Tiga sahabat main sampan dikhuatiri lemas di sungai – Metro


Tiga sahabat main sampan dikhuatiri lemas di sungai

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GERIK: Keseronokan tiga sahabat bermain sampan tanpa pengetahuan ahli keluarga bertukar tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang di Sungai Kenderong, berhampiran Kampung Bukit Marikan, dekat sini, kehilangan mangsa disedari ahli keluarga masing-masing selepas seorang penduduk memaklumkan ketiga-tiga mangsa sedang menaiki sampan di tengah sungai.
Ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mohd Saiful Haikal Gahari, 7, Amir, 9 dan Adham, 11, kali terakhir dilihat seorang penduduk kampung jam 2 petang.

 

Difahamkan, penduduk berkenaan terserempak ketiga-tiga mangsa dan cuba menasihati mereka supaya kembali ke tebing, namun mereka enggan mendengar nasihat sebelum memaklumkannya kepada keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yang bergegas ke tebing sungai panik apabila mendapati ketiga-tiga kanak-kanak itu gagal ditemui, malah sampan berkenaan juga gagal dikesan.
Sehingga jam 7 malam tadi usaha mencari dan menyelamat ketiga-tiga mangsa dilakukan anggota bomba dan penyelamat Gerik, namun gagal menjejaki mangsa.

 

 

Usaha mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan berikutan keadaan arus sungai yang deras.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, ahli keluarga melaporkan kehilangan mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

 

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan jam 3 petang oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat Gerik.
“Saya difahamkan, ketiga-tiga mangsa menaiki sampan milik ibu saudara seorang mangsa yang ditambat di tebing Sungai Kenderong,” katanya.