Tindakan pantas bapa selamatkan anak gadis diculik – Bernama


Tindakan pantas bapa selamatkan anak gadis diculik

2011/08/13

BESUT: Tindakan pantas seorang bapa melaporkan kepada polis kejadian anak gadisnya dilarikan oleh tiga pemuda yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berjaya menyelamatkan anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria, berkata dalam kejadian 9.15 malam tadi, bapa berumur 36 tahun dan bekerja sebagai buruh itu terdengar jeritan anak gadisnya yang ketika itu sedang membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran rumah mereka di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut.

“Apabila keluar dari rumah, dia ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menarik anak gadis berumur 15 tahun itu ke dalam sebuah Perodua Kancil berwarna perak yang juga dinaiki dua lelaki lain.

“Tergamam dengan kejadian itu, si bapa tidak sempat mengejar kereta itu kerana ia berlaku terlalu pantas dan segera membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut sejurus kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bertindak atas laporan, satu operasi dilancarkan dengan bantuan orang ramai dan akhirnya polis berjaya menahan dua lelaki kira-kira 2.30 pagi ini hasil serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Manok, Pasir Putih di Kelantan iaitu kira-kira 20 kilometer daripada tempat mangsa diculik.

Kamaruddin berkata, gadis yang menjadi mangsa culik itu ditemui di rumah berkenaan dalam keadaan ketakutan.

“Berdasarkan pemeriksaan doktor yang dibuat di Hospital Daerah Besut pagi ini mendapati gadis berkenaan tidak diapa-apakan oleh suspek,” katanya.
Polis kini menahan reman kedua-dua lelaki yang berumur 25 dan 17 yang berasal dari Kuala Besut itu untuk membantu sisatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Polis juga sedang menjejaki seorang lagi suspek dalam kejadian itu yang dipercayai melarikan diri semasa serbuan dilakukan. – BERNAMA