Tindakan disiplin diambil – Utusan


Tindakan disiplin diambil

ALOR SETAR 9 Sept. – Tindakan disiplin terhadap seorang pelajar senior yang terbabit dalam kes membelasah seorang pelajar di asrama sekolah agama di Jitra pada April lalu, akan ditentukan selepas siasatan selesai.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, siasatan tersebut akan melibatkan pihak sekolah, mangsa dan polis.

Kata Mansor, pihaknya akan memanggil pihak sekolah termasuk pengurusan asrama, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta keluarga mangsa untuk mendapat maklumat terperinci berhubung kes tersebut.

“Kita akan jalankan siasatan terperinci. Kes ini melibatkan jenayah dan polis juga sedang siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang klip video aksi seorang pelajar tingkatan tiga sekolah agama terbabit yang membelasah pelajar tingkatan dua di asrama sekolah itu yang dirakam melalui telefon bimbit rakannya dipercayai pada 2 April lalu.

Klip video tersebut didedahkan oleh bapa mangsa semalam yang mendakwa anaknya itu kini mengalami trauma akibat insiden tersebut.

Kata Mansor, siasatan juga akan dijalankan membabitkan klip video tersebut dan bagaimana perkara tersebut gagal dilaporkan oleh pihak sekolah walaupun selepas beberapa bulan ia berlaku.

“Kita juga akan teliti klip video ini dan mengambil maklumat daripada pihak asrama,” katanya.