Pelajar, teman lelaki berdepan hukuman gantung – Kosmo


Pelajar, teman lelaki berdepan hukuman gantung

ZULKEFLY (tengah) dan Inspektor Azman Marwaji (kanan) menunjukkan paket cili sos dan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Kulaijaya semalam.

 

KULAIJAYA – Seorang pelajar berusia 15 tahun yang ditahan bersama teman lelakinya berusia 32 tahun berdepan hukuman gantung kerana dipercayai memiliki dadah jenis heroin seberat kira-kira 19 gram dan syabu 1.4 gram bernilai RM1,000 di Kulai Besar di sini kelmarin.

Ketika serbuan pada pukul 8.30 malam di rumah sewa lelaki itu, pasangan berkenaan dipercayai sedang membungkus dadah dengan melekatnya di belakang paket sos cili.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, polis turut menjumpai sepaket plastik lutsinar berisi heroin seberat 19 gram dan enam paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 1.4 gram di atas meja dalam sebuah bilik.

“Ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau manakala teman lelakinya tidak bekerja,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kes tersebut, katanya, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan mereka direman sehingga Khamis depan.