Meninggal lepas ditembak abang – Metro


Meninggal lepas ditembak abang
MIRI: Selepas lima hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri akibat kepala ditembusi peluru yang ditembak abangnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia petang kelmarin.

Nurul Afifah Maderom meninggal dunia selepas cedera parah selain peluru dikatakan masih dalam kepala serta mengena otaknya, menyebabkan keadaan semakin kritikal dan sukar diselamatkan.
Ibu mangsa, Janiah Assan, 31, berkata keadaan anak perempuannya sangat kritikal kelmarin, meskipun doktor berusaha menyelamatkannya kerana peluru hampir menembusi tengkorak belakang kepala.

Katanya, keadaan itu menyebabkan peluru tidak dapat dikeluarkan mangsa kerana boleh membahayakan nyawa selain dikhuatiri menyebabkan komplikasi lain.
“Mungkin Allah lebih menyayanginya yang bertarung nyawa sebelum menghembuskan nafas terakhir lewat petang semalam (kelmarin),” katanya.

Tengkorak, tulang kaki dipercayai milik manusia ditemui – Bernama


Tengkorak, tulang kaki dipercayai milik manusia ditemui

2011/07/25

KAJANG: Satu tengkorak dan satu tulang kaki yang dipercayai milik manusia ditemui di tepi jalan utama kawasan perumahan Taman Lingkungan Nur di sini, hari ini.

“Tengkorak dan tulang itu ditemui penduduk sekitar kira-kira jam 12 tengah hari,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi.

Beliau berkata, daripada pemeriksaan lanjut di kawasan itu, polis turut menemui beberapa cebisan kain dan sebuah rangka motosikal berdekatan penemuan tengkorak dan tulang itu.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan awal, tengkorak dan tulang kaki berkenaan dipercayai milik individu berusia sekitar belasan tahun.

“Bahagian anggota badan manusia itu disyaki dibawa anjing liar ke kawasan itu dari kawasan lain,” katanya sambil memberitahu bahawa Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan untuk mencari anggota badan lain.

Sehingga kini, operasi mencari anggota badan lain masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Rakan Cop Selangor di talian 03-20529999, katanya. – BERNAMA