Tinjauan: Ibu bapa, anak teruja hari orientasi masuk sekolah – Sinar Harian


Tinjauan: Ibu bapa, anak teruja hari orientasi masuk sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

KLANG – Mungkin tidak ramai mengetahui apabila sesi persekolahan bermula, pelajar itu bukan sahaja perlu disiapkan pakaian, beg dan kelengkapan sekolah namun mereka dikehendaki menduduki ujian khas bagi menentukan tahap penguasaan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira sebelum dibahagikan kepada kelas tertentu.

Tinjauan Sinar Harian Online semalam mendapati hari terakhir 2012 dipilih pihak sekolah untuk diadakan pendaftaran pelajar termasuk ‘Hari Orientasi’ di samping memberi taklimat kepada ibu bapa yang hadir.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang akan melangkah ke prasekolah dan darjah satu, sudah pasti mereka maklum aktiviti sekolah pada hari ini, malah sesetengahnya pula menyifatkan ia sebagai hari pertama anak mereka bersekolah.

Menurut, Mohd Faizal Mohamad, 36, dari Kampung Delek Kiri, Klang, orientasi yang dijalankan pihak sekolah ini perlu diteruskan bagi memudahkan anaknya mendapat pendidikan dan pengajaran mengikut tahap kepandaiannya.

“Semasa tadika, kita tak ambil tahu sangat, bila darjah satu ini kita nak tengok bagaimana kelas itu ditentukan, saya usaha ini bagus.

“Ujian penentuan kelas tidak susah mana pun, pada saya ujian penentuan ini bagus juga dapat meningkatkan mutu pelajaran untuk budak-budak sekarang ini,” katanya yang ditemui di pekarangan Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, hari ini.

Nur Azlin Latif, 38, Kg Delek Kanan, ibu kepada tiga orang anak, melihat hari orientasi itu penting kepada anaknya supaya tidak segan bergaul dengan pelajar lain pada sesi pembelajaran nanti.

“Saya tengok OK, harap anak saya masuk kelas yang bagus nanti, orientasi pun OK kerana dari situ kita dapat tahap pelajarannya, sama ada dia kenal huruf atau pun tidak,” katanya.

Sementara itu, Arifin Nayan, 38, dari Kg Sg Udang berkata, suasana hari pertama persekolahan anaknya berjalan lancar tanpa sebarang masalah mesti hanya orientasi separuh hari.

“Buat masa ini alhamdulillah, anak-anak saya OK jer dah berani, tak perlu nak temankan lagi.

“Kalau dulu kena teman, kadang-kadang kena paksa mereka pergi sekolah, paksa bangun pagi, tapi sekarang anak saya dah biasa, alhamdulillah senang sikit,” katanya.

Menurut Mohd Fatullah Rahim, 40, dari Kg Delek Kanan, Klang, beliau terpaksa berdepan dengan anaknya yang masih takut untuk ke sekolah meskipun pada mulanya bersemangat.

“Hari ini sekolah buat orientasi pelajar, saya tengok anak saya takut sikit, tapi bangun pagi tadi dia seronok, tak sabar nak ke sekolah katanya nak pegi sekolah cepat,” katanya.

Faridah Salnon, 34, dari Jalan Yadi, Kg Sg Udang, Klang berkata, masalah takut atau meragam tidak timbul kerana anaknya sudah biasa dengan persekitaran prasekolah sebelum ini.

“Harapan saya kepada pihak sekolah sudah tentu anak mendapat pendidikan yang cukup, boleh pandai dan berguna dan harap pihak sekolah boleh bekerjasama dengan ibu bapa, kalau ada masalah boleh bincang bersama,” katanya.

Bapa kepada pelajar prasekolah, Muhd Nizam Abdullah, 28, dari Kg Sg Udang, Klang berkata, aktiviti hari pertama sekolah semalam sangat menarik dan sekolah sudah bersiap sedia untuk menerima pelajar baru nanti.

“Segala persiapan sekolah tersusun dengan rapi, tiada masalah yang boleh menghalang daripada bermulanya sekolah.

“Dari segi pergaualan anak saya buat masa ini tiada masalah dan reaksi anak saya pun agak seronok saya tengok untuk bersekolah nanti,” katanya.