Remaja langgar polis trafik tukar pengakuan tidak bersalah – Bernama


Remaja langgar polis trafik tukar pengakuan tidak bersalah

 

04/09/2013 9:03pm

 

BESUT – Seorang pelajar Tingkatan Enam yang didakwa memandu secara melulu dan membahayakan hingga menyebabkan seorang pegawai polis trafik putus kaki kanan, pada Julai lepas, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Burhanuddin Mohd., 19, dari Jalan Kubur, Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah berkenaan pada 5 Ogos lepas.

Bagaimanapun, apabila dihadapkan semula ke mahkamah untuk mendengar hukuman, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Mohd. Burhanuddin didakwa melanggar Insp. Farid Hasni Mamat, 33, yang menunggang sebuah motosikal polis jenis Honda VTR800, ketika mangsa menjalankan tugas semasa kempen pilihan raya kecil Deqwan Undangan Negeri Kuala Besut. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz2dvfXdhli
Hakcipta terpelihara

Cikgu Pi Remli, Saloma – Metro


Cikgu Pi Remli, Saloma

 49  0 Google +0  0  0

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Memiliki nama mirip seniman dan seniwati agung Tan Sri P Ramlee serta Puan Sri Saloma bukan saja membuatkan empunya diri menjadi perhatian, tetapi pada masa sama memberi kelebihan dalam kerjaya diceburi.

Bagi guru di daerah ini, Pi Remli Che Ishak, 59 dan Siti Saloma Othman, 52, yang diraikan sempena Sambutan Hari Guru di seluruh negara semalam, mereka berasa bertuah kerana nama dimiliki menarik perhatian dan lebih mudah diingati pelajar.
Dua anak jati Bachok itu masing-masing mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nipah dan SMK Bachok yang jaraknya hanya 1.5 kilometer antara satu sama lain.

 

Pi Remli yang juga Pengetua SMK Sri Nipah berkata, sepupu ibunya yang memberikan namanya kerana amat meminati karya seniman agung itu.
“Pada mulanya malu juga, tambahan pula ketika itu Allahyarham (P Ramlee) masih hidup dan banyak karyanya dihasilkan, namun lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri,” katanya yang berasal dari Kampung Cabang Tiga, Melawi, dekat sini dan menjadi pendidik sejak 25 tahun lalu.
Menurutnya, dia bangga apabila keunikan namanya menarik perhatian pelajar dan memudahkannya menjalankan aktiviti di sekolah seperti program keusahawanan.

 

“Saya tidak kekok berhadapan pelajar kerana kebanyakan mereka anak bekas pelajar saya juga, malah nama saya sinonim dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya. yang menjadi guru selepas tamat pengajian Diploma Pendidikan di Universiti Malaya pada 1980.
Pi Remli berkahwin dengan Rokiah Che Ishak, 55, juga seorang guru dikurniakan tujuh anak lelaki berusia antara 28 hingga 20 tahun.

 

Bagi Siti Saloma yang mengajar mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan enam sejak 27 tahun lalu, dia pada mulanya mengakui malu dengan nama yang diberikan, namun kini ia membawa tuah dalam hidupnya khususnya dalam kerjayanya sebagai guru.
Katanya, nama Siti Saloma diberikan ayahnya Othman Hamid, 76, yang juga pesara guru kerana meminati seniwati itu.
“Nama ini menyebabkan saya lebih mudah diingati pelajar, selain mendapat banyak pertanyaan daripada rakan dan pelajar mengenai sejarah nama saya, malah pernah ada pelajar secara spontan bertanya adakah saya pandai menyanyi,” katanya yang memegang jawatan Guru Kanan Sains Sosial SMK Bachok.
Siti Saloma yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya berkata, kerana keunikan namanya dia menjadi lebih popular dalam kalangan pelajar malah dinobatkan Guru Paling Penyayang yang dipilih melalui undian pelajar sejak 1990 hingga kini.
“Sejarah awal saya menjadi guru juga ada kaitan dengan cabaran guru ketika saya menuntut di tingkatan lima di sekolah ini. “Guru itu berkata rakannya guru dan namanya Saloma, justeru dia mahu melihat adakah saya mampu bergelar guru seperti rakannya itu.
“Alhamdulillah, saya kini menjadi guru,” katanya yang berasal dari Kampung Tok Burung, dekat sini, Siti Saloma berkahwin dengan Ahmad Fikri Shafii, 52, yang turut mengajar di SMK Sri Nipah dan memiliki lapan anak berusia antara 27 hingga 10 tahun. Menurut Siti Saloma, lima anaknya memasang impian untuk bergelar pendidik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

SEMAKAN TAWARAN DAN RAYUAN KE TINGKATAN ENAM SESI 2013/2014


SEMAKAN TAWARAN DAN RAYUAN KE TINGKATAN ENAM SESI 2013/2014

23 April 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran dan Rayuan Ke Tingkatan Enam Sesi 2013/2014 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 24 April 2013 (Rabu).

Sekian, terima kasih

SEMAKAN TAWARAN KEMASUKAN MURID KE TINGKATAN ENAM SESI 2013/2014


SEMAKAN TAWARAN KEMASUKAN MURID KE TINGKATAN ENAM SESI 2013/2014

12 April 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran Kemasukan Murid ke Tingkatan Enam sesi 2013/2014 akan dibuka bermula 24 April 2013 (Rabu). Semakan boleh dibuat melalui Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Bank Rakyat hulur sumbangan untuk asrama anak yatim – Bernama


Bank Rakyat hulur sumbangan untuk asrama anak yatim

16 Oktober 2012

KANGAR – Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis hari ini menerima sumbangan pelbagai peralatan elektrik bernilai RM10,000 untuk keperluan asrama anak yatim Kompleks Dr Siti Hasmah Jejawi dekat sini.

Sumbangan disampaikan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kangar, Abdullah Bakar kepada Yang Dipertua pertubuhan berkenaan, Datin Seri Asiah Asmuni.

Asiah berkata pihak bank memperuntukkan zakat perniagaan sebanyak RM10,000 kepada pertubuhan itu dan pihaknya telah meminta bank membelikan peralatan dan keperluan itu menggunakan wang berkenaan untuk keperluan asrama kendalian pertubuhan itu.

Antara peralatan yang dibeli termasuk sebuah peti sejuk, peti simpanan ikan, daging dan sayur-sayuran, dua buah periuk nasi, sebuah ketuhar dan 100 biji gelas kaca.

Semasa berucap di majlis tersebut, Asiah yang juga isteri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata pihaknya sentiasa mengharapkan sokongan dan sumbangan pelbagai pihak bagi menggerakkan asrama pertubuhan itu yang menjadi antara komponen utama Kompleks Dr Siti Hasmah di sini.

Katanya setiap tahun pertubuhan itu membelanjakan kira-kira RM380,000 termasuk makanan penghuni asrama, gaji kakitangan, wang saku persekolahan dan kos pengangkutan penghuni antara asrama dan sekolah.

Beliau berkata setakat ini, ia menempatkan 55 penghuni lelaki dan perempuan yang belajar antara tahun empat dan tingkatan enam di sekolah-sekolah berhampiran. – Bernama

Pelajar perempuan dibelasah rakan sekelas – Sinar Harian


Pelajar perempuan dibelasah rakan sekelas

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 September 2012

KUALA LIPIS – Seorang pelajar lelaki tingkatan enam, di sini, ditahan selepas terbabit dalam kes pukul dan samun rakan sekelasnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang semalam, mangsa, pelajar perempuan berusia 18 tahun dipukul dengan helmet di kepala, selain ditendang berkali-kali oleh suspek.

Menurutnya, suspek turut bertindak melarikan rantai leher mangsa yang bernilai RM1,000 selepas membelasah mangsa.

“Kes itu dipercayai gara-gara rakan wanita suspek gagal menjelaskan hutang yang tidak diketahui jumlahnya,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, dalam kejadian di Rumah Rehat Tanjung Lipis itu, mangsa ditemani tiga rakannya bertemu suspek dipercayai bagi menyelesaikan kes hutang berkenaan.

“Tiba di tempat berkenaan, suspek terus melenting dan bertindak memukul mangsa. Mangsa yang cedera di kepala dan muka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Abdul Razak berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal, bagaimanapun berjaya ditahan polis pada jam 8 malam selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 6.10 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu kes jenayah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang akan dibicarakan Oktober ini.

“Suspek kini ditahan reman di lokap Balai Polis Kuala Lipis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pelajar ke tingkatan 6, matrikulasi dan IPT dikecualikan sertai PLKN – Bernama


Pelajar ke tingkatan 6, matrikulasi dan IPT dikecualikan sertai PLKN

2012/05/01

KUALA LUMPUR: Pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, matrikulasi, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS dibenarkan menangguh untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang

Kechil, berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran, dengan pelatih dibenarkan menyertai PLKN selepas tamat pengajian.

Persetujuan juga dicapai untuk menetapkan had umur maksimum 35 tahun untuk
peserta menyertai program itu, katanya kepada pemberita selepas melancarkan
pergerakan pelatih-pelatih PLKN Kumpulan 2 Siri 9 di Padang Bangunan Zetro,
Wangsa Maju di sini, hari ini.

Program 2 Siri 9/2012 PLKN yang bermula hari ini melibatkan pergerakan 53,348 pelatih di seluruh negara dengan menaiki 906 bas, 46 penerbangan dan
sembilan feri untuk tempoh tiga hari ini.

Pergerakan hari ini membabitkan seramai 19,300 orang dengan menaiki 324 bas, 29 penerbangan dan sebuah feri.

“Penangguhan ini bagi membantu ibu bapa supaya tidak perlu mengambil anak
mereka yang menyertai latihan ini untuk melanjutkan pelajaran dan akan
menghantar anak mereka untuk menyertai latihan ini kembali setelah tamat
pengajian,” katanya.

Abdul Hadi berkata, selain itu, calon yang sedang menunggu keputusan
peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dijangka diumumkan
pada September depan, dibenarkan untuk memohon menyertai PLKN.

Beliau berkata, permohonan untuk menyertai PLKN akan dibuka seawal-awalnya hujung minggu.

Abdul Hadi juga berkata, JLKN juga mengadakan kaji selidik mengenai
status indeks jisim tubuh (BMI) 32,032 orang pelatih PLKN kumpulan satu awal
tahun ini bagi mengenal pasti kesesuaian aktiviti fizikal atau keperluan mereka.

Katanya selepas 10 minggu menyertai PLKN, seramai 397 daripada 2,502
peserta yang di bawah kategori obesiti dan 207 orang daripada 4,003 peserta di
bawah kategori gemuk berjaya menurun berat badan.

Kesemua 504 peserta itu mendapat berat badan yang ideal setelah menamatkan
latihan mereka, katanya.

“Ini adalah kali pertama program itu dijalankan, dan berharap selepas mereka
menamatkan latihan ini, mereka akan terus mengekalkan berat badan yang ideal, ”
katanya. – BERNAMA

Mayat pelajar lemas dijumpai selepas 17 hari – Utusan


Mayat pelajar lemas dijumpai selepas 17 hari

KUCHING 21 Jan. – Mayat seorang pelajar perempuan tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kho Ying Qi, 19, yang lemas dalam kejadian pada 5 Januari lalu ditemui terdampar di tebing Sungai Gobielt, kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian di sini hari ini.

Mayat mangsa ditemui oleh seorang penduduk tempatan yang kebetulan lalu di kawasan tebing berkenaan untuk mengutip hasil laut pada pukul 9.30 pagi ini.

Sepasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan mengenai penemuan tersebut dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa Ying Qi yang turut berada di HUS telah mengenal pasti identiti mayat tersebut ialah anaknya yang lemas dalam kejadian di Jalan Rock pada 17 hari lalu berdasarkan kunci ditemui pada badan mangsa.

Dalam kejadian 5 Januari lalu, Ying Qi terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Rock dan dia cuba diselamatkan oleh Herman Sihas, 27, bagaimanapun kedua-dua mereka hilang dihanyutkan arus deras longkang berkenaan.

Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, mayat Herman ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian iaitu dekat Sungai Maong Ulu, manakala mayat Ying Qi masih hilang sebelum ditemui pada pagi ini.