Lelaki dituduh perkosa gadis sunti – Metro


Lelaki dituduh perkosa gadis sunti

 3  1 Google +0  0  0

Seremban: Seorang lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur di tepi pantai di Port Dickson, dekat sini, pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Hizamuddin Fathorrazi, 21, dari Taman Setia, Balakong, Seri Kembangan, Selangor, mengaku tidak bersalah sebaik mendengar pertuduhan berkenaan dibaca dan diterangkan jurubahasa mahkamah kepadanya.
Berikutan itu, Hakim Datin M Kunasundary menetapkan kes untuk sebutan pada 18 Mac depan.

 

Bagi pertuduhan pertama, Hizamuddin dituduh merogol mangsa berusia 15 tahun di tepi pantai Batu 10, Jalan Pantai, Telok Kemang, Port Dickson pada 1 Mei 2012, jam 4 pagi.
Dia didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa di tempat sama pada 3 Mei 2012, kira-kira jam 10 pagi.
Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

 

Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad menawarkan jaminan RM10,000 namun mahkamah mengurangkan kepada RM6,000 selepas tertuduh merayu.
Kes ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Mac depan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Kuarters guru jadi kelas – Sinar Harian


Kuarters guru jadi kelas

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Kuarters guru jadi kelas
Bangunan SK Taman Intan Perdana.

TELOK KEMANG – Gara-gara lambakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kemang yang terlalu ramai, beberapa kuarters guru terpaksa dijadikan bilik darjah Kelas Agama Petang (KAP) sejak setahun lalu.

Rata-rata ibu bapa dan penjaga murid berharap agar SK Taman Intan Perdana yang dibina kira-kira lima kilometer dari sekolah berkenaan akan segera beroperasi bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

Tinjauan mendapati, seramai 1,569 murid SK Telok Kemang yang memulakan sesi persekolahan semalam terpaksa menjalani dua sesi pembelajaran iaitu pagi dan petang.

Inisiatif ini dilaksanakan untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada murid bagi sesi pembelajaran dan pengajaran mereka, malah guru juga mengambil pendekatan menggilirkan kelas tambahan pada waktu petang kepada murid tahun enam bagi menangani kekurangan kelas.

Bapa, Abd Rahman Rais, 35, berkata, dia sedia maklum dengan masalah yang berlaku dan berharap agar SK Taman Intan Perdana boleh segera beroperasi.

Menurutnya, sekolah itu dibina atas janji Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang lalu dan sepatutnya ia beroperasi pada sesi persekolahan 2011, namun atas beberapa masalah yang berlaku ia tertangguh sehingga kini.

“Saya amat berharap sekolah itu dapat dibuka dalam masa terdekat ini kerana apa yang saya lihat bangunan sekolah semuanya sudah siap dan hanya menunggu jalan diturap,” katanya.

Manakala Zuril Arif, 33, berkata, anaknya baru mendaftar di tahun satu dan dia mahukan anaknya mendapatkan kemudahan pendidikan saya selesa.

“Murid di sekolah ini terlalu ramai tetapi kemudahan infrastrukturnya kurang menyebabkan pengurusan terpaksa melaksanakan dua sesi persekolahan sedangkan konsep itu sudah tidak dilaksanakan di negara kita,” katanya.

Sementara Maimunah Hashim, 33, berkata, walaupun mempunyai murid yang padat, namun rekod pencapaian kecemerlangan SK Telok Kemang ini sangat baik terutamanya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurutnya, disebabkan itu ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Pembantu guru bahasa Inggeris akan ditambah tahun depan – Utusan


Pembantu guru bahasa Inggeris akan ditambah tahun depan

PAUL W. Jones (empat dari kanan) bersama Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tiga kanan) dan Sardon Hassan (lima kanan) dan serta Pegawai Tertinggi PLPM di Port Dickson, Telok Kemang, semalam.

TELOK KEMANG 22 Mei – Amerika Syarikat (AS) akan menghantar lebih ramai pembantu guru bahasa Inggeris (ETA) Fulbright ke negara ini bagi memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar tempatan menjelang tahun depan.

Duta Besar AS ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones berkata, inisiatif tersebut selari dengan hasrat dan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam pertemuan terdahulu.

”Buat masa ini, terdapat 50 lepasan universiti di bawah program ETA sedang berkhidmat di tiga buah negeri iaitu di Terengganu, Johor dan Pahang.

”Jumlah itu kita akan tingkatkan kepada 75 orang menjelang Januari tahun depan dan mereka akan berkhidmat di negara ini selama 10 bulan,” katanya selepas melawat Pusat Latihan Pengaman Malaysia (PLPM), Port Dickson, di sini hari ini.

Menyambut lawatan Paul W. Jones ialah Komandan Pusat Latihan Pengaman Malaysia (PLPM), Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Kolonel Sardon Hassan.

Menurutnya, jumlah tenaga ETA itu akan ditambah mengikut permohonan yang layak dari semasa ke semasa dan menyasarkan 100 orang dalam tempoh beberapa tahun lagi.

”Sebenarnya Perdana Menteri meminta kami membawa masuk 300 tenaga pengajar ke negara ini bagi membolehkan program tersebut diperluaskan ke seluruh negara.

”Meskipun ramai lepasan kolej serta universiti premier yang memohon untuk menyertai program itu, kriteria pemilihannya adalah amat ketat,” jelasnya.

Menurut Jones, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk menambah bilangan ETA di negara ini kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua negara.