Terpukau lihat kecekapan minda kanak-kanak selesai soalan matematik – Utusan


Terpukau lihat kecekapan minda kanak-kanak selesai soalan matematik

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Pantas mencongak soalan matematik yang diberikan secara spontan dan mampu menghafal 15 jenis perkataan dalam masa tidak sampai satu minit.

Inilah aksi-aksi kanak-kanak yang menyertai program Permata Insan pada Ekspo Permata 2011 hari ini. Kebolehan mereka itu begitu menakjubkan pengunjung.

Kebolehan kanak-kanak ini adalah hasil daripada program Permata Insan yang bukan sahaja memberi ilmu rohaniah bahkan kemahiran dalam bidang akademik tanpa pembelajaran yang membosankan.

Pengarah Akademi Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim (gambar) berkata, program Permata Insan bukan sahaja memberikan ilmu rohaniah kepada kanak-kanak terlibat, malah turut mendedahkan kemahiran berfikir secara pantas dalam bidang akademik.

“Permata Insan turut mengadakan aktiviti yang mampu membangunkan minda dan membina keyakinan diri kanak-kanak,” katanya selepas demonstrasi kebolehan peserta program Permata Insan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMA Mental Arithmetic Ivy Lina Tiang berkata, kanak-kanak yang terlibat bukan sahaja dapat meningkatkan minda, malah keyakinan dan jati diri.

“Kami sudah dua tahun terlibat dengan Permata Insan. Kami mengamalkan corak pembelajaran yang seronok dan tidak membawa tekanan kepada mereka. Ini terbukti berjaya melahirkan kanak-kanak yang bijak dan pantas berfikir,” jelasnya.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Hadif Darwish Badrul Hisham, 8, berkata, dia secara sukarela menyertai program ini kerana mahu mempelajari teknik yang mampu meningkatkan daya ingatan seseorang.

“Saya diajar teknik-teknik menjawab soalan matematik dan ternyata ia seronok dan saya akan teruskannya. Program ini membolehkan saya berfikiran pantas dan menyelesaikan matematik dengan mudah,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Nur Farzana Rosni, 8, berkata, program itu mengajar dia menjadi lebih yakin dan meningkatkan kebolehan menghafal.

“Saya enam kali mengikuti program ini dan mampu menguasai kaedah-kaedah dalam menyelesaikan soalan matematik. Ini satu kelebihan yang boleh dipraktikkan semasa di sekolah,” katanya.