Lebih 2,000 TASKA tidak berdaftar dengan JKM – Bernama


Lebih 2,000 TASKA tidak berdaftar dengan JKM

2012/01/25

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,077 pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di seluruh negara belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga akhir tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) jabatan itu, Noraini Mohd Hashim, berkata sehingga kini hanya 770 TASKA di seluruh negara yang berdaftar dengan jabatan dan angka itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah yang belum berdaftar.

“Kami tidak faham kenapa ramai pengusaha tidak mahu mendaftar dengan JKM sedangkan mereka tahu banyak faedah akan diperoleh jika berdaftar dengan jabatan,” katanya di sini.

Noraini berkata, pendaftaran dengan JKM bukan sahaja memudahkan penyaluran bantuan daripada kerajaan, tetapi memastikan semua pengasuh mempunyai latihan yang sewajarnya terutama dalam menjaga kanak-kanak.

“Sebab itu kalau kita tengok kebanyakan kes kanak-kanak meninggal dunia dan kes keganasan adalah daripada TASKA yang tidak berdaftar sebab pengasuhnya ada yang tidak terlatih,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata masyarakat harus berhenti menyalahkan JKM kerana tidak meluluskan pendaftaran sesebuah TASKA sehingga menyebabkan banyak yang beroperasi tanpa kelulusan.

Katanya, sesebuah TASKA yang ingin berdaftar dengan JKM perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kebanyakannya sangkut di peringkat PBT kerana kawasan yang dipilih tidak sesuai maka kami tidak boleh luluskan pendaftaran mereka sebab ini soal keselamatan kanak-kanak, jadi kami tidak akan kompromi,” katanya.

Noraini turut menasihatkan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke TASKA supaya memeriksa status pusat berkenaan sama ada ia berdaftar dengan JKM atau sebaliknya.

“TASKA yang berdaftar dengan JKM kita bagi sijil untuk mereka pamer, jadi ibu bapa perlu periksa terlebih dahulu supaya kalau terjadi perkara tidak diingini, kita boleh ambil tindakan,” katanya. – BERNAMA

Gaji baru: Kerajaan juga ada kekangan, kata KSN – Bernama


Gaji baru: Kerajaan juga ada kekangan, kata KSN

January 18, 2012

PUTRAJAYA – Wakil persatuan dan kesatuan sekerja yang mewakili skim perkhidmatan tertentu serta pihak lain yang berkaitan, akan dijemput dalam perbincangan pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan petugas itu juga akan berusaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu yang dibangkitkan.

“Namun demikian diingatkan bahawa kerajaan juga mempunyai kekangan tertentu yang mungkin tidak akan dapat memenuhi kehendak semua pihak.

“Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah dihargai,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada anggota pasukan itu di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan amat prihatin dengan aduan dan rungutan orang ramai termasuk penjawat awam, dan bersedia mendengar serta menelitinya untuk tujuan penambahbaikan secara berterusan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Mohd Sidek berkata, beliau yakin dengan kemampuan pengerusi pasukan petugas berkenaan iaitu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam yang berpengalaman luas.

“Sudah tentu semua hasrat dan permasalahan akan didengari, ia termasuklah¬† hasrat penjawat awam peringkat tinggi dan juga peringkat rendah.

“Tetapi apa yang penting di sini ialah produktiviti, jika ada kenaikan gaji, maka haruslah ada juga peningkatan produktiviti,” katanya.

Pada majlis itu, sepuluh anggota pasukan petugas tersebut menerima watikah pelantikan masing-masing dengan didahului pengerusinya, diikuti Timbalan Ketua

Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Farida Mohd Ali serta Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun.

Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Datuk Nozirah Bahari, Pengarah Pembangunan Organisasi JPA Datuk

Basaruddin Sadali, Pengarah Saraan JPA Raja Noor Zaedah Raja Ahmad dan Pengarah Perkhidmatan JPA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Pasukan itu turut dianggotai Timbalan Pengarah Belanjawan (Dasar) Bahagian Pengurusan Belanjawan Kementerian Kewangan K. Givananadam, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan Kementerian Kewangan Hazanah A. Bakar serta Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman. – Bernama

Pasukan petugas diberi dua bulan semak semula SBPA – Bernama


Pasukan petugas diberi dua bulan semak semula SBPA

2012/01/13

KUALA LUMPUR: Sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pasukan petugas itu, yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April, untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian yang berkaitan.

“Pasukan petugas terbabit akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

“Isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah dialamatkan atau diemelkan dalam tempoh satu bulan dari kenyataan media ini iaitu pada 15 Februari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu-isu itu boleh dialamatkan kepada farida.sbpa@jpa.gov.my atau :
Datuk Farida Mohd Ali,
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam,
Aras 13, Blok C1, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62510 Putrajaya

Mohd Sidek berkata bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA pada tarikh kenyataan media ini dan mereka yang telah membuat opsyen untuk tidak memilih SBPA, borang opsyen yang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad hasil semakan semula itu dibuat.

“Bagi mereka yang telahpun bersetuju memilih SBPA, opsyen berkenaan kekal,” katanya.

Mohd Sidek berkata kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuk kemudahan dan gaji. – BERNAMA

Dua beradik dirantai dalam tandas dijaga bapa saudara – Utusan


Dua beradik dirantai dalam tandas dijaga bapa saudara

BUTTERWORTH 3 Jan. – Mahkamah Majistret di sini hari ini menyerahkan hak jagaan sementara dua kanak-kanak yang dikurung dan kaki dirantai di dalam tandas rumah mereka di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini minggu lalu, kepada bapa saudara mereka.

Majistret Mohd. Zamir Suhaimee memutuskan demikian semasa kedua-dua kanak-kanak yang berusia enam dan dua tahun itu dibawa ke mahkamah oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara setelah mereka dirawat di Hospital Seberang Jaya sejak Khamis lalu.

Kanak-kanak malang itu akan berada di bawah jagaan bapa saudara mereka, Munawar Tan Abdullah selama sebulan sementara JKM menjalankan siasatan dan menentukan hak jagaan kekal sama ada terus dijaga Munawar atau diserah kembali kepada ibu bapa mereka.

Dua kanak-kanak tersebut diselamatkan oleh pihak polis dan pegawai JKM dalam keadaan separuh bogel dan kaki mereka dirantai di dalam tandas di rumah mereka ketika bapa mereka yang berusia 40-an keluar bekerja.

Sementara itu Munawar, 48, berkata, dia bersedia menjaga anak-anak saudaranya sementara menunggu keputusan sama ada adiknya akan didakwa atau tidak.

”Adik saya mengakui kesilapan yang dilakukannya dan menyesal dengan apa yang berlaku namun menjelaskan tindakan berkenaan dibuat bukan untuk mendera tetapi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana tiada orang yang menjaga dua beradik itu ketika dia keluar bekerja.

”Dia seorang yang baik dan tidak akan tergamak untuk mendera anak-anaknya kerana dua beradik itu cukup manja dengan bapa mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelasnya, dia telah bersedia dengan peguam bela sekiranya adiknya didakwa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan mereka namun berharap adiknya tidak akan didakwa atau dihukum penjara.

Ujarnya lagi, dia berharap anak saudaranya akan meneruskan persekolahan seperti biasa kerana pendaftaran sekolahnya terbantut berikutan insiden terbabit.

”Saya juga menafikan laporan yang mendakwa adik saya berpisah dengan isterinya sebaliknya isterinya, seorang warganegara Thailand pulang ke kampung halaman di Cheang Rai kerana ibunya sakit tenat.

”Saya sedang berusaha menghubunginya di sana agar segera kembali ke sini dan menjaga anak-anaknya,” ujarnya.