Tiga disahkan dibuang sekolah – Utusan


Tiga disahkan dibuang sekolah

PULAU PINANG 10 April – Jabatan Pelajaran negeri mengesahkan kumpulan pelajar yang terlibat dalam kejadian memukul pelajar lain yang sedang tersebar di laman YouTube telah dikenakan tindakan sewajarnya.

Pengarahnya, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, tiga pelajar terbabit telah dibuang sekolah.

“Kejadian itu berlaku pada awal Mac lalu dan pihak sekolah telah mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit pada 8 Mac lalu iaitu lima hari selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu video yang kini tersebar di laman YouTube dan laman sosial Facebook mengenai pergaduhan yang melibatkan pelajar sebuah sekolah di negeri ini.

Ahmad Tarmizi berkata, pelajar terbabit bagaimanapun masih boleh merayu untuk menyambung kembali persekolahan tetapi bukan di sekolah sama.

“Cuma pelajar terbabit tidak boleh menyambung persekolahan di sekolah sama dan rekod dibuang sekolah itu dimasukkan ke dalam fail peribadi mereka,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130411/je_02/Tiga-disahkan-dibuang-sekolah#ixzz2Q9NQJl5y
© Utusan Melayu (M) Bhd