Tidak mampu bayar yuran, anak terpaksa berhenti sekolah
28 Februari 2013
KUANTAN – Kemiskinan hidup menyebabkan anak sulung daripada lima beradik terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan pelajaran setelah gagal menjelaskan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak tahun lalu.
Ibunya, Norlaila Alias, 39, berkata biarpun yuran berkenaan hanya RM300, mereka tidak mampu untuk menjelaskannya.
Malah katanya, sewa rumah sebanyak RM260 sebulan pun tertunggak RM6,000 kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membayarnya sejak dua tahun lalu.
“Saya tahu dia kecewa dan sedih apabila terpaksa berhenti sekolah malah dia juga malu kerana tidak dapat membayar yuran peperiksaan.
“Hati saya bagi dihiris setiap kali memikirkan masa depannya, namun apakan daya kami tak mampu, anak saya itu kini mengambil keputusan untuk bekerja bagi meringankan beban kami,” katanya.
Anak sulung keluarga ini Mohd Abu Khir Abu Bakar, 19, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, di sini.
Menurutnya, biarpun suaminya, Abu Bakar Mamat, 43, melakukan kerja kampung namun pendapatan yang diperoleh tidak mampu untuk menampung perbelanjaan mereka tujuh beranak.
“Pendapatan suami bukan sahaja tidak cukup untuk biaya lima anak yang masih bersekolah tetapi untuk bayar bil air dan elektrik juga tidak mampu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rumbia, Beserah, di sini.
Lebih menyedihkan kata Norlaila, akibat kemiskinan, dua anak lelakinya yang bersekolah di darjah enam dan empat sering tidak ke sekolah kerana malu apabila kawan bertanya mengenai pekerjaan ayah mereka.
Namun dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang diterima baru-baru ini dapatlah dia menjelaskan bil tertunggak.