“Setiap kelas tutorial akan diberi tajuk perbincangan yang seronok dan terkini bagi memastikan ia menarik perhatian semua pelajar untuk berinteraksi,” kata Rani yang memiliki tiga orang anak.

Sebagai contoh, topik sukan Olimpik London 2012 dipilih kerana ia mampu menarik perhatian ramai walaupun seseorang itu kurang berminat dengan sukan. Statusnya sebagai sukan Olimpik pertama yang dikuasai teknologi mobil menarik perhatian.

“Olimpik London 2012 membuktikan bahawa teknologi mobil boleh pergi lebih jauh berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Sijil pembelajaran

Kepada pelajar yang terlepas kelas tutorial tersebut mereka boleh mengikuti semula kerana semua pembelajaran langsung yang disimpan dalam arkib dan boleh dilayari semula pada bila-bila masa.

Barangkali ada beberapa individu yang bersifat sinikal mengatakan teknologi yang digunakan pada Dunia English agak ketinggalan.

Namun, matlamat untuk memberikan kaedah pembelajaran mampu milik dan berpatutan menjadi pegangan Rani dan Wemel.

“Mungkin kaedah yang sama sudah ada empat tahun dahulu, tetapi ketika itu sangat mahal dan tidak mungkin yuran berpatutan boleh dikenakan,” terang Rani lagi.

Setakat ini, kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Maktab Koperasi Malaysia, Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) Melaka dan Pusat Pengurusan Maklumat Bank Negara Malaysia sudah menyertai program tersebut.

Kata Wemel, Dunia English membolehkan para pelajar belajar bahasa Inggeris tanpa perlu meninggalkan tempat bekerja dan amat berpatutan.

Program Dunia English berharga RM20 sebulan dan berlangsung selama setahun. Selalunya, yuran dibayar secara kumulatif untuk setahun iaitu sebanyak RM240.

Secara kasarnya, program tersebut memaksimumkan fleksibiliti para pelajar, mengurangkan rasa malu dan mereka boleh mempelajari sesuatu bergantung kepada tahap kemampuan.

Sebaik tamat pembelajaran melalui program yang berlangsung selama setahun itu, para pelajar diberi pilihan untuk menduduki sebuah peperiksaan khas bagi mendapatkan sijil untuk Kemahiran bahasa Inggeris.

Sijil dianugerahkan oleh Sekolah Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang bekerjasama dengan LTT Global Communication.

Remaja antara dituduh rompak bersenjata – Sinar Harian


Remaja antara dituduh rompak bersenjata

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012

KOTA BHARU – Tiga termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang kakitangan hotel di Tanah Merah, bulan lalu.

Tertuduh pertama, pesalah juvenil yang sudah tidak bersekolah didakwa bersama dua lagi rakannya, Mohammad Faqrie Zakaria, 22, dan Mohd Firdaus Mian, 28.

Mereka bertiga berdepan tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas merompak mangsa, Muhammad Amirul Asyraf Roslee, 16, dengan menggunakan senjata parang serta sabit.

Kesalahan dikatakan berlaku pada jam 3 pagi, 23 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, wang tunai mangsa berjumlah RM400 dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Duos dilarikan.

Pada prosiding semalam, kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Susulan itu, Hakim Azman Mustpha menetapkan sebutan semula pada 19 September depan.

Kes bersambung di Mahkamah Pasir Mas. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari.

‘Bertapa’ 10 hari – Metro


‘Bertapa’ 10 hari

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Kalidevi Mogan Kumarappa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Suspek utama disyaki membakar Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang kini koma sejak kejadian 13 Ogos lalu akhirnya ditahan awal pagi semalam ketika dalam keadaan ‘lalok’ (khayal) akibat pengaruh dadah bersama lima rakan, empat daripadanya wanita.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang juga kekasih mangsa ditahan kira-kira jam 3.30 pagi bersama lima rakan berusia 18 hingga 20 tahun di dalam sebuah rumah panjang di Setapak Jaya, di sini, yang jaraknya hanya kira-kira lima kilometer dari lokasi Nurul Firzanah dibakar. Sumber polis berkata, serbuan diketuai Pegawai Siasatan Kanan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (Zon Setapak), Asisten Superintendan Shan Gopal bersama sepasukan anggota hasil risikan dan maklumat orang awam. Menurutnya, siasatan polis mendapati sejak kejadian 10 hari lalu suspek tidak keluar dari rumah itu yang menjadi tempat persembunyiannya bagi mengelak ditahan polis selepas gambarnya disebarkan di media.
“Sebelum serbuan dilakukan, polis membuat pemantauan di rumah berkenaan selama hampir lima jam bermula jam 11.30 malam dan serbuan dilakukan menerusi pintu belakang dan depan secara serentak.

 

“Suspek cuba melarikan diri, namun dapat dicekup dan ketika itu dia dan rakan-rakannya didapati berada di bawah pengaruh dadah, malah polis turut menemui peralatan menghisap dadah di rumah berkenaan,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang dihubungi semalam mengesahkan penahanan suspek utama itu serta lima rakannya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan polis turut menemui beberapa bahan bukti penting, antaranya pakaian dengan kesan minyak petrol yang dipercayai digunakan suspek semasa membakar mangsa. “Polis turut merampas telefon bimbit suspek selepas mendapati di dalamnya terdapat beberapa mesej berbaur ugutan antara suspek dan mangsa,” katanya.

 

 

Ku berkata, selain suspek, lima individu yang ditahan bersamanya turut didapati positif dadah dan semua mereka kini direman lima hari bermula semalam untuk siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sementara itu, bapa Nurul Firzanah, Mat Zaki Mat Hussin, 45, yang dimaklumkan mengenai tangkapan suspek mengucapkan rasa syukur dan tahniah di atas kejayaan polis.

 

“Alhamdulillah, solat hajat dan doa kami sekeluarga serta orang ramai dimakbulkan Allah. Kami berharap dia (suspek) akan menerima pembalasan setimpal dengan apa yang dilakukannya terhadap anak saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi 13 Ogos lalu, Nurul Firzanah yang keluar bersama suspek disimbah petrol sebelum dibakar di kawasan semak berhampiran Flat Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, hingga menyebabkan dia koma manakala 25 peratus tubuhnya terutama bahagian muka hingga paras pinggangnya terbakar.
Harian Metro Selasa lalu melaporkan remaja itu berkemungkinan akan koma untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan kerana Mat Zaki diberitahu doktor terpaksa memberinya ubat pelali supaya dia terus tidak sedarkan diri.
Menurutnya, rawatan itu adalah terbaik untuk mangsa kerana Nurul Firzanah yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan bertambah teruk dan sakit jika dia sedar daripada koma dalam masa terdekat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012

Usul Murid Bawa Telefon Bimbit Ke Sekolah Masih Dibincang – Bernama


Usul Murid Bawa Telefon Bimbit Ke Sekolah Masih Dibincang
SEREMBAN: Cadangan pelajar dibenar membawa telefon bimbit ke sekolah masih pada peringkat perbincangan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Katanya banyak perkara harus diteliti sebelum kementerian itu dapat membuat keputusan yang memuaskan semua pihak.

“Setakat ini pelbagai pandangan telah diterima termasuk daripada pelajar. Malah saya ada menerima surat daripada murid berusia 10 tahun yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang sangat memeranjatkan apabila murid tahun empat ini sendiri memberi pandangan sebegitu dan menyatakan sebab mengapa dia tidak bersetuju,” katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Beliau sebelum itu menyerahkan cek bantuan kewangan kepada sekolah bantuan kerajaan di Negeri Sembilan.

Sebanyak RM6.43 juta diperuntuk kepada 41 sekolah jenis kebangsaan bantuan kerajaan tahun ini.

Bulan lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula tahun depan.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibu bapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. – BERNAMA

Budak dikurung kena rogol – Berita Harian


Budak dikurung kena rogol
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2012/06/11

KUALA LUMPUR: Seorang murid perempuan Tahun Enam, menempuh detik hitam apabila dikurung sekumpulan individu di sebuah rumah selama dua hari sebelum dirogol dalam keadaan tidak sedarkan diri, selepas diberi sejenis minuman di Lembah Jaya Selatan, Ampang, kelmarin.

Mangsa yang tinggal di Bandar Tun Razak, di sini dikatakan mengikut rakan lelaki berusia 20-an yang baru dikenalinya pada Khamis lalu, sebelum dibawa bertemu rakan perempuan temannya itu yang menggelarkan diri sebagai ‘Mummy’.
Sebaik dipertemukan dengan ‘Mummy’, mangsa dikatakan dibawa ke sebuah rumah di kawasan Ampang dan turut diperkenalkan kepada dua wanita dan dua lelaki yang berada dalam rumah berkenaan sebelum ditempatkan di sebuah bilik.
Murid berkenaan dikatakan diberi sejenis minuman oleh ‘Mummy’ untuk menghilangkan dahaga sebelum tidak sedarkan diri selama dua hari.

Sumber polis berkata, mangsa hanya sedarkan diri selepas dikejutkan sekumpulan individu berkenaan yang memintanya bangun untuk mandi kira-kira jam 8.30 malam kelmarin iaitu dua hari selepas tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa yang tidak mengingati apa yang menimpa dirinya itu bergegas ke bilik air sebelum terkejut melihat beberapa kesan gigitan di bahagian leher, selain rasa sakit di bahagian kemaluan dipercayai dirogol ketika dia tidak sedarkan diri.

“Sebaik selesai mandi, enam individu termasuk rakan lelakinya itu sedang bersiap untuk keluar rumah dengan alasan mahu membeli makanan dan meminta mangsa menunggunya di rumah.
“Individu berkenaan juga sempat menyerahkan telefon bimbit mangsa sebelum keluar bersama beg galas dan komputer riba,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik sekumpulan individu berkenaan keluar, mangsa bergegas menghubungi ahli keluarganya meminta bantuan mengambilnya di rumah berkenaan, namun gagal kerana telefonnya kehabisan bateri sebelum nekad melarikan diri.

“Mangsa kemudian menggunakan telefon awam menghubungi ibu bapanya supaya mengambilnya di lokasi kejadian dan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Cheras,” katanya sambil menambah kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Remaja hilang, gagal hubungi keluarga 18 hari – Metro


Remaja hilang, gagal hubungi keluarga 18 hari
JOHOR BAHRU: “Siti bukan budak liar, tetapi anak saya itu terlalu mudah bersimpati selain gemar menolong rakan dalam kesusahan hingga kerap menghilangkan diri dari rumah tanpa khabar berita.

“Namun apa yang kami bimbangkan, ini kali pertama dia menghilangkan diri bagi tempoh lama hingga mencecah 18 hari (hingga semalam) dan tidak menghubungi keluarga,” kata Mohd Sharom Ismail, 53, semalam.
Pekerja swasta itu berkata, kejadian berlaku pada 22 Mei lalu apabila anak kelima daripada tujuh beradik, Siti Hajar, 17, atau Siti keluar rumah bersama adik perempuannya, Shafiqah, 11, bermain basikal di sebuah taman permainan kanak-kanak berhampiran rumah mereka.

Menurutnya, ketika itu isterinya berada di rumah mereka di Jalan Tembikai 14, Taman Kota Masai di sini.
“Saya difahamkan Siti keluar rumah pada jam 3 petang dan pulang ke rumah sejam kemudian sebelum keluar semula bersama Shafiqah.
“Tanpa disedari isteri, Siti sebenarnya turut membawa beberapa baju dimasukkan ke dalam beg dan berpesan dengan adiknya supaya merahsiakan perbuatan itu dari keluarga serta menyatakan ingin pulang ke rumah sebelum jam 5.30 petang.

“Selain itu, dia membawa dua telefon bimbit termasuk satu milik saya,” katanya.
Shahrom berkata, apabila Siti tidak pulang dia menghubunginya dan seorang lelaki menjawab panggilan itu sebelum menyatakan anaknya bersama seorang lelaki bersama Andy dan tinggal di sekitar Batu Pahat.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki itu enggan menyatakan alamat penuh sebelum mematikan telefon bimbitnya hingga kini.
“Ini bukan kali pertama Siti yang sudah berhenti sekolah di tingkatan lima sejak awal tahun ini bertindak menghilangkan diri.
“Dia seorang lurus hingga mudah dipengaruhi rakan terutama teman lelaki. “Sebelum ini dia pernah menghilangkan diri bagi tempoh dua hingga tiga hari, namun kali ini kehilangannya terlalu lama dan kami bimbangkan keselamatannya,” katanya.
Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Siti boleh menghubungi talian 017-7742106 atau 017-7861831.
Sharom turut melaporkan kehilangan Siti di Balai Polis Scientex di Pasir Gudang di sini, pada 6 Jun lalu.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu dan masih berusaha bagi mengesan gadis berkenaan.

Rakaman penyeksaan – Metro


Rakaman penyeksaan

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LIMBANG: Siasatan polis berhubung kes seorang warga emas terlantar sakit yang didera isteri dan anak lelakinya di Kampung Tanggung Unggar, di sini, membawa kepada penemuan mengejutkan apabila dua beranak itu didapati turut merakam perbuatan zalim mereka menggunakan kamera telefon bimbit.

Tindakan wanita dan anak lelakinya yang berusia 15 tahun itu terbongkar selepas polis menemui tiga rakaman video memaparkan perbuatan keji mereka dalam komputer riba 1Malaysia milik pelajar berkenaan di rumah mereka, semalam.

Lebih mengejutkan, rakaman video itu memaparkan wanita berkenaan yang berusia 50 tahun memukul suaminya dengan rotan manakala anak lelakinya ‘tumpang sekaki’ mendera bapanya, termasuk menarik alat sulit lelaki berusia 64 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, jiran keluarga terbabit menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Khamis lalu, melaporkan perbuatan kejam dua beranak itu.

 
“Keesokannya, pegawai JKM bersama polis pergi ke rumah mereka yang mengambil masa sejam perjalanan dengan bot dari sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.