Tingkat pengetahuan siasatan forensik kes dera kanak-kanak – Bernama


Tingkat pengetahuan siasatan forensik kes dera kanak-kanak

22/08/2011 4:04pm

 

PUTRAJAYA 22 Ogos — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pihak pendakwa perlu diberi pendedahan meluas mengenai siasatan forensik kes penderaan kanak-kanak serta teknologi terkini dalam bidang itu.

Beliau berkata, pada asasnya pihak pendakwaan adalah pelindung kepada kanak-kanak terbabit memandangkan segala bukti akan dibentang oleh mereka di mahkamah.

“Sains forensik merupakan bidang yang signifikan terutama membabitkan siasatan kes jenayah dan juga perbicaraan kes seumpama untuk menentukan punca kematian.

“Siasatan forensik mengenai penderaan kanak-kanak memerlukan kerjasama pelbagai golongan profesional termasuk penguatkuasa undang-undang, pendakwaan, pasukan forensik dan pakar pediatrik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Antarabangsa Perundangan Perubatan 2011: Dera dan Abai Kanak-Kanak, di sini hari ini.

Abdul Gani berkata pasukan pendakwaan juga perlu mempelajari teknik menangani kanak-kanak dalam mahkamah bagi memastikan hak golongan itu terjamin.

Katanya kebanyakan pihak pendakwaan di negara ini beranggapan kes penderaan kanak-kanak ditangani sama seperti kes lain.

“Ini tanggapan yang salah dan saya harap kita dapat atasi isu ini,” katanya. — Bernama