37 murid keracunan – Sinar Harian


37 murid keracunan

NORMAWATI ADNAN
24 Julai 2013
37 murid keracunan
Adun Buntong, A Sivasubramaniam turut melawat mangsa keracunan.

BUNTONG – Seramai 37 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Guru Kalgidar, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Buntong setelah mengadu sakit perut dan muntah dipercayai keracunan makanan.

Kejadian membabitkan murid tahun satu hingga enam itu dikesan berlaku selepas semua murid mengambil makanan di kantin sekolah pada waktu rehat kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Exco Kerajaan Negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, semua murid yang menerima rawatan sebagai pesakit luar itu mengaku sakit perut, muntah, pening dan cirit-birit antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan Jabatan Kesihatan mendapati, kemungkinan gejala itu berpunca daripada sejenis makanan dikenali sebagai idli iaitu makanan tradisi masyarakat India yang diperbuat daripada tepung beras yang dikukus.

“Kita syak semua murid ini telah dijangkiti bakteria bacillus cereus yang terdapat dalam makanan itu, sampel makanan sudah diambil untuk tujuan ujian makmal dan kita akan tunggu laporan seterusnya,” katanya.

Menurutnya, arahan penutupan kantin sekolah sudah dilakukan serta-merta.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, sekolah berkenaan hanya memperoleh 62.1 peratus terhadap penilaian pendidikan kesihatan kepada murid sekolah dan guru.

“Saya agak kecewa kejadian seperti ini boleh berlaku.  Kita tidak akan teragak-agak untuk menyenarai hitamkan pengendali kantin yang didapati bersalah,” katanya.

Daripada laporan yang diterima daripada Jabatan Kesihatan negeri, 36 murid mengalami sakit perut, muntah (27), pening (10), cirit-birit (10), dan semua murid dibenarkan pulang pada jam 1.30 petang, semalam.

Sinar Harian difahamkan, sekolah berkenaan terpaksa menumpang gerai makanan luar untuk dijadikan kantin berikutan ketiadaan kemudahan itu.

Pegawai Khas Menteri Besar, C Sivaraj berkata, perkara itu berlaku berikutan jumlah murid yang sedikit iaitu seramai 97 orang.

Katanya, pihaknya sebelum ini ada menyarankan agar dibina kantin, namun timbul masalah pemilikan tanah apabila pihak swasta tidak membenarkan sebarang binaan kekal dibuat di kawasan itu.

36 murid sekolah Tamil di Ipoh keracunan makanan – Bernama


36 murid sekolah Tamil di Ipoh keracunan makanan

2013/07/23 – 18:03:12 PMCetakEmel Kawan
IPOH: Seramai 36 murid Sekolah Kebangsaan Guru Kalgidhar, Buntong di sini mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada makanan yang dijual di kantin sekolah itu, hari ini.

Mereka yang makan semasa waktu rehat pada jam 10 pagi mengadu sakit kepala, sakit perut, muntah dan cirit-birit dikejarkan ke Klinik Kesihatan Buntong.

Pengawai Pelajaran Daerah Kinta Utara, Marazlen Amran, berkata semua pelajar kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan pesakit luar.

“Semua murid dihantar ke klinik sekitar pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari. Hanya lima daripada mereka memerlukan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jabatan Kesihatan negeri dan kantin berkenaan disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, kantin itu beroperasi sejak 30 tahun lalu dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemilik tapak sekolah itu yang juga dipercayai pengusaha kantin.

Beliau berkata, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, C Sivaraj akan mengagihkan makanan percuma kepada murid sekolah itu esok.
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Idris Ramli, berkata jabatan itu menunggu laporan lengkap daripada pihak sekolah sebelum menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Sekolah bantuan penuh kerajaan itu mempunyai 96 pelajar tahun satu hingga enam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nolee Ashilin Radzi, berkata kejadian itu berlaku dipercayai daripada sejenis makanan India iaitu idli yang diperbuat daripada tepung beras yang dikukus.

“Makanan itu adalah dari kantin sekolah dan bakteria yang disyaki adalah bacillus cereus,” katanya.

– BERNAMA