Tiada cadangan selaras yuran PIBG – Kosmo


Tiada cadangan selaras yuran PIBG

PONTIAN – Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.

Bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.

“Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.

“Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan.

Berdasarkan rekod Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), yuran PIBG sekolah kebangsaan ialah di antara RM50 hingga RM100 manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM100 hingga RM300.