Tinggal kakak seorang – Metro


Tinggal kakak seorang
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Selepas puas menelefon, akhirnya saya dapat bercakap dengan Karsini dua hari lalu, namun dia tidak berhenti menghamburkan kata-kata kesat kepada saya dan mengatakan saya suami yang tidak bertanggungjawab.

“Saya terlalu bimbang dengan keselamatan anak sulung kami, Siti Norzana, 12, yang kini bersama Karsini. Saya risau dia diperlakukan dengan kejam oleh saudara mara Karsini,” kata Nordi Adi, 57, bapa kepada empat beradik yang didakwa ‘disimpan’ ibu tiri mereka, Karsini Kaslam, 25, di Lampung, Indonesia.
Menurut Nordi, dia merayu supaya proses membawa pulang Norzana dipercepatkan ekoran bimbang kejadian buruk akan menimpa anaknya itu.

“Saya kemudiannya memarahi Karsini selain bertanya kepadanya berapa bayaran yang diterimanya sekiranya dia mahu menjual Norzana.
“Saya sendiri sebenarnya tidak tahu sama ada Karsini mahu menjual Norzana atau sebaliknya. Saya hanya bimbangkan keadaan Norzana hinggakan sering terfikir perkara yang bukan-bukan,” katanya, di sini, semalam.
Menurut Nordi, dia tidak mahu Norzana dicederakan dan berharap kanak-kanak berkenaan dapat pulang ke pangkuannya serta hidup bersama tiga adiknya yang lain di sini.

Nordi yang menetap di Taman Kempas, Kempas dengan tiga anaknya itu berkata, dia yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan sudah menghabiskan kira-kira RM92,000 untuk diserahkan kepada Karsini.
“Sekiranya Norzana kembali ke pangkuan saya, saya tidak sekali-kali membenarkannya diambil semula.

“Saya hanya akan benarkan Karsini datang melawat anak, namun tidak akan termakan rayuannya jika dia mahukan kembali anak untuk dipelihara,” katanya yang menambah Biro Aduan Komuniti Umno akan ke Lampung dalam usaha untuk mendapatkan Norzana dalam masa terdekat.
Sementara itu, tiga adik Norzana, Nurmasyita Amiera, 8, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Futri, 11, juga mempunyai harapan sama seperti bapa mereka.
Malah Safiza berkata, dia sudah hilang rasa sayang terhadap ibu tirinya selepas menderita selain kerap dimarahi dan dipukul jika melakukan kesalahan walaupun sedikit.
Empat beradik berkenaan turut didakwa dipaksa bekerja sepanjang masa berada di Lampung.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan keempat-empat anak Nordi dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut lelaki berkenaan.
Namun, hasil bantuan Biro Aduan Komuniti Umno, tiga daripadanya dapat diselamatkan dan tiba di tanah air pada 30 Jun lalu.
Penderitaan mereka bermula apabila Nordi mengahwini Karsini sebagai isteri kedua selepas isteri pertama menghilangkan diri.
Nordi membuat keputusan berhijrah bersama anaknya ke Lampung bagi memulakan kehidupan bersama isteri baru serta keluarga mentuanya, namun kecewa apabila ditipu sebaik tiba di sana.
Nordi dipaksa memindahkan semua wang simpanannya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun milik wanita terbabit berjumlah RM77,000.
Nordi dan empat anaknya kemudiannya ditinggalkan sehelai sepinggang di rumah ibu Karsini sebelum lelaki berkenaan kembali ke Malaysia bagi mengumpul wang untuk membawa pulang keempat-empat anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06