Tiga budak lemas berpelukan – Berita Harian


Tiga budak lemas berpelukan
Oleh Adha Ghazali

2011/09/10

MAYAT tiga kanak-kanak  lemas   dituntut keluarga masing-masing di Hospital Tuanku Fauziah, Arau, semalam.

MAYAT tiga kanak-kanak lemas dituntut keluarga masing-masing di Hospital Tuanku Fauziah, Arau, semalam.

Lelaki temui mayat pasangan kembar, rakan dalam terusan

ARAU: Tiga kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, termasuk pasangan kembar lemas ketika bermain di sebuah terusan di Kampung Banat di sini, petang semalam.
Ketiga-tiga mangsa, Mohd Akmal Abdul Razak dan pasangan kembar Abdul Hakim dan Abdul Hakam Zulkifli, disahkan meninggal dunia selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain di dasar terusan terbabit.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Husin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan yang mengorbankan nyawa pasangan kembar dan rakan rapatnya itu, semalam. Beliau berkata, mayat mangsa ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan terusan terbabit, terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarga mereka, kira-kira jam 5.30 petang.

Lelaki itu dikatakan curiga dengan penemuan basikal serta beberapa barang, termasuk selipar milik kanak-kanak di pinggir terusan. Dia kemudian terjun ke dalam air sebelum mengesan mayat ketiga-tiga mangsa di dasarnya.

Mayat ketiga-tiga mangsa yang juga rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan Arau itu kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing, katanya.

Sementara itu, bapa pasangan kembar terbabit, Zulkifli Mat Isa, 48, ketika ditemui berkata anaknya serta Akmal memang rapat sehinggakan ketiga-tiga mereka dianggap seolah-olah adik beradik.
Mereka bukan saja sekelas ketika di tadika.

Malah, di sekolah rendah pun mereka sekelas. Apa pun, saya reda dengan pemergian mereka, katanya yang mengesahkan ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Guar Sanji, di sini, jam 10 pagi ini.

Sementara itu, bapa kepada Akmal, Abdul Razak Mohamad, 39, berkata kelakuan anaknya itu sedikit pelik sejak dua tiga malam lepas, kerana lebih gemar tidur di ruang tamu di hadapan televisyen, berbanding di dalam bilik.

Dia begitu manja sekali dengan saya sejak akhir-akhir ini, sehinggakan meminta saya menemaninya tidur di ruang tamu. Mungkin itu petanda sebelum dia pergi meninggalkan kami, katanya.