Terima keputusan dengan hati terbuka – Metro


Terima keputusan dengan hati terbuka

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SARIKEI: “Saya terima keputusan ini dengan hati terbuka walaupun tidak sebaik murid lain. Sekurang-kurangnya dia diberi peluang menduduki peperiksaan ini,” kata Molly Nilau, 39, ibu kepada Edward Ujoh Augustine, 12, sebaik keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, semalam.

Edward antara tiga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, yang dikurung dalam bilik pemulihan sekolah ketika rakan lain sedang menduduki UPSR pada 13 dan 14 September lalu.
Dua lagi rakan menerima nasib sama adalah Idie Ganyol dan Richmend Mangi, namun mereka dibenarkan menduduki semula sehari selepas tamat peperiksaan, apabila ibu bapa mereka membuat laporan polis selain campur tangan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Keputusan UPSR yang diumumkan semalam, menyaksikan Edward memperoleh 2C 3E, Idie (4E 1D), manakala Richmend 3D 2E , dalam lima mata pelajaran diduduki iaitu Bahasa Malaysia (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Menurut Molly, adalah menjadi hak anaknya menduduki peperiksaan itu walaupun dikategorikan sebagai murid lemah bagi menjamin masa depan, khususnya ketika melangkah ke alam sekolah menengah.
“Lega hati saya apabila dimaklumkan mengenai keputusan itu. Walaupun tidak begitu cemerlang, saya reda dengan ketentuan Tuhan.

 

 

“Saya berharap, apa yang berlaku ke atas anak saya adalah yang pertama dan terakhir dan tidak mahu perkara sama berulang kepada murid lain yang senasib anak saya,” katanya.