Mayat pelajar lemas di Pantai Cenang ditemui – Bernama


Mayat pelajar lemas di Pantai Cenang ditemui

2013/06/23 – 15:49:51 PMCetakEmel Kawan
LANGKAWI: Mayat seorang pelajar yang dilaporkan hilang ketika belajar berenang di Pantai Cenang di sini Jumaat lalu ditemui petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harith Kam Abdullah berkata, mayat Muhammad Aizzat Ahmad Nazri, 17, dari Ulu Melaka Langkawi, ditemui tidak jauh dari tempat dia mandi kira-kira 3.45 petang semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian Jumaat lalu Muhammad Aizatt bersama dua lagi rakannya mandi di Pantai Cenang kira-kira 6 petang, dan tiba-tiba arus deras menyebabkan mereka tidak dapat mengawal keadaan.

Dua rakannya dapat diselamatkan orang awam di pantai itu.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Padang Mat Sirat itu kemudian dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

Gerakan mencari dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam. – BERNAMA

Kerjasama dua kementerian tingkatkan jati diri pelajar – Utusan


Kerjasama dua kementerian tingkatkan jati diri pelajar

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Program ‘Uniformed Policing 2 : Remaja Berwawasan’ anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran mampu membendung masalah sosial yang semakin menular dalam kalangan pelajar.

Panglima Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, menerusi program itu pelajar bukan sahaja berpeluang memperbaiki diri malah mempamerkan potensi dan kelebihan masing-masing.

Jelasnya, pemupukan kesedaran itu penting bagi memastikan pelajar tidak mengulangi kesilapan lalu di samping mengubah paradigma masyarakat supaya mampu menjadi individu berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Kerajaan berpendapat tidak wajar pelajar dibiarkan tanpa sebarang usaha memperbaiki diri serta tindakan susulan yang membolehkan mereka menyedari dan memperbaiki kesalahan mereka.

“Matlamat program ini adalah untuk menerapkan nilai disiplin diri yang tinggi dan memberi kesedaran serta pemahaman kepada pelajar terlibat supaya patuh kepada peraturan sama ada ketika berada di dalam atau di luar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan prapelancaran program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati di sini hari ini.

Program cetusan Perdana Menteri di bawah Strategi Lautan Biru itu dilancarkan secara serentak di sembilan lagi sekolah di ibu negara, Pulau Pinang, Selangor dan Johor melibatkan pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Menurut Syed Zahiruddin, program itu akan dilengkapi dengan aktiviti-aktiviti pembinaan sahsiah yang dikendalikan jurulatih pasukan badan beruniform.

“Program-program yang dirancang pastinya amat menarik serta dapat meningkatkan jati diri pelajar yang juga merupakan aset yang tidak ternilai kepada sekolah, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar, Akma Danial Zainal, 17, berkata, penglibatan dalam program tersebut merupakan landasan terbaik untuknya memperbaiki diri terutama dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Saya berharap kelemahan dan kesilapan lalu dapat diperbaiki menerusi program ini terutama daripada sudut disiplin,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130117/dn_12/Kerjasama-dua-kementerian-tingkatkan-jati-diri-pelajar#ixzz2IBdasyig
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar tingkatan tiga dikhuatiri lemas di Sungai Tanjung Medang – Bernama


Pelajar tingkatan tiga dikhuatiri lemas di Sungai Tanjung Medang
2012/06/15

KUANTAN: Kegembiraan dua bersaudara yang mandi di Sungai Tanjung Medang, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya dikhuatiri lemas kira-kira jam 6.30 petang, semalam.

Mangsa, Khairul Azim Ab Razak, 15, yang tinggal di Kampung Tanjung Medang, dekat sini, masih belum ditemui sehingga kini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Amran Sidek, berkata pelajar tingkatan tiga SMK Tengku Abdullah, di sini, disedari terkapai-kapai dan meminta pertolongan saudaranya namun gagal membantu mangsa.
Dia kemudian bergegas pulang ke rumah untuk memaklumkan kepada ahli keluarganya mengenai kejadian itu dan sebaik saja ahli keluarga mangsa tiba semula di tempat kejadian mendapati pelajar terbabit sudah hilang.

Ahli keluarganya kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Pekan kira-kira jam 9, malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, saudara mangsa gagal menyelamatkan mangsa akibat arus deras sebelum mangsa hanyut hanyut dibawa arus berkenaan.

“Bagaimanapun, polis masih meneruskan operasi mencari mangsa dengan bantuan Unit Skuba, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. – BERNAMA