Tiada garis panduan pelajar lemah dilarang duduki peperiksaan – Bernama


Tiada garis panduan pelajar lemah dilarang duduki peperiksaan

30/09/2011 6:46pm

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan sebarang garis panduan atau arahan kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk melarang pelajar yang dianggap lemah daripada menduduki peperiksaan bagi mengelak prestasi sekolah terjejas.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, menjadi tanggungjawab semua warga pendidik di setiap sekolah untuk memastikan pelajar dapat mencapai keputusan yang terbaik.

Beliau berkata pihak yang melarang pelajar daripada menduduki peperiksaan tidak akan terlepas daripada tindakan kerana kementerian akan menjalankan siasatan secara terperinci.

“Jangan cari helah, pelajar itu pelajar ini tidak boleh ambil peperiksaan, kerana siasatan kita merangkumi temubual dengan mangsa atau pelajar tersebut dan apabila dijalankan secara rapi, akhirnya akan terbongkar dan kita akan perolehi rumusannya,” katanya. – Bernama