Kerajaan pertimbang BR1M sesi sekolah 2014
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan Dewan Rakyat berhubung bajet akan datang.
Daftar awal
“Pemberian BR1M sebelum sesi persekolahan tahun depan dapat meringankan bebanan rakyat terutama keluarga yang mempunyai anak ramai. Bagi tujuan itu, pendaftaran awal perlu dilakukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Terminal Bas Ekspres Rawang, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Gabungan Persatuan Teksi dan Bas Ekspres, Tajudin Daud dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, Soong Beng Khoon.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan meneruskan pemberian BR1M sebagai inisiatif tahunan.
Dalam perkembangan lain, Siang Chai berkata, pelaburan asing dan domestik di negara ini tidak terjejas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah, bulan lalu.
“Setakat ini, ekonomi negara tidak terjejas kerana insiden itu hanya membabitkan kawasan kecil dan kini, keadaan semakin baik,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, negara kini mempunyai rizab antarabangsa RM430 bilion sehingga 15 Mac lalu.