Jeritan ceria dapat kereta – Metro


Jeritan ceria dapat kereta
Oleh Iskandar Shah Mohamed
am@hmetro.com.my

MELAKA: “Saya menang kereta!“ jerit pelajar perempuan tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai yang membawa pulang Perodua Viva Elite selepas memenangi cabutan bertuah mega sempena majlis perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan program Jelajah Janji Ditepati di sini, kelmarin.

Penantian Nur Amalina Izzati Ali, 17, selama lebih lapan jam sejak awal pagi, berbaloi apabila terpilih antara ribuan pengunjung program berkenaan. Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, dia datang ke program itu bersama keluarga untuk memperoleh maklumat berguna dan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang hadir melakukan perasmian.
“Namun saya yang turut menyertai cabutan bertuah amat terkejut apabila diumumkan sebagai pengunjung yang memenangi cabutan mega berkenaan.

“Apabila diundi bersama 10 pemenang lain, hati ini berdegup kencang apabila melihat kertas yang dibuka menunjukkan bahawa saya memenangi kereta Viva terbabit,” katanya, petang kelmarin.
Penyampaian hadiah berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.
Cabutan bertuah itu turut menawarkan 10 motosikal, tiket penerbangan ke destinasi terpilih, telefon bimbit, iPad, barangan elektrik dan hamper yang semuanya bernilai RM200,000.

Kata Nur Amalina yang menetap di Krubong, kemenangan itu menjadi pemangkin semangat untuk berusaha lebih gigih menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
“Saya akan ambil lesen memandu selepas ini dan akan menggunakan kereta apabila melanjutkan pelajaran nanti,” katanya. Bagi pemenang motosikal Kriss Modenas, Noraini Matsam, 34, detik itu dianggap paling manis kerana berpeluang menghadiahkan motosikal berkenaan kepada suaminya, Affendi Mohamad, 37, yang menyambut ulang tahun kelahirannya, kelmarin. “Kami tidak menyangka akan memenangi cabutan bertuah berkenaan,” kata suri rumah dari Masjid Tanah itu.

Tinjauan mendapati ribuan pengunjung yang membanjiri program itu setia menunggu pengumuman cabutan bertuah berkenaan, selain meninjau puluhan gerai.

Guru didera suami rayu ditukarkan – Bernama


Guru didera suami rayu ditukarkan

2012/01/16

ALOR SETAR: Seorang guru sandaran yang mendakwa tidak tahan didera hampir setahun oleh suaminya, seorang penagih dadah, nekad melarikan diri dan memohon Kementerian Pelajaran meluluskan pertukarannya atas faktor keselamatan.

Siti Muniroh Mohd Shukri, 31, berkata selepas melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah, bersama anak lelakinya yang berusia sembilan bulan pada 22 Julai tahun lalu, gajinya ditahan sehingga kini.

“Suami saya, Aldin Osdam, 31, yang terjebak dengan najis dadah pada 2010, sangat cemburu, mengurung dan memukul saya saban hari. Dia juga meminjam dengan Ah Long, mohon kad kredit dan beli kereta guna nama saya.

“Apabila tidak jelaskan hutang, saya jadi mangsa, diterajang dan disepak hampir setahun,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah bapanya di sini hari ini.

Siti Muniroh nekad melarikan selepas berbincang dengan Guru Besar Sekolah Rendah St Dominic di Lahat Datu, tempat beliau bertugas, manakala ibu mertuanya membelikan tiket penerbangan ke Alor Setar.

Sebelum melarikan diri, beliau membuat laporan polis di Lahat Datu sebanyak dua kali selain ke Mahkamah Syariah untuk menuntut cerai.

Siti Muniroh berkata, Aldin yang dipenjara tiga bulan di Lahat Datu kerana kesalahan dadah akan dibebaskan 18 Januari ini dan sudah menghubunginya tiga hari lalu serta mengugut hendak ‘menyembelih’ beliau jika terjumpa di Sabah.
Beliau berkata, laporan mengenai ugutan itu telah dibuat di Balai Polis Alor Setar.

“Atas faktor keselamatan diri untuk kembali bertugas di Lahat Datu, saya memohon pihak berkenaan di Kementerian atau Jabatan Pelajaran menimbang kes saya dengan wajar.

“Sahabat bapa saya, Redzuan Ishak sudah tiga kali membawa saya dan bapa ke Kementerian Pelajaran di Putrajaya menemui pegawai bahagian pertukaran” katanya.

Siti Muniroh juga membuat permohonan secara dalam talian kepada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Sabah selain bertemu pegawai Jabatan Pendidikan Kedah serta kaunselor.

Sehubungan itu, beliau merayu masalah tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin kerana statusnya sebagai guru sandaran terlatih dan belum disahkan jawatan. – BERNAMA