Terpaksa makan pasir – Metro


Terpaksa makan pasir
Oleh RASHIDI KARIM
am@hmetro.com.my

PADANG BESAR: Masalah kebuluran rakyat Somalia sehingga mengakibatkan kanak-kanak kelaparan, termasuk makan pasir, menyentuh perasaan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, di sini, untuk mencari dana bagi membantu mereka.

Penderitaan kanak-kanak Somalia itu didedahkan sukarelawan Mercy Malaysia, Dr Iqbal Muhamad, yang menyertai misi bantuan di negara itu pada Majlis Taklimat Komuniti Inovatif MRSM yang dihadiri lebih 200 pelajar maktab berkenaan di sini, semalam.
Dr Iqbal yang juga Pengarah Pusat Kesihatan, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, sejuta rakyat Somalia berdepan konflik perang saudara dan secara tidak langsung, turut terdedah dengan masalah kebuluran melampau serta sangat memerlukan bantuan.

“Berdasarkan maklumat terkini, ramai rakyat Somalia, terutama kanak-kanak, meninggal dunia setiap hari disebabkan masalah kebuluran selain penularan penyakit cirit-birit.
“Menerusi misi bantuan Mercy baru-baru ini, saya terkejut apabila berdepan beberapa kes kanak-kanak yang mengalami masalah ketagihan pasir. Kami dimaklumkan kanak-kanak ini terpaksa makan pasir kerana tiada makanan,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Jamsari Jamaludin yang mewakili beliau untuk merasmikan majlis itu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Muhammad Azip Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd, Mazlee Md Ramli dan Pengetua MRSM Beseri, Mohd Salim Lebai Bulat.
Justeru, Dr Iqbal mengharapkan pembabitan pelajar MRSM untuk menjayakan kempen kutipan dana membantu mangsa kelaparan di Somalia menerusi peranan mereka dengan memikirkan kaedah dan inovasi terbaik untuk mengumpul sumber kewangan.

Lebih 10,000 pelajar membabitkan 46 MRSM di seluruh negara menjayakan pertandingan mencari dana anjuran bersama Al Niaga, YIM, Mercy Malaysia dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara).
Program dikenali Ideapreneur MRSM akan memilih MRSM yang melakukan kaedah mencari dana paling berinovasi dengan pemungut jumlah terbesar sebagai pemenang bagi menerima Anugerah Inovasi Perdana 2012 pada November depan.