Muntah lihat nasi macam ulat – Berita Harian


Muntah lihat nasi macam ulat

2012/12/31 – 05:51:51 AMCetakEmel Kawan
Mohd Nazrul langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan. - Foto Azmaidi AbidinMohd Nazrul langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan. – Foto Azmaidi Abidin

Pekan: Saya lihat nasi macam ulat yang sungguh menggelikan dan tekak terus mual. Walau ada sebutir nasi terlekat di tangan, saya pasti muntah, kata Mohd Nazrul Nazri, 13.

Nazrul atau lebih mesra dengan panggilan Pak Adik, berkata oleh kerana langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan, dia selalu diusik rakan sekolah.

Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu, berkata ada juga yang sanggup memberi duit untuk melihat keberaniannya menelan nasi, tetapi semua ditolak kerana memang dia tidak boleh makan nasi.

Mi jadi pilihan, saya paling suka mi sup atau mi goreng, tak pernah jemu makan. Roti juga jadi pilihan dan kadangkala ibu menggantikan makanan dengan kentang serta ayam, katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Miang, dekat sini.

Ibunya, Normah Abdul Latif, 51, berkata simptom anak bongsu daripada enam beradik itu mula dikesan selepas beberapa bulan dilahirkan.

Ketika berusia lima bulan saya cuba memberinya nasi, namun dia muntah. Sejak itu saya dan suami, Nazri Karim, 55, tahu dia alah nasi. Kami hanya memberinya bijirin dan bila membesar, diberi bubur nasi, tapi tetap muntah, katanya.

Mohd Nazrul juga terpaksa makan berasingan daripada ahli keluarga kerana tidak boleh melihat nasi walaupun sebutir.

KENYATAAN MEDIA PENGAMBILAN MURID TINGKATAN SATU (1) KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) TAHUN 2013 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


KENYATAAN MEDIA PENGAMBILAN MURID TINGKATAN SATU (1) KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) TAHUN 2013 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Muat turun
KENYATAAN MEDIA PENGAMBILAN MURID TINGKATAN SATU (1) KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) TAHUN 2013 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA PENGAMBILAN MURID TINGKATAN SATU (1) KE SEKOLAH BERASRAMA PENUH (SBP) TAHUN 2013 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
Pada tahun ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menerima sebanyak 105,357 permohonan untuk kemasukan ke
Tingkatan Satu (1) di 66 buah SBP bagi tahun kemasukan 2013.

Sebanyak 62,338 pemohon adalah murid perempuan dan selebihnya iaitu 43,019 pemohon adalah murid lelaki.

Seramai 7710 murid akan dipilih dan akan ditempatkan di Tingkatan Satu (1) SBP tahun 2013. Dari jumlah tersebut, sebanyak
3645 tempat adalah untuk murid perempuan dan 4065 tempat disediakan untuk murid lelaki.

Dasar pengambilan murid ke SBP memberi keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar. Justeru
itu KPM akan menawarkan sekurang-kurangnya 5397 (70%) tempat kepada murid-murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar.

Bagi membolehkan murid-murid dipertimbangkan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu (1) Sekolah Berasrama Penuh, mereka mesti memenuhi syarat-syarat seperti warganegara Malaysia dan mencapai 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012. Walau bagaimanapun, murid dari keluarga miskin berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (Kumpulan Miskin Tegar) yang mendapat keputusan UPSR sekurangkurangnya 3A dan 2B boleh juga dipertimbangkan untuk ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh.

Seramai 2313 (30%) murid miskin akan ditawarkan ke SBP dengan status `Projek Khas` yang akan diberikan bantuan oleh KPM. Dari jumlah tersebut seramai 925 orang adalah murid dari keluarga miskin tegar yang memperolehi pencapaian UPSR 2012 sekurang-kurangnya 3A 2B.

Keputusan pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan Satu (1) SBP akan diumumkan selewat-lewatnya pada 16 Disember 2012.

Semakan dan keterangan lanjut boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web Kementerian Pelajaran Malaysia
http://www.moe.gov.my. Murid yang ditawarkan juga akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan
Kementerian Pelajaran Malaysia
20 November 2012

2,313 murid miskin ditawar ke sekolah berasrama penuh – Bernama


2,313 murid miskin ditawar ke sekolah berasrama penuh

23 November 2012

KUALA LUMPUR – Seramai 2,313 murid miskin termasuk 925 dari keluarga miskin tegar akan ditawar ke Tingkatan Satu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan dengan diberi bantuan oleh Kementerian Pelajaran.

Menurut Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran, mereka merupakan antara 7,710 murid yang dipilih bagi ditempatkan di Tingkatan Satu SBP.

Murid dari keluarga miskin tegar yang akan dipilih perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012, menurut kenyataan bahagian tersebut hari ini.

Ia berkata kementerian telah menerima 105,357 permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu SBP, dengan seramai 62,338 pemohon terdiri dari murid perempuan dan 43,019 murid lelaki.

Tempat yang diperuntukan ialah untuk seramai 7,710 murid, 3,645 untuk murid perempuan dan 4,065 murid lelaki, menurut kenyataan tersebut.

“Dasar pengambilan murid ke SBP memberi keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar. Justeru itu Kementerian Pelajaran akan menawarkan sekurang-kurangnya 5,397 atau 70 peratus tempat kepada para pelajar yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar bandar,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, keputusan pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan Satu SBP akan diumumkan selewatnya 16 Disember depan.

Keterangan lanjut boleh diperoleh di laman web http://www.moe.gov.my dan murid yang ditawarkan juga akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). – Bernama

Remaja dinodai dua abang angkat – Metro


Remaja dinodai dua abang angkat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bertindak merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun sejak tahun lalu.

Mangsa ketika itu berusia 12 tahun dijadikan adik angkat oleh remaja lelaki terbabit sebelum melakukan hubungan seksual dengan mangsa di rumahnya, di sini.
Difahamkan, mangsa turut menyatakan pernah dirogol di atas motosikal termasuk di rumah abang angkatnya itu di Kampung Bakong, di sini dan berlanjutan sehingga mangsa berada di tingkatan satu sebelum mempunyai seorang lagi abang angkat seusia dengan suspek yang turut merogolnya.

 

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, bagaimanapun kejadian yang menimpa pelajar itu hanya disedari bapanya kelmarin.
Menurutnya, selepas lebih setahun dibelenggu kejadian malang yang menimpa mangsa, bapanya menyedari perubahan terhadap pelajar berkenaan yang hidup dalam kemurungan.
“Bapa mangsa kemudian bertanyakan sesuatu kepada mangsa selepas dia tidak banyak bercakap dan kerap memencilkan diri.

 

 

“Selepas ditanya beberapa kali, mangsa kemudian menceritakan kejadian menimpanya termasuk dirogol dua abang angkatnya pada masa berlainan,” katanya di sini, semalam.
Mohd Nadzri berkata, susulan pengakuan berkenaan, bapa mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Arau, kelmarin.

 

Katanya, selepas beberapa jam laporan dibuat, pihaknya menahan suspek pertama pada jam 11.45 pagi kelmarin sebelum menahan suspek kedua beberapa jam selepas itu.
“Kedua-dua suspek berusia 16 tahun berkenaan mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa dan kini ditahan bagi tindakan susulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14

Asrama tempatkan 25 pelajar tahfiz Kuala Ibai terbakar – Bernama


Asrama tempatkan 25 pelajar tahfiz Kuala Ibai terbakar

9 September 2012

KUALA TERENGGANU – Tingkat dua sebuah bangunan yang menempatkan asrama dihuni 25 pelajar Maahad Tahfiz Assyifa di Kampung Kolam, Kuala Ibai di sini, terbakar dalam satu kejadian pada kira-kira 1.20 petang tadi.

Pengetua maahad tahfiz itu Ahmad Syarifuddin Ibrahim berkata ekoran insiden tersebut, semua peralatan pelajar seperti tilam dan katil gagal diselamatkan.

“Ketika kebakaran, saya sedang solat zohor bersama pelajar di surau berhampiran, tetapi saya dikejutkan dengan teriakan ibu saya Limah Awang, yang ketika itu berada di tingkat bawah menjerit ada api di tingkat dua bangunan.

“Mendengar teriakan itu, saya terus keluar dan melihat api sedang marak membakar bangunan tingkat dua. Saya bersama orang kampung serta pelajar cuba memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air terdekat bagi menggelakkan kebakaran merebak ke tingkat bawah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata maahad tahfiz, yang menempatkan 50 pelajar tingkatan satu hingga lima, baharu diduduki tahun lepas setelah dibina semula hasil sumbangan orang ramai kerana terlibat dalam kebakaran pada awal tahun 2011.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Md Ridzuan Hasan berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.25 petang dan tiga jentera bersama 28 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kita mengambil masa kira-kira 11 minit bagi mengawal keseluruhan kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke tingkat bawah,” katanya.

Beliau berkata tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Wan Kamal Wan Ismail berkata pihaknya akan memberi bantuan keperluan asas seperti tilam, selimut serta peralatan lain kepada pelajar terbabit dalam masa terdekat. – Bernama

Pelajar pecah gegendang telinga ditampar guru – Sinar Harian


Pelajar pecah gegendang telinga ditampar guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Ogos 2012
Pelajar pecah gegendang telinga ditampar guru
Bahagian belakang telinga pelajar Muhammad Bazly terkoyak akibat ditarik dan ditampar guru Bahasa Inggeris dalam satu kejadian di sekolah berasrama dekat sini, Khamis lalu.

DUNGUN – Gara-gara mengejek guru, seorang pelajar tingkatan satu pecah gegendang telinga selain turut cedera akibat ditampar beberapa kali oleh guru berkenaan.

Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu dipercayai berlaku ketika pelajar terbabit, Muhammad Bazly Burhan, 13, sedang menduduki peperiksaan pentafsiran di salah sebuah sekolah berasrama berdekatan bandar Dungun.

Menceritakan kejadian berkenaan, Bazly berkata, detik hitam itu dipercayai berpunca akibat dia mengeluarkan kata-kata ejekan terhadap gurunya menyebabkan guru Bahasa Inggeris itu ‘naik minyak’ sebelum memanggilnya lalu menarik kedua telinga selain menampar beberapa kali di bahagian pipi pelajar tingkatan satu itu.

Katanya, ketika ditampar guru berkenaan, dia tidak melawan, malah meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya yang mengguris hati guru tersebut.

Menurutnya, kejadian itu turut disaksikan beberapa rakannya yang juga mengikuti peperiksaan selain beberapa rakan lain yang berada di luar kelas.

“Ketika dia menampar pipi, sambil menahan kesakitan, saya beberapa kali memohon maaf selain berjanji tidak mengulangi perbuatan itu namun dia terus menampar pipi saya.

“Telinga saya kemudiannya terasa sakit sebelum darah keluar, apabila melihat darah keluar, baru dia berhenti menampar saya,” kata Bazly yang juga bekas murid Sekolah Rendah Islam Al Amin, Kemaman.

Menurut Bazly, selepas kejadian itu dia balik ke asramanya lalu menyapu ubat minyak gamat di tempat lukanya itu.

Bazly berkata, kejadian itu tidak diberitahu kepada ibu bapanya sehinggalah ibunya mendapat tahu daripada ibu kepada rakannya yang turut bersekolah di situ mengenai kejadian menimpa anak ketiga daripada tujuh beradik itu, yang pernah mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR.

Sebaik mendapat tahu kejadian tersebut, bapa Bazly, Burhan Abdullah, 46, datang mengambilnya di asrama lalu menghantar anaknya itu untuk mendapat rawatan awal di sebuah klinik swasta dekat Paka.

Hasil pemeriksaan doktor, gegendang telinganya didapati telah pecah lalu bapanya membawa Bazly untuk mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Rawatan Pakar Kuantan sebelum merujuk semula kesnya ke Hospital Dungun.

Kejadian berkenaan turut dilaporkan di Balai Polis Paka Ahad lalu.

Sementara itu, bapa Bazly, Burhan yang juga seorang eksekutif di syarikat minyak dan gas berkata, dia kesal dengan kejadian berkenaan, apatah lagi ia berlaku di sebuah sekolah berasrama yang mempunyai tahap moral yang tinggi pada persepsi masyarakat umum.

“Selepas kejadian itu, guru sekolah tersebut sepatutnya menghubungi saya, berbincang, kalau perlu memohon maaf, minta maaf.

“Ini tidak sehingga hari ini, mereka masih membisu, kalau anak rakan isteri saya tidak memberitahu saya, hingga hari ini saya tidak tahu kejadian yang berlaku,” kata Burhan.

Sinar Harian juga difahamkan Burhan sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes anaknya itu.

K’jaan P.Pinang Salur Bantuan RM100 Untuk 100,000 Murid Di Bawah Program Pelajar Emas Terus Kepada Ibu-Bapa – mStar


K’jaan P.Pinang Salur Bantuan RM100 Untuk 100,000 Murid Di Bawah Program Pelajar Emas Terus Kepada Ibu-Bapa
GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi bantuan RM100 terus kepada keluarga 100,000 pelajar di negeri itu di bawah Program Pelajar Emas September ini kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menurut beliau kesemua pelajar itu melibatkan mereka di tahun satu, tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat.

Wang itu katanya akan diberikan terus kepada keluarga agar ia tidak disalahgunakan oleh murid-murid untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

“Lagi pun bolehkah murid tahun satu mengendalikan wang RM100,” ujarnya di sini, Jumaat.

Sementara itu, beliau juga berkata, sejumlah 298 pelajar tahun pertama program diploma dari negeri ini yang mendapat tempat di semua institusi pengajian tinggi awam layak untuk menerima bantuan RM1,000 tahun ini.

Katanya, permohonan daripada pelajar yang ditawarkan tempat untuk program ijazah pula akan dibuka dari 8 Ogos hingga 30 September.

Pelajar Tingkatan Satu maut motosikal ditunggang terbabas – Bernama


Pelajar Tingkatan Satu maut motosikal ditunggang terbabas

23 Jun 2012
TELUK BAHANG – Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Jalan Teluk Bahang, di sini awal pagi ini.

Mohamad Firmanshah Iskandarshah, 13, yang menunggang motosikal itu bersama rakannya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata kejadian berlaku 2.30 pagi dan mangsa dipercayai menunggang dengan laju ketika menuruni bukit di kawasan itu.

“Mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terbabas sebelum dia terhumban ke dalam longkang berhampiran tanah perkuburan Cina di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata rakan mangsa yang berusia 14 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Balik Pulau. – Bernama

9,000 miliki SKM menjelang 2015 – Metro


9,000 miliki SKM menjelang 2015

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Seramai 9,000 pelajar sekolah menengah akan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu dan dua menjelang 2015 sekali gus melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pendidikan konvensional lain.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, projek perintis Program Asas Vokasional (PAV) untuk pelajar tingkatan satu yang baru diperkenalkan tahun ini bakal melahirkan pelajar dinamik dan memiliki kemahiran asas. “Kementerian melaksanakan transformasi pendidikan vokasional secara menyeluruh melalui penubuhan kolej vokasional menggantikan Sekolah Menengah Vokasional (SMV).
“Berikutan itu, PAV diperkenalkan bagi memberi nilai tambah kepada pelajar berkenaan,” katanya. Pada masa sama, beliau berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada 30 peratus murid sekolah luar bandar daripada keluarga berpendapatan bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara.

 

“Sejumlah 2,214 orang atau 30 peratus kuota ditetapkan untuk murid miskin tegar dari luar bandar diterima masuk ke SBP mulai tahun ini walaupun sekadar memperoleh keputusan sama ada 3A 2B atau 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Ini secara tidak langsung membolehkan kelompok berkenaan mendapat pendidikan berkualiti tinggi,” katanya.
Menurutnya, kementerian akan membantu mereka menyesuaikan diri supaya mampu bersaing dengan murid cemerlang lain menerusi program motivasi serta bantuan makanan tambahan untuk keseimbangan pencapaian akademik.

Pelajar hilang sebulan ditemui keletihan di stesen LRT – Berita Harian


Pelajar hilang sebulan ditemui keletihan di stesen LRT

2012/02/16

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu selepas mengikut rakannya, ditemui keletihan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi dipercayai di kurung di sebuah flat kosong di ibu negara.

Norish Aunie Niesa Mohd Nizam yang dilaporkan hilang ketika keluar pada 29 Disember lalu untuk meraikan sambutan tahun baru, ditemui ibunya Nor Salinda Salleh, 33, pada Rabu minggu lalu sebaik menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan anaknya berada di lokasi terbabit.

Difahamkan Norish Aunie dikurung di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Tun Razak tanpa makan minum, kecuali diberi makan ketika dibawa keluar bersiar-siar.

Mangsa juga terpaksa minum air paip untuk mengalas perut, selain diberi sekeping roti canai pada hari tertentu.

Anak sulung dua beradik itu juga ada meminta rakan menghantarnya pulang, namun tidak dibenarkan dengan alasan dia sudah memaklumkan kepada ibu mangsa tempat tinggalnya.

Nor Salinda berkata, pelbagai usaha dilakukan sepanjang kehilangan Norish Aunie sehingga mendapat panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan lokasi anaknya dan diminta datang segera.

“Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati saya.
“Sebaik tiba di lokasi terbabit, saya melihat Norish Aunie dalam keadaan letih dan tidak bermaya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Nor Salinda berkata, anaknya memaklumkan, wanita yang menghubungi saya itu adalah jiran di flat tempat dia dikurung yang membantunya membebaskan diri.

“Mengikut cerita Norish Aunie, lebih sebulan kehilangannya itu, beliau berada di flat terbabit bersama rakannya berusia 17 tahun tanpa mengetahui pemilik sebenar rumah itu.

“Malah, anak saya juga tidak dibenarkan keluar dan hanya sekali sekala diberi makan.

“Sebaik rakannya menghilangkan diri, Norish Aunie meminta bantuan jiran itu membawanya keluar sebelum dibawa ke LRT Sungai Besi.

“Memandangkan telefon bimbitnya dirampas Norish Aunie meminta wanita itu menghubungi saya,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelajar perempuan Tingkatan Satu hilang dipercayai dilarikan rakan perempuan yang baru dikenalinya di sebuah siber kafe di Jalan Ipoh, di sini.