Tiada garis panduan sekat murid lemah duduki peperiksaan – Utusan


Tiada garis panduan sekat murid lemah duduki peperiksaan

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan sebarang garis panduan kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk melarang pelajar yang dianggap lemah menduduki peperiksaan bagi mengelak prestasi sekolah terjejas.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, menjadi tanggungjawab warga pendidik di setiap sekolah untuk memastikan pelajar mencapai keputusan terbaik.

Beliau berkata, pihak yang melarang pelajar daripada menduduki peperiksaan tidak akan terlepas daripada tindakan kerana kementerian akan menjalankan siasatan secara terperinci.

“Jangan cari helah, pelajar itu pelajar ini tidak boleh ambil peperiksaan, kerana siasatan kita merangkumi temu bual dengan mangsa atau pelajar tersebut dan apabila dijalankan secara rapi, akhirnya akan terbongkar dan kita akan perolehi rumusannya,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya menunggu laporan Jabatan Pelajaran Kedah mengenai kes tersebut untuk diteliti oleh Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Setiausaha Kementerian. — BERNAMA