Pelajar Tingkatan Satu parah terjun dari bangunan sekolah – Bernama


Pelajar Tingkatan Satu parah terjun dari bangunan sekolah

2013/09/03 – 18:24:54 PMCetakEmel Kawan
KUANTAN: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu Sekolah Menengah Tok Sira di sini parah selepas terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Aziz Ahmad, berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian jam 12.45 tengah hari.

“Mangsa yang patah di kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pelajar terbabit cuba untuk membunuh diri berdasarkan nota yang ditulis di tapak tangan kirinya.

Bagaimanpun, katanya, polis masih menyiasat motif kejadian.
“Pelajar terbabit dalam keadaan stabil…polis akan mengambil keterangan selepas dia sedar nanti,” katanya. – BERNAMA

PERMOHONAN SECARA ONLINE KEMASUKAN MURID KE TINGKATAN SATU (1) DAN TINGKATAN EMPAT (4) DI SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP), KPM


PERMOHONAN SECARA ONLINE KEMASUKAN MURID KE TINGKATAN SATU (1) DAN TINGKATAN EMPAT (4) DI SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP), KPM

27 August 2013

 

Permohonan secara online Kemasukan Murid ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan Empat (4) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), KPM bagi tahun 2014 akan dibuka pada 1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. Sila layari laman web KPM di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

Pelajar pulangkan wang RM37,500 terima sijil – Utusan


Pelajar pulangkan wang RM37,500 terima sijil

MOHD. Taat Kasran melihat sijil penghargaan yang diterima Amir Azizan Hashim berikutan kejujuran pelajar terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Esa, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 27 Feb. – Memegang pesan ibu supaya jangan mengambil barangan yang dijumpai, seorang pelajar tingkatan satu sanggup mengayuh basikal sejauh 200 meter untuk menyerahkan seutas beg tangan berisi 15,000 dolar Singapura atau RM37,500 yang terjatuh daripada sebuah kereta di Taman Soga di sini awal Januari lalu.

Amir Azizan Hashim, 13, menemukan beg tangan berisi duit dan barangan berharga milik warga Singapura itu ketika dia berbasikal ke sebuah pasar raya bagi membeli surat khabar.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan ke pasar raya itu pada pukul 10 pagi hari kejadian, dia ternampak seutas beg tangan di atas sebuah kereta yang sedang bergerak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130228/dn_14/Pelajar-pulangkan-wang-RM37500-terima-sijil#ixzz2MAgrsAhk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mahkamah tambah empat lagi sebatan – Metro


Mahkamah tambah empat lagi sebatan

 1  0 Google +0  0  0

Oleh Sarah Zulkifli

Shah Alam: Seorang mekanik terpaksa akur selepas Mahkamah Tinggi semalam, menambah hukuman penjara dan sebatan terhadapnya yang didapati bersalah merogol seorang pelajar tingkatan satu yang kononnya mahu dihantar ke sekolah, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan Boh Chun Peng, 23, dipenjara 10 tahun dan enam kali sebatan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun lima bulan di sebuah rumah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, antara jam 12.20 tengah hari dan 6.30 petang, 18 Januari 2010.

 

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Pada 29 Oktober 2011, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mensabitkan perayu bersalah atas tuduhan itu.
Ghazali dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira kekerapan kes rogol yang berlaku dan berharap hukuman diberikan dapat memberi pengajaran kepada orang ramai.

 

“Dalam kes ini, perayu mengambil kesempatan terhadap mangsa yang ingin ke sekolah pada hari kejadian,” katanya.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahkamahtambahempatlagisebatan/Article/index_html#sthash.LACfVJau.dpuf

Belasah dalam tandas sekolah – Metro


Belasah dalam tandas sekolah

 0  0 Google +0  0  0

Dipukul, ditumbuk dan ditendang. Itulah ‘hadiah’ yang diterima seorang pelajar sebuah sekolah menengah, hanya kerana menegur jam tangan rakannya itu terkena najis dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Pulau Indah, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu dipukul lima rakan sekolahnya yang tidak berpuas hati dengan teguran mangsa yang dianggap sengaja mempersendakannya.
Akibat digusti dalam tandas sekolah berkenaan, mangsa cedera termasuk bengkak di beberapa badan termasuk muka, mulut dan hidung.

 

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah, 47, berkata, anaknya dipukul lima pelajar selepas ditarik ke dalam tandas.
Dia berkata, anaknya tidak dapat melawan kerana jumlah pelajar yang memukulnya ramai dan bimbang dicederakan lebih teruk lagi sekiranya cuba mempertahankan diri.
“Selepas dipukul, ditumbuk dan disepak bertubi-tubi, anak saya akhirnya tidak dapat menahan kesakitan dan menjerit agar perlakuan lima rakannya itu diketahui pelajar lain.

 

“Jeritan anak menyebabkan pelajar terbabit berhenti memukulnya namun sebelum beredar, seorang daripada mereka mengugut memukulnya semula sekiranya memaklumkan kejadian itu kepada guru dan keluarga,” katanya.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas diberitahu seorang lagi anaknya ketika mengambil adiknya itu pulang dari sekolah pada jam 6.45 petang.

 

Dia yang terkejut dengan kejadian itu tidak menyangka pelajar sekolah berkenaan sudah berani bertindak samseng hanya kerana perselisihan faham.
Menurutnya, bimbang anaknya terus menjadi mangsa, dia membuat laporan di Balai Polis Pandamaran sebelum kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
Selepas keterangan diambil, anaknya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.
“Saya bersyukur kerana laporan dikeluarkan doktor mengesahkan anak saya hanya mengalami bengkak dan lebam pada bahagian badan,” katanya.
Katanya, dia sudah bertemu dengan pihak pengurusan sekolah bagi mengetahui tindakan disiplin yang akan diambil untuk memastikan kejadian sama tidak berulang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, polis akan berjumpa guru disiplin sekolah terbabit untuk membincang mengenai kejadian itu dan meminta semua pihak terbabit menyelesaikan perkara itu secara baik.
“Kami harap ibu bapa pelajar dan pihak sekolah dapat selesaikan masalah secara rasional memandangkan mereka masih bersekolah.
“Saya nasihatkan ibu bapa sentiasa mengawasi tindak tanduk dan pergaulan anak mereka. Guru juga tidak terkecuali untuk memantau setiap pergerakan pelajar di sekolah,” katanya.

SEMAKAN TAWARAN KE TINGKATAN SATU (1) AMBILAN KEDUA DI SEKOLAH BERASRAMA PENUH TAHUN 2013


SEMAKAN TAWARAN KE TINGKATAN SATU (1) AMBILAN KEDUA DI SEKOLAH BERASRAMA PENUH TAHUN 2013

29 January 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Tawaran Ke Tingkatan Satu (1) Ambilan Kedua di Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2013 boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 29 Januari 2013 (Selasa).

Pautan Sistem Semakan seperti berikut:

http://apps.moe.gov.my/sbpt1/semak_ambilan22013/

Sekian terima kasih

Kementerian timbang wujud 5 sekolah komprehensif di pedalaman Sabah – Bernama


Kementerian timbang wujud 5 sekolah komprehensif di pedalaman Sabah

 

KOTA KINABALU 16 Jan. – Kementerian Pelajaran sedang mengkaji pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) di lima sekolah rendah di pedalaman Sabah bagi menangani isu keciciran murid.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pensiangan, Nabawan; Sk Bawang, Beluran; Sk Sabur, Kudat; dan SK Buis serta SK Menanam di Tongod. “Kita sedang mengkaji unjuran pelajar untuk melaksanakan K9 di Sabah kerana masalah ketiadaan sekolah menengah di sesetengah kawasan pedalaman Sabah membuatkan keciciran, murid tahun enam tidak dapat memasuki tingkatan satu, dua dan tiga,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Puad sebelum itu melawat projek menaik taraf dan membaik pulih sekolah rendah serta menengah Pulau Gaya yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari sini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130116/dn_37/Kementerian-timbang-wujud-5-sekolah-komprehensif-di-pedalaman-Sabah#ixzz2I7gPDkyj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara – Utusan


Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara

ALOR GAJAH 12 Jan. – Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka (Imtiaz Melaka) yang lulus beberapa ujian khas termasuk ujian IQ berpeluang melanjutkan pelajaran ke salah daripada 20 universiti terkenal dunia.

Penasihatnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang berkelayakan iaitu mendapat kesemua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain markah 400 ke atas bagi ujian IQ akan terus diserapkan ke salah sebuah universiti terkenal dunia termasuk Oxford dan Havard.

“Ini berikutan Pusat Kecemerlangan Y2G yang bertanggungjawab menguruskan Imtiaz Melaka mempunyai hubungan secara terus dengan 20 universiti terkenal dunia bagi mewujudkan program berkembar.

“Selain memastikan mereka yang cemerlang ini dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam aliran tertentu, ia sekali gus menjadikan mereka bukan hanya berpengetahuan dalam bidang agama, tetapi juga bidang lain.

“Melalui kerjasama program berkembar ini, mereka akan terus ke peringkat ijazah pertama dalam kursus profesional yang dikenalpasti dan semua ini akan dilakukan untuk tempoh tiga tahun daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Ramah Mesra Sambutan Pelajar Baru Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis meraikan seramai 80 orang pelajar baru itu ialah Panglima Markas 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad dan Pengerusi Y2G, Datuk Hisham Abd. Majid.

Kata Ahmad Zahid, pelajar-pelajar Imtiaz Melaka diharapkan boleh menjadi contoh yang cemerlang kepada pelajar lain memandangkan mereka yang berkemampuan menghafal al-Quran tidak akan mengalami kesukaran dalam mata pelajaran lain.

Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid, Imtiaz Melaka yang kini mempunyai seramai 170 pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua itu menyasarkan kesemua pelajar memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan SPM.

Kata beliau, Imtiaz Melaka yang kini dilengkapi beberapa makmal termasuk makmal Bahasa Inggeris, Kimia, Fizik, kaji hayat dan Matematik membolehkan kesemua lepasan Imtiaz Melaka mempunyai cukup persediaan ke universiti.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama daripada pelbagai agensi yang mengeluarkan biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) amat diperlukan bagi urusan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Imtiaz Melaka yang melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_07/Pelajar-cemerlang-Imtiaz-Melaka-ke-universiti-luar-negara#ixzz2Hqm2jIGB
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Teruja kali pertama naik kapal terbang’ – Metro


‘Teruja kali pertama naik kapal terbang’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Saya teruja sebab kali pertama akan menaiki kapal terbang dan menjejakkan kaki ke Malaysia Timur,” kata Nurul Afiqah Mohd Hesam, 17.

Dia antara 42,000 pelatih Kumpulan 1 Siri 9/2012 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mula melapor diri semalam.
Katanya, meskipun agak takut menaiki kapal terbang, dia tidak sabar berkenalan dengan rakan baru apabila mendaftar di Kem PLKN Kota Kinabalu di Bayu, Tuaran, Sabah.

 

“Pengalaman rakan lain pernah mengikuti program ini tahun lalu menyebabkan berasa berdebar-debar menyertai PLKN,” katanya.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia berjanji menghubungi ibunya, Mimi Hamzah, 40, setiap hari bagi menghilangkan rindu.
“Walaupun mempunyai pengalaman berdikari dan tinggal di sekolah berasrama penuh sejak tingkatan satu, ini kali pertama tinggal berjauhan dari keluarga di luar Semenanjung.

 

 

“Saya juga sudah membawa beberapa novel untuk menghilangkan kebosanan sepanjang perjalanan,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04

Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir – Sinar Harian


Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

KOTA BHARU – Lima sekolah  di dua jajahan iaitu Tumpat dan Pasir Mas terpaksa ditangguhkan pembukaan kerana masalah banjir yang menutupi kawasan-kawasan berhampiran sekolah tersebut.

Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Che Hussain Awang berkata, lima buah sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa’Yong, Sekolah Kebangsaan Telok Jering, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurulhuda dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah Kampung Bonggor.

“Pembukaan kelima-lima buah sekolah tersebut ditangguhkan buat sementara waktu kerana kawasan persekitaran sekolah masih dibanjiri air, ini akan menyukarkan murid untuk ke sekolah,” katanya semalam.

Menurutnya, jumlah pelajar tingkatan satu yang berdaftar untuk tahun 2013 ialah seramai 4,740 orang manakala murid tahun satu pula seramai 28,757 orang.

Beliau berkata, sebanyak 7,448 buah sekolah rendah dan 834 buah sekolah menengah akan dibuka untuk persekolahan 2013.

“Kami menempatkan sejumlah 12,893 orang guru untuk sekolah menengah dan 16,034 orang guru untuk sekolah rendah di sini.

“Jumlah guru tersebut adalah untuk memberi didikan kepada 361,143 orang pelajar sekolah rendah dan menegah di seluruh negeri Kelantan,” katanya.

Sesi persekolahan tahun 2013 dijadualkan bermula pada 1 Januari ini untuk negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu manakala 2 Januari di negeri-negeri lain.