Soal Siasat Kanak-Kanak Tanpa Kebenaran Ibu Bapa Bukan Kesalahan – Bernama


Soal Siasat Kanak-Kanak Tanpa Kebenaran Ibu Bapa Bukan Kesalahan

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan polis menyoal siasat kanak-kanak tanpa kebenaran atau kehadiran ibu bapa atau penjaga tidak boleh ditafsir sebagai melanggar undang-undang.

Ini kerana katanya walaupun Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan perkara itu, ada kes tertentu membolehkan kanak-kanak disoal siasat oleh polis tanpa kehadiran penjaga mereka.

“Ada kes-kes yang mana kita perlu menyoal kanak-kanak ini tanpa perlu panggil penjaga atau ibu bapa mereka. Janganlah ada pihak-pihak yang nak ugut kita berkenaan isu ini,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan peguam hak asasi manusia, Edmund Bon yang menggesa ibu bapa menyaman pasukan keselamatan itu jika anak mereka disoal siasat tanpa kebenaran penjaga masing-masing.

Bon merujuk kepada beberapa laporan mengenai pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh yang mendakwa disoal siasat oleh polis tanpa kebenaran ibu bapa mereka berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu.

Mengulas lanjut Khalid berkata: “Kalau nak saman-samanlah… Ada sebab-sebab kita buat macam tu. Jangan takutkan kita.” BERNAMA

Pihak politikkan ‘kantin sekolah’ perlu didakwa – Bernama


Pihak politikkan ‘kantin sekolah’ perlu didakwa
26 Julai 2013
  • Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli NoordinNaib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mempolitikkan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sebuah sekolah di Sungai Buloh.

Naib Presidennya Datuk Zulkifli Noordin berkata sesetengah pihak mengambil kesempatan memfitnah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor, dengan mendakwanya bersikap rasis kerana menempatkan murid bukan Islam makan di dalam tandas.

“Yang jelas perkara ini telah diputar belit dan disulami dengan pembohongan, sedangkan faktanya sekolah itu mempunyai kantin yang kecil dan hanya memuat 600 pelajar.

“Keputusan (menggunakan bilik persalinan) itu dibuat hasil perbincangan bersama guru dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), dan guru besar sekadar melaksanakan keputusan itu,” katanya ketika mengulas isu itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penubuhan Majlis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antara Kaum Malaysia (Mirac) di sini.

Zulkifli turut menyatakan sokongan Perkasa untuk membela dan mempertahankan Mohamad Nasir.

Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda MIC P. Punithan turut memohon semua pihak supaya untuk tidak menjadikan perkara berkenaan sebagai isu perkauman.

Perkara itu tidak harus dipolitikkan dan dipolemikkan kerana mampu menggugat perpaduan kaum yang sedia terjalin, katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

Sokong guru besar – Metro


Sokong guru besar

 1  0 Google +0  0  0

Oleh ZAITIE SATIBI

Kuala Lumpur: Satu laman Facebook diwujudkan bagi menyokong Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, Mohamad Nasir Mohd Noor, yang kini menjadi mangsa kecaman selepas kontroversi murid bukan Islam diarahkan pihak pengurusan sekolah itu makan dalam bilik persalinan yang didakwa kononnya tandas sepanjang Ramadan.

Laman peminat dengan nama Kami Sokong Mohamad Nasir Mohd Nor Guru Besar SK Seri Pristana itu diwujudkan Rabu lalu dan setakat jam 9.30 malam tadi, laman itu sudah mengumpul seramai 1,570 peminat yang mempertahankan tindakan guru besar berusia 57 tahun itu, di samping mengecam mereka yang mengemukakan pandangan negatif mengenai insiden berkenaan.
Turut dimuat naik adalah beberapa gambar lokasi bilik persalinan yang dijadikan tempat makan sementara selepas kantin sekolah berkenaan dinaik taraf untuk dibesarkan bagi menampung bilangan murid yang ramai.

 

Keratan akhbar dan pautan blog mengenai kontroversi yang melanda guru besar berkenaan turut dimuatkan.
Seorang ibu pelajar sekolah berkenaan memberikan komen bahawa dia tiada masalah dengan guru dan pengurusan sekolah yang membuat keputusan mengubah suai bilik persalinan itu kepada tempat makan dan sudah dimaklumkan kesulitan itu sejak sebelum puasa lagi.
“Orang luar yang tidak tahu hujung pangkal berkongsi perkara yang belum sahih lagi.. tolonglah jangan jadikan Facebook ini sebagai medium mahkamah (menjatuhkan hukuman sebelum disabitkan).

 

“SK Seri Pristana ini sangat kecil, ada empat kelas untuk setiap darjah. Tahun ini bilangan kelas bertambah dan murid terpaksa mengharungi kelas terapung. Jadi, hentikan semua tohmahan.. bukan anak anda yang belajar di sekolah itu pun,” katanya.
Katanya, kantin sedia ada pula hanya mampu menampung kira-kira 350 murid dan di Saujana Utama ada tujuh taman perumahan yang berkongsi dua sekolah selain SK Saujana Utama. Beberapa warga siber turut menggesa pihak polis dan pihak berkuasa lain yang berkaitan supaya mengambil tindakan segera terhadap individu pertama yang dilaporkan berkongsi gambar bilik persalinan itu dalam kalangan media sosial seterusnya mengundang perhatian media.

Usah pandang negatif pada sistem persekolahan – Metro


Usah pandang negatif pada sistem persekolahan

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Insiden murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, dekat sini yang diarah makan di bilik persalinan menggantikan kantin, tidak harus menjadi penyebab untuk ibu bapa berpandangan negatif mengenai sistem persekolahan negara.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kejadian itu disifatkannya kes terpencil yang sangat jarang berlaku, justeru, ia bukan kayu pengukur kepada keseluruhan corak pendidikan diguna pakai ketika ini.
“Jangan kita mengukurnya dengan menganggap keseluruhan sistem pendidikan sesuatu yang buruk… tak elok, sekali gus enggan menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

 

“Kejadian ini adalah kes terpencil dan tidak langsung menggambarkan keseluruhan sistem yang kita guna pakai. Jadi jangan cepat bertindak melampau atau keterlaluan.
“Memanglah tak wajar untuk meletakkan murid makan di tempat begitu, tetapi secara dasarnya pihak sekolah sudah menjelaskan duduk perkara sebenar (atas tindakannya) dan semua pihak perlu akur ia satu kesilapan bukan disengajakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas laporan akhbar semalam mengenai tindakan pengurusan SK Seri Pristana yang menempatkan murid makan di bilik persalinan menggantikan kantin sekolah itu.

 

Laporan menyebut, bilik persalinan itu yang belum pernah digunakan dijadikan tempat makan sejak Mac berikutan kantin tidak mampu menampung bilangan murid yang ramai pada waktu rehat.
Malah, tempat makan itu juga digunakan semua murid sekolah terbabit tanpa mengira kaum dan bangsa.

 

Mengulas lanjut Dr Mohamad Ali berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar atas kejadian berlaku selain Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah harus menjadi lebih proaktif menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25