Selepas 22 tahun, guru Kemas johan qariah tilawah al-Quran Kelantan – Utusan


Selepas 22 tahun, guru Kemas johan qariah tilawah al-Quran Kelantan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

RADZIAH Ibrahim (dua dari kiri) muncul johan qariah Tilawah Al-Quran Negeri Kelantan Kali ke-56 di Kota Bharu malam tadi. Beliau adalah johan qariah yang pertama selepas 22 tahun peserta wanita dilarang oleh kerajaan Pas Kelantan daripada menyertai tilawah di negeri itu. – UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 5 April – Seorang guru al-Quran Kemas, Radziah Ibrahim, mencipta sejarah menjadi qariah pertama dari Kelantan dalam tempoh 22 tahun ini, dan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan Mei ini selepas dinobatkan sebagai johan qariah Tilawah al-Quran Negeri Kelantan Ke-56 malam tadi.

Sebelum tempoh itu, kerajaan Pas Kelantan melarang wanita menyertai tilawah al-Quran di negeri itu.

Radziah, 50, yang mewakili daerah Bachok menduduki tempat pertama dengan markah 76.65 peratus, manakala naib johan pula disandang Munirah Kasim, 46, dari Tanah Merah dengan markah 76.32 peratus dan tempat ketiga Che Minah Awang, 59, dari Kota Bharu mendapat markah 75.49 peratus.

Sementara johan qari pula disandang Zulkifli Haron, 54, dari Pasir Mas dengan markah 80.49 peratus; naib johan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri, 29, dari Pasir Puteh dengan markah 79.83 peratus dan tempat ketiga Mohd. Nazri Daud, 33, Tumpat dengan 78.99 peratus.

Johan kedua-dua kategori membawa pulang sebuah motosikal Modenas tajaan Mydin Holdings, wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing memperoleh wang tunai RM4,000 dan RM3,000, piala iringan serta sijil penyertaan.

Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada majlis di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini malam ini. Turut berangkat adalah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Seramai 21 peserta iaitu 11 qariah dan 10 qari menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-56 yang berlangsung sejak 1 April lalu.

Radziah ketika ditemui berkata, beliau sangat bersyukur kerana sudah menanti begitu lama peluang untuk mewakili negeri sendiri di peringkat kebangsaan sejak berkecimpung dalam bidang ini dari usia muda lagi.

Beliau yang pernah ‘dilamar’ mewakili negeri Pahang pada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan tahun 2003 berkata, inilah masanya untuk qariah Kelantan bangkit kembali setelah peluang mereka ditutup begitu lama.

“Saya pernah berpeluang bertanding mewakili daerah dua kali di peringkat negeri sebelum larangan kepada qariah, selepas itu keadaan menjadi suram dan akibatnya qariah tidak lagi bersemangat untuk terus menumpukan belajar taranum,” katanya.

Johan qari, Zulkifli pula berkata, beliau gembira kerana akhirnya qariah dibenarkan untuk bertanding semula dan mendapat peluang yang sama dengan lelaki dan percaya perkembangan ini sudah tentu akan memberi motivasi kepada pelapis baru terutama di peringkat sekolah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130405/dn_02/Selepas-22-tahun-guru-Kemas-johan-qariah-tilawah-al-Quran-Kelantan#ixzz2Pa2Dq5gH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru agama johan tilawah – SInar Harian


Guru agama johan tilawah

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Mac 2013
Guru agama johan tilawah
Abdul Razak (dua kanan) selepas menerima hadiah dan piala pusingan daripada A Rahman (kanan).

GONG KEDAK – Peserta Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Besut 2013, Abdul Razak Mat Ripin dari Pasir Akar, Hulu Besut muncul sebagai johan qari pertandingan itu menewaskan tiga peserta lain.

Kemenangan itu menjadikan guru agama Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih itu menang sebanyak empat kali  berturut-turut peringkat daerah Besut bermula dari tahun 2010.

Beliau yang mengumpulkan markah sebanyak 86.5 menewaskan Mohd Shamsuddin Yaacob dari Bukit Payong yang berada di tempat kedua, diikuti Che Omar Che Hamid (Kampung Lay Out Tok Has), dan Megat Ismashamri Megat Imara (dari Kampung IKM, Alor Lintang).

Abdul Razak juga pernah merangkul gelaran Naib Johan dalam pertandingan Tilawah Al Quran Peringkat Negeri pada 2011.

Sementara itu, kategori qariah pula dimenangi Faridah Omar dari Kampung Alor Selinsing dengan mata sebanyak 82.5 diikuti Maziah Awang (Kampung
Raja), Hamdiah Ismail (Kampung Gong Nering, Jertih) dan Latifah Ma’sor dari Rumah Awam Pelagat 3, Seberang Jertih.

Hadiah wang tunai dan piala  epada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kuala Besut, A Rahman Mokhtar dalam pertandingan yang berlangsung di Masjid Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK).

Hadir sama semua pemimpin daerah, Pegawai Daera Besut, A Rahim Jusoh dan Komandan PUGK, Kolonel Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Masyarakat Perlu Syukur Nikmat Pendidikan Yang Disediakan Kerajaan – Bernama


Masyarakat Perlu Syukur Nikmat Pendidikan Yang Disediakan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membina banyak kemudahan pendidikan bagi menjamin masa depan kanak-kanak di negara ini termasuk membina sebanyak 2,500 buah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) baharu dari tahun 2010 hingga tahun ini. Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas)Hassan Manaf berkata ia bagi mencapai agenda pendidikan rakyat untuk membolehkanmereka mengakses pendidikan seawal usia dua tahun. “Mereka ditempatkan di Pusat Asuhan Kanak (Taska), (manakala) untuk yangberumur empat hingga enam tahun ditempatkan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak(Tabika),” katanya selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika KemasWilayah Persekutuan 2012. Acara tersebut adalah kerjasama antara Kemas dan Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) melibatkan kira-kira 270 kanak-kanak dari 13 kawasan Parlimen di sekitarWilayah Persekutuan. Hassan berkata terdapat lebih 10,000 Tabika di seluruh negara untukkemudahan orang ramai menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak pada usia muda. Justeru, katanya, masyarakat seharusnya bersyukur kerana menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan itu. Mengenai acara itu, Pengarah Kemas Wilayah Persekutuan Khairuddin Mohd Nasirberkata kerjasama antara Kemas dan DBP dapat memberi faedah kepada kanak-kanakdaripada segi kaedah teknik penceritaan. “Saya mahu kerjasama lebih erat antara kedua-dua belah pihak dibentuk agarpihak DBP dapat menyalurkan kepakaran mereka dalam aspek pembacaan kepadakanak-kanak. “Bakat kanak-kanak dapat digilap dari usia yang muda dan penonjolan inidapat memberi peluang kepada mereka untuk bertanding ke peringkat kebangsaanpada November nanti di Kuala Terengganu,” katanya. Antara acara yang dipertandingkan bagi menggilap bakat semulajadikanak-kanak tersebut ialah bercerita, pidato, tilawah al-Quran, tarian, nasyid,kompang berformasi dan reka cipta. BERNAMA

Dua beradik tunjuk bakat – Sinar Harian


Dua beradik tunjuk bakat
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Jun 2012

Ihsan (tengah) bersama anak-anaknya yang menjadi juara peringkat kebangsaan dan TM.
KOTA BHARU- Semangat yang diberikan ibu bapa dalam mengharapkan anak-anaknya berjaya semasa penyertaan tilawah al-Quran membolehkan kedua-dua mereka menjadi juara.

Ibu berkenaan, Ihsan Haydar, 34 berkata, dia dan suaminya sentiasa memberikan sokongan kepada anak lelaki keduanya, Thaqif Adib Mohd Azahar, 12, sehingga bergelar juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2012 kategori kanak-kanak.

Dia berkata, suaminya, Mohd Azahar Mustafa, 42 seorang kakitangan Telekom Malaysia (TM) sentiasa memastikan anak-anaknya menerima pengajian al-Quran sejak usia kecil.

“Thaqif boleh membaca al- Quran sejak usia enam tahun, cuma kami menghantarnya belajar tarannum di Akademi Al-Quran Ahmad Pergau, Pengkalan Chepa sejak usia sembilan tahun. Anak sulung, Thaqifah Auni, 15, kemudian dipilih menyertai tilawah al- Quran anjuran TM dan berjaya menjadi juara tahun ini,” katanya.

Ihsan berkata, setiap kali selepas Maghrib, suaminya mengajar anak-anak mengenai bacaan al-Quran dan cara itu membolehkan mereka mudah membacanya.

Menurutnya, kejayaan anak-anak adalah bergantung kepada peranan yang dimainkan ibu bapa mereka, mengikut arah mana kecenderungan anak-anak.

“Sejak tabika saya sudah nampak anak-anak minat dalam belajar al-Quran, malah kerana mengamalkan pemahaman al-Quran sepanjang masa, mereka juga berjaya dalam akademik di sekolah masing-masing,” katanya.

Dia mengharapkan bakat anak-anak dalam penyertaan tilawah tidak berakhir ketika usia muda, sebaliknya ia diteruskan sehingga dewasa dan menjadi contoh kepada generasi muda
sekarang.