Tiga murid ‘hilang’ ditemui – Utusan


Tiga murid ‘hilang’ ditemui

IPOH 11 Jun – Tiga murid lelaki yang sebelum ini dikatakan hilang selepas keluar menghadiri kelas tambahan di Sekolah Kebangsaan Kampung Muhibbah, Sungai Siput sejak kelmarin ditemui dalam keadaan selamat malam tadi.

Mereka ditemui sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjalankan operasi mencari kanak-kanak itu kira-kira pukul 8 malam.

Ketika ditemui, ketiga-tiga murid itu sedang berbasikal di persimpangan lampu isyarat di Rimba Panjang, Sungai Siput.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, tiga murid ini dikatakan menunggang basikal ke Chemor dan bermalam di sebuah rumah kedai kosong di sana pada hari kehilangan mereka kelmarin.

“Mereka dipercayai tidak hadir ke kelas tambahan dan mencari tempat untuk bersembunyi sekiranya tindakan mereka itu dilaporkan kepada ibu bapa masing-masing,” katanya di sini hari ini.